Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga guru bahasa Melayu terima Anugerah Guru Arif Budiman

Tiga guru menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga guru menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan menyeluruh guru-guru itu dalam pendidikan dan pembelajaran bahasa Melayu.

Mereka menerima anugerah tersebut daripada Menteri Pembangunan Sosial & Keluarga, Masagos Zulkifli, dalam satu majlis penyampaian anugerah AGAB di bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu (19 Dis).

Majlis hampir dua jam itu turut disiarkan secara langsung menerusi online.

Pada tahun ini, dua guru muda menerima AGAB Perangsang iaitu anugerah bagi guru yang berpengalaman kurang 10 tahun.

Terdapat hanya seorang penerima Anugerah AGAB Teladan tahun ini - anugerah yang diberikan kepada guru dengan lebih 10 tahun pengalaman.

Guru-guru itu dipilih daripada 311 pencalonan yang diterima kesemuanya.

Pengerusi bersama AGAB, Dr Mohd Mukhlis Abu Bakar berkata: “Mereka pada umumnya memang merupakan guru-guru yang arif dan menunjukkan kemahiran baik dalam mengajar dan dapat menarik minat para pelajar. Selain itu, mereka berkecimpung dalam arena pendidikan dalam melakukan kajian dan menyebarkan semangat mereka kepada masyarakat.”

ELNA HUSSIN SATU-SATUNYA PENERIMA AGAB TELADAN

Cikgu Elna Hussin sudah terlibat dalam dunia pendidikan selama lebih 15 tahun.

Kini, sebagai seorang Ketua Subjek bahasa Melayu di Sekolah Rendah Westwood, beliau menekankan peri pentingnya penggunaan teknologi dalam pembelajaran.

Malah, beliau kerap menggunakan kaedah online seperti Flipgrid dan Kahoot bagi mempelbagaikan kaedah pembelajaran, sekali gus membuat anak-anak didiknya lebih terdorong untuk mempelajari bahasa Melayu.

Cikgu Elna berkata: “Kita harus menerapkan pembelajaran berbeza di dalam bilik darjah. Kita akui profil mereka lain pada hari ini jadi ia penting untuk guru tahu kesediaan murid, profil pembelajaran murid dan juga minat murid untuk memaksimumkan pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.”

Guru yang berdaya inovatif itu merasakan bahawa anugerah yang diterima membuatnya lebih bersemangat untuk menyumbang dan mendidik murid-muridnya agar mereka lebih terangsang untuk belajar bahasa dan budaya Melayu.

“Saya berasa sangat bersyukur, teruja mendapatkan anugerah ini. Ini satu pengiktirafan yang tidak dijangkakan. Dan saya rasa anugerah ini amat bermakna bagi saya dan kerjaya saya sebagai seorang guru,” katanya.

Tekad dan hasrat untuk terus mengajar masih berkobar-kobar dalam dirinya.

Lebih daripada satu pencapaian, beliau akui ramai lagi guru berpotensi untuk terus berbakti dan berjasa dalam dunia pendidikan.

Cikgu Elna percaya bahawa guru-guru pada zaman sekarang, perlu sentiasa menerapkan nilai daya bingkas dalam diri mereka.

“Ada pelbagai cabaran yang kita hadapi sebagai seorang guru. Kita harus berani menghadapi cabaran ini dan kita harus melihat cabaran itu dalam perspektif positif. Dan juga jadikan cabaran itu sebagai satu peluang untuk meningkatkan diri kita,” kata Cikgu Elna lagi.

Sebagai penerima Anugerah Teladan AGAB, beliau antara lain menerima sijil dan dana pembangunan bernilai S$3,000.

WIRA ICT TERUJA TERIMA ANUGERAH PERANGSANG AGAB

Di Sekolah Menengah Fuhua, nama Cik Siti Rohani Selamat sering diangkat sebagai Wira ‘ICT’. Malah, guru yang berbekalkan pengalaman hampir 10 tahun itu, sendiri menggangap dirinya sebagai pemacu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Cikgu Rohani tidak lelah memperbaharui kaedah pembelajarannya di dalam bilik darjah.

Antaranya, beliau menerapkan kaedah Realiti Tambahan bagi proses pembelajaran anak-anak didiknya.

Cikgu Rohani berkata: “Pelajar-pelajar kami sekarang, mereka adalah penduduk jati ICT atau 'digital native' jadi kalau kami tidak mengguanakn ICT, kami tidak dapat kekal relevan untuk menarik minat mereka. Jadi adalah penting untuk kita gunakan ICT untuk menarik minat dan agar mereka lebih teruja.”

Berkat keteguhannya untuk menerapkan penggunaan ICT di dalam bilik darjah, beliau pernah menerima anugerah guru STAR@Fuhua tahun lepas.

Di samping itu, Cikgu Rohani akui bahawa dunia pendidikan tidak kurang cabarannya.

Namun baginya, cabaran bukanlah satu penghalang, lebih-lebih lagi dalam usaha memupuk rasa cinta kepada bahasa ibunda.

Selain Cikgu Rohani, seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah Cikgu Syahirah Sa’adon dari Sekolah Rendah West View.

Kedua-dua guru itu turut menerima sijil dan dana pembangunan bernilai S$3,000.

Dalam majlis itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut menyanjung para penerima anugerah AGAB sebagai "suri teladan kepada rakan guru, anak didik dan ahli masyarakat lain."

GURU-GURU LAIN TURUT DIIKTIRAF

Kesemuanya, lapan guru merupakan finalis penerima AGAB tahun ini.

Lima lagi guru yang menjadi finalis ialah:

1.Cik Diana Mazlan dari Sekolah Rendah First Toa Payoh
2.Cik Hannah Nadhirah Lokman dari CHIJ Katong Convent
3.Cik Aszrina Tugiman dari Sekolah Rendah Yumin
4.Encik R Azmann A Rahman dari Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim
5.Cik Nuraini Ismail dari Sekolah Menengah Perempuan Cedar

Selain AGAB, lima guru prasekolah turut menerima Anugerah Cemerlang Guru Bahasa Ibunda Prasekolah edisi ke-8 di majlis yang sama.

Guru-guru yang menerima anugerah tersebut ialah:
1. Cik Iryamaya Amin (Anugerah Cemerlang)
2. Cik Almi Roafuziah Mohamed (Anugerah Cemerlang)
3. Cik Saniah Sakian (Anugerah Cemerlang)
4. Cik Siti Zaleha Mohamed Puteh (Anugerah Merit)
5. Cik Maslina Mashudi (Anugerah Merit) 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan