Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga didakwa cuba tukar alamat orang tanpa kebenaran melalui khidmat online ICA

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga didakwa cuba tukar alamat orang tanpa kebenaran melalui khidmat online ICA

Bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Singapura. (Gambar fail: ICA)

Diterbitkan : 17 Jan 2025 01:05PM Dikemas Kini : 17 Jan 2025 01:09PM
SINGAPURA: Tiga warga Singapura didakwa atas percubaan menukar alamat kediaman tanpa kebenaran menggunakan khidmat online Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Ng Wei Chang, Yuen Mun Fei dan Koh Hong Yan hadir di mahkamah daerah pada pagi Jumaat (17 Jan).

Masing-masing berdepan satu pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Ng, 30 tahun, didakwa mendedahkan tanpa kebenaran kod akses untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

Dia dituduh bersubahat dengan mendedahkan nombor PIN enam digit untuk mendapatkan akses kepada data yang disimpan dalam khidmat elektronik ICA untuk menukar alamat berdaftar individu yang tidak dikenali secara haram tanpa pengetahuan mereka.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada atau sekitar 1 Okt 2024.

Yuen, 38 tahun, didakwa menghantar data pengenalan pengguna Koh, kata laluan dan kata laluan sekali sahaja untuk khidmat identiti digital nasional pada November 2024.

Maklumat itu didakwa digunakan dalam melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penyalahgunaan Komputer, yang meliputi akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer.

Koh, 26 tahun, didakwa mendedahkan maklumat pengenalan pengguna SingPass, kata laluan dan kata laluan sekali sahaja kepada Yuen untuk tujuan yang menyalahi undang-undang pada 16 Dis 2024.

Bagi semua kesalahan itu, pesalah kali pertama boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwa berkata, mereka dipercayai merupakan satu sindiket dan meminta agar tiga lelaki itu ditahan seminggu untuk polis melakukan serbuan dan siasatan.

Ketiga-tiganya telah direman dengan kebenaran untuk dibawa keluar untuk siasatan, dan akan kembali ke mahkamah pada 24 Jan.

SALAH GUNA KHIDMAT ELEKTRONIK ICA

Isu berhubung percubaan menukar alamat rumah orang lain secara haram terbongkar pada 11 Jan apabila ICA mengumumkan bahawa ia telah mengenal pasti kira-kira 80 kes sedemikian.

Percubaan dibuat melalui pilihan pada khidmat elektronik yang membolehkan alamat kediaman ditukar oleh proksi.

Khidmat elektronik itu telah digantung pada 11 Jan dan sebahagiannya dipulihkan pada 14 Jan, dengan pilihan proksi itu tidak lagi disediakan.

Tujuh suspek juga ditangkap, dan dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 30 kes percubaan menukar alamat tanpa kebenaran.

Pelaku berjaya menukar alamat dalam kira-kira 75 peratus percubaan, kata ICA. Mereka menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi untuk menukar alamat.

Pelaku sebelum ini akan memperoleh nombor kad pengenalan dan tarikh kad pengenalan mangsa, untuk memasukkannya ke dalam khidmat elektronik, kata ICA.

Kiriman surat pengesahan kemudian akan dihantar ke alamat berdaftar yang ditentukan oleh penipu, membolehkannya mengakses surat perkenaan untuk mengesahkan pertukaran alamat.

Setelah alamat kediaman mangsa ditukar, ia digunakan untuk menetapkan kata laluan baharu untuk akaun Singpass mangsa dan mendapatkan PIN Singpass baharu untuk mengakses akauan tersebut.

"Pelaku kemudian menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi dan kotak surat pihak ketiga untuk menjana lebih banyak akaun keldai untuk digunakan bagi kegiatan penipuan dan jenayah siber lain," kata ICA.
 
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan