Tiga ditahan import telefon bimbit, komponen palsu bernilai S$290,000
Tiga lelaki ditahan kerana mengimport telefon bimbit dan bahagian-bahagiannya yang palsu bernilai S$290,000, menurut pihak berkuasa Singapura pada Khamis (2 Mei).
(Gambar: Pasukan Polis Singapura, Kastam Singapura)
SINGAPURA: Tiga lelaki ditahan kerana mengimport telefon bimbit dan bahagian-bahagiannya yang palsu bernilai S$290,000, menurut pihak berkuasa Singapura pada Khamis (2 Mei).
Ketiga-tiga lelaki berkenaan, berusia antara 26 dengan 44 tahun, ditahan dalam satu operasi 15 jam pada Jumaat lalu (26 Apr). Demikian menurut polis dan Kastam Singapura dalam kenyataan media bersama.
Pada 15 April lalu, Kastam Singapura memintas kiriman dari China di Pusat Kargo Udara Changi. Kiriman tersebut mengandungi lebih 500 keping komponen telefon bimbit yang palsu.
Kes itu dirujukkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah yang melakukan serbuan Jumaat lalu di Keppel Road, Henderson Road dan Boon Tiong Road.
Tiga lelaki ditahan dan lebih 3,400 telefon bimbit serta komponennya yang mempunyai tanda dagangan palsu jenama-jenama terkenal dirampas.
"Pihak berkuasa memandang serius terhadap pelanggaran hak milik harta intelektual dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas para pelaku yang secara terang-terangan mengabaikan undang-undang IPR (hak milik intelektual) Singapura," menurut kenyataan media itu.
Mereka yang didapati bersalah mengimport, memiliki atau mengedarkan barang-barangan dengan tanda perdagangan palsu bagi tujuan perdagangan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga S$100,000.
Siasatan terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.