Skip to main content

Singapura

Tiga generasi ibu di bawah satu bumbung, saling beri nasihat, inspirasi

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga generasi ibu di bawah satu bumbung, saling beri nasihat, inspirasi

Sebagai ibu generasi kedua, Cik Sabrina Sadli (kanan), 61 tahun, sering menjadi penghubung antara cara lama yang diamalkan ibunya, Cik Zaleha Eman (tengah), 92 tahun, dan pendekatan moden anaknya, Cik Erdha Syahirah Edris (kiri), 34 tahun, dalam membesarkan anak-anak.(Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

SINGAPURA: Jika bayi mengalami jaundis atau lebih dikenali sebagai sakit kuning, ada yang berpendapat ia perlu dijemur di bawah sinaran matahari pagi.

Itulah antara amalan yang diamalkan oleh generasi terdahulu seperti ibunya, Cik Zaleha Eman yang kini berusia 92 tahun.

Dalam sebuah rumah empat bilik di Yishun, amalan itu tidak hilang, malah dilihat dan cuba difahami dengan cara yang berbeza oleh generasi seterusnya.

Meski amalan tersebut diperkenalkan ketika menjadi seorang ibu sekitar tahun 1990-an, Cik Sabrina Sadli tidak lagi memaksakan cara itu kepada anak-anaknya yang kini pula membesarkan anak dengan pendekatan tersendiri.

Sebagai ibu generasi kedua, Cik Sabrina, 61 tahun, sering terperangkap di tengah-tengah - antara cara lama yang diamalkan ibunya itu dan pendekatan baharu yang dipilih anaknya.

“Kadangkala ibu saya akan cakap, ‘kenapa tak buat macam begini? Mak dulu macam begini, macam begitu’. Jadi saya akan terangkan bahawa zaman sudah berubah dan kita kena sesuaikan dengan keadaan sekarang,” ujar Cik Sabrina, ibu kepada empat orang anak.

Mengambil contoh amalan menjemur bayi, beliau berkata: “Sekarang keadaan cuaca tidak sama seperti dahulu. Jadi ada lebih banyak pendedahan yang mungkin kurang baik. Saya jelaskan perkara itu kepada ibu saya dan beliau memahami.”

BUKAN TOLAK CARA LAMA, SESUAIKAN DENGAN KEADAAN SEMASA

Perbezaan itu bukan hanya pada satu amalan, tetapi turut meliputi cara menguruskan bayi dan mendisiplin anak-anak.

Ada nasihat ibunya yang masih dipegang, namun ada juga yang tidak lagi diamalkan sepenuhnya.

Namun bagi Cik Sabrina, keputusan itu bukan bermakna menolak cara lama tetapi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

Dalam situasi seperti itu, katanya, komunikasi memainkan peranan penting dalam menjadi penghubung.

Bukan sekadar untuk menjelaskan perbezaan, malah sebagai cara menghormati pandangan dan amalan generasi ibu terdahulu.

“Walaupun ibu saya tidak berpelajaran tinggi, beliau seorang yang terbuka. Bila kita terangkan perbezaan dahulu dan sekarang, beliau boleh terima.

“Kadang kala kita terangkan kenapa kita buat cara lain dan dalam masa yang sama kita faham juga mengapa mereka melakukan sedemikian,” tambah Cik Sabrina yang sudah berumah tangga selama 39 tahun.

Antara yang beliau terapkan dalam membesarkan anak-anaknya ialah berdikari - nilai yang dipegangnya hingga ke hari ini.

Nilai itu lahir daripada pengalaman Cik Sabrina dan tiga orang abangnya dibesarkan Cik Zaleha seorang diri sejak 1978.

“Semua saya buat sendiri… masak, jaga anak, tak ada pembantu,” kata Cik Zaleha ringkas.

Sebagai seorang ibu, beliau merasakan tanggungjawab menjaga anak mesti tetap dipikul biar susah macam mana sekalipun.

“Begitu juga saya jaga anak-anak dahulu, dan sekarang mereka pula jaga anak,” tambah beliau sambil menegaskan bahawa kasih sayang itu berterusan meski berbeza cara membesarkan anak.

IBU DAN NENEK SEBAGAI RUJUKAN, PERAN CONTOH

Kini, pengalaman itu dilalui anak perempuan Cik Sabrina, Cik Erdha Syahirah Edris, 34 tahun.

Sebagai ibu kepada dua orang anak lelaki berusia tujuh tahun dan setahun, beliau perlu mengimbangi tuntutan keluarga dan kerja sepenuh masa sebagai pembantu pengurus operasi di Institut SSA Culinary.

Ini lebih-lebih lagi apabila anak bongsunya dilahirkan dengan jantung berlubang.

Walaupun sudah berkeluarga sendiri selama sembilan tahun, dalam keadaan itu, ibunya masih menjadi sandaran.

“Kalau perlukan bantuan, biasanya hanya untuk nasihat. Saya akan rujuk pada ibu bapa saya, sebab mereka sudah melalui banyak pengalaman,” jelas ibu generasi ketiga dalam rumah itu.

Sambil mengesat air matanya, beliau menambah: “Saya tidak tahu macam mana nak balas jasa mereka.”

“Saya sendiri pun sebagai ibu kadang kala bergelut untuk menguruskan segala keperluan keluarga. Jadi, bagaimana mereka mampu melakukannya tanpa bantuan, tanpa mengeluh, itu sangat luar biasa,” kata Cik Erdha.
Related article image
Cik Erdha Syahirah Edris bersama neneknya, Cik Zaleha Eman. (Gambar: Sabrina Sadli)
Dibesarkan dalam suasana yang lebih tegas, Cik Erdha memilih pendekatan yang berbeza dalam membesarkan anak-anaknya.

“Dulu ibu bapa saya tegas tapi sekarang saya lebih kepada ‘gentle parenting’, memahami emosi anak,” jelas beliau.

Dalam perbezaan itu, beliau melihat bagaimana setiap generasi mempunyai pendekatan tersendiri.

“Setiap generasi ada pendirian masing-masing. Dulu nenek ada caranya seperti berpantang, kena buat begitu dan begini,” kongsinya.

Menurut Cik Erdha, dalam keadaan itu, ketiga-tiga generasi ibu perlu bertolak ansur.

“Kadang kala kita dengar dahulu, kita cuba dan lihat. Kalau tak boleh, barulah kita cari cara kita sendiri,” tambah beliau.

Bagi diri Cik Erdha, beliau menyedari bahawa “bila sudah menjadi seorang ibu, baru kita faham apa yang mereka lalui”.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita