Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga ciri utama bolehkan masyarakat harungi cabaran masa hadapan berdasarkan pengalaman COVID-19 : Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi melangkah menuju masa hadapan dengan kukuh, pelajaran berharga yang ditimba daripada pandemik akan menjadikan masyarakat lebih berdaya bingkas bagi mengatasi pelbagai cabaran akan datang.

Ini termasuk tiga ciri utama iaitu sikap disiplin, ilmu dan keprihatinan yang membantu masyarakat menangani krisis COVID-19.

Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menekankan demikian dalam ucapan beliau di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).

Perjumpaan yang dihadiri sekitar 400 pemimpin masyarakat, belia, asatizah serta rakan masyarakat itu juga istimewa kerana diadakan secara fizikal buat pertama kalinya setelah dua tahun berpindah ke wadah online akibat COVID-19.

Mereka turut disertai Menteri Kanan Teo Chee Hean selaku tetamu terhormat.

"Hari Raya ini juga menandakan satu perkembangan yang signifikan dalam usaha kita memerangi COVID-19. Ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan usaha semua orang. Penyesuaian dan pengorbanan yang dilakukan masyarakat kita telah menyumbang kepada usaha Singapura demi menjaga keselamatan semua sebaik mungkin," kata Encik Masagos.

Ini bertepatan dengan tema yang dipilih bagi perjumpaan kali ini iaitu 'Mengharungi Pandemik COVID-19: Berdiri Teguh, Melangkah Kukuh'.

ILMU - CIRI UTAMA YANG PERTAMA

Menurut Encik Masagos, masyarakat Melayu/Islam akur dengan pelbagai penyesuaian yang perlu dilakukan dalam mengharungi COVID-19 kerana adanya ilmu.

"Oleh kerana masyarakat Singapura faham dasar-dasar fakta yang dikongsi, kita terima dan patuh keputusan-keputusan rumit yang harus dibuat sewaktu tempoh Pemutus Rantaian Jangkitan, walaupun berdepan dengan kepayahan dan krisis yang tidak menentu. Kita bijak dan cepat menilai pendapat golongan ilmuwan seperti para doktor, pakar kesihatan awam serta asatizah," ujar Encik Masagos.

Dalam mengorak langkah seterusnya, Encik Masagos berharap masyarakat dapat melihat betapa pentingnya ilmu itu dan meneruskan usaha untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam mengharungi masa depan yang semakin tidak menentu.

Dalam pada itu, Encik Masagos turut memuji daya bingkas asatizah dalam kesediaan mereka menghadapi isu-isu keagamaan yang rumit di tengah-tengah krisis.

Oleh yang demikian, adalah penting juga menurut Encik Masagos agar sektor keagamaan di sini juga sama berkemahiran bagi berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa akan datang.

Untuk itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memperluaskan biasiswa Sheikh Isa Semait bagi membiayai pengajian para penuntut madrasah yang cemerlang serta mahasiswa di universiti-universiti Islam berprestij di dunia.

Sebanyak S$1 juta akan diperuntukkan setiap tahun.

Beliau turut menarik perhatian kepada usaha-usaha bagi menggalak lebih ramai anggota masyarakat untuk berjinak-jinak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Saya gembira dan bangga apabila cendekiawan A*STAR, Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim dan Profesor Madya Yusuf Ali serta teman-teman mereka turun padang untuk mengasah bakat belia kita dalam bidang sains data kesihatan. Inisiatif dalam sektor yang sedang membangun ini dilakukan melalui program kesihatan di Tampines dan Choa Chu Kang, di mana para pengkaji muda bakal menerbitkan dapatan kajian mereka dalam jurnal-jurnal sains antarabangsa," kata Encik Masagos.

DISIPLIN - CIRI UTAMA YANG KEDUA

Encik Masagos juga yakin masyarakat dapat mengatasi dan elak daripada berlakunya krisis pada masa depan dengan sikap disiplin mereka.

"Sikap disiplin masyarakat kita, antara lain akur selama dua tahun ini memakai pelitup, membawa sejadah ke masjid, dan tidak berkumpul di restoran dan rumah adalah ciri yang menyerlah dalam kita mengharungi krisis COVID-19 ini," terang Encik Masagos.

Lagi satu krisis yang perlu diatasi masyarakat dengan sikap disiplin itu adalah berkaitan dengan trend kesihatan masyarakat Melayu/Islam.

Ini merujuk kepada jumlah pesakit kencing manis dan masalah tekanan darah tinggi yang semakin bertambah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Lantaran itu, sebuah program baru dinamakan 'Program Saham Kesihatan' akan dilancarkan secara berperingkat demi mengurangkan gejala-gejala penyakit kronik dengan pendekatan yang sesuai untuk masyarakat.

Program tersebut akan diterajui Setiausaha Parlimen Kanan, Cik Rahayu Mahzam.

KEPRIHATINAN - CIRI UTAMA YANG KETIGA

Bagi memupuk lagi sifat keprihatinan masyarakat, Encik Masagos mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan untuk tampil ke hadapan untuk membantu keluarga-keluarga yang menetap di flat-flat sewa menerusi Projek DIAN@M³.

Projek tersebut dilancarkan tahun lalu di tiga bandar M³ - Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar.

"Saya menyeru lebih ramai lagi sukarelawan tampil ke hadapan untuk membantu dalam pembelajaran anak-anak yang bersekolah atau melakukan lawatan ke rumah keluarga yang menetap di flat-flat sewa di bawah Project DIAN@M³ yang mempunyai anak kecil berumur 6 tahun ke bawah," kata Encik Masagos.

Encik Masagos turut memberi beberapa perkembangan tentang program M³ yang lain termasuk 'FITRAH' dan 'Bersamamu'.

Kedua-dua program itu menunjukkan peningkatan dari segi jumlah anggota masyarakat yang meraih manfaat daripada usaha berkenaan.

"COVID-19 dan Ramadan banyak mengajar kita tentang pentingnya ilmu, keprihatinan dan disiplin dalam menjaga keberadaan masyarakat. Saya yakin itulah ciri-ciri yang telah dapat menyelamatkan kita dari bahaya COVID-19. Ilmu, disiplin dan keprihatinan juga akan dapat mengelak krisis kesihatan dalam masyarakat dan menjaga kesejahteraan kita semua," kata Encik Masagos.

Beliau juga berkata ketiga-tiga ciri itu akan membolehkan masyarakat menempuhi masa hadapan yang penuh bermakna kerana Masyarakat Gemilang terbina atas umat yang sihat.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan