Skip to main content

Singapura

Tiga bintang kelahiran SG yang popular di M'sia bergabung untuk Rayakustika

Membuat pengorbanan demi keluarga tercinta. Itulah yang dikongsikan tiga anak seni kelahiran Singapura yang sudah menempa nama di persada muzik di Malaysia sejak lebih sedekad.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membuat pengorbanan demi keluarga tercinta.

Itulah yang dikongsikan tiga anak seni kelahiran Singapura yang sudah menempa nama di persada muzik di Malaysia sejak lebih sedekad.

Mereka yang dimaksudkan ialah Awi Rafael, Fuad Rahman dan Hady Mirza yang baru-baru ini berada di Singapura untuk rakaman rancangan sempena Aidiladha, Rayakustika 2023.

Sempena Aidiladha, ketiga-tiga bintang itu berkongsi erti pengorbanan bagi diri mereka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

SENTIASA DAHULUKAN KELUARGA

Sebagai seorang penyanyi dan penggubah lagu, Awi Rafael cukup sibuk dengan jadualnya di Malaysia.

Sebagai pengetua dan pengurus bersama sekolah muzik di Timbre Music Academy pula, Awi membimbing kanak-kanak yang menghidap autisme dan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) dalam bidang muzik.

Jadualnya yang padat itu memaksanya untuk kerap berulang alik antara Singapura dan Malaysia.

Namun, pelantun lagu 'Kalau Aku Kaya' itu tidak mengeluh kerana akur akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

"Pengorbanan itu bila kita membuat apa yang kita perlu dan bukan hanya apa yang kita inginkan. Awi kini menjaga ibu Awi bersama dengan keluarga Awi. Awi meluangkan masa lebih dengan ibu Awi. Awi rasa itu satu pengorbanan yang semua anak-anak akan buat juga. Untuk meluangkan masa dengan ibu bapa," kata Awi, yang juga anggota kumpulan Bhumiband.

Berkongsi pendapat serupa ialah juara Asian Idol, Hady Mirza.

Sejak menjuarai pertandingan Gegar Vaganza 2019, populariti beliau semakin melonjak naik di negara jiran.

Walau bagaimanapun, doa dan jasa ibu bapa tetap dikenang.

"Kita juga membuat pengorbanan dari segi membantu keluarga kita ataupun orang tua kita. Saya rasa itu pengorbanan yang sangat besar untuk siapa-siapa pun. Jasa saya rasa kita berbakti kepada ibu bapa kita, itu adalah satu pengorbanan yang paling mulia," kata Hady, yang popular dengan lagu 'Angkasa'.

Sejak muncul dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kelapan tahun lalu, rezeki Fuad Rahman di Malaysia juga semakin melimpah ruah.

Penyanyi lagu 'Bila Rindu' itu kini terlibat dengan lebih banyak projek, lebih-lebih lagi setelah mendirikan rumahtangga baru-baru ini.

"Sekarang saya ada banyak acara juga dan saya juga terlibat dalam 'Star Vendors' di Malaysia di bawah naungsan Ifa Raziah. 'Star Vendors' itu diadakan antara setiap sebulan hingga tiga bulan sampai hujung tahun kita akan menjelajah seluruh Malaysia.

"Jadi pengorbanan Fuad dengan anak-anak dengan peminat-peminat saya memberikan segala-galanya untuk mereka sedaya yang saya mampu," jelas Fuad yang merancang untuk menghasilkan sebuah lagu baru bersama isterinya, Tom pada tahun ini.

PERTAMA KALI DISATUKAN DALAM SATU PERSEMBAHAN

Buat julung-julung kalinya, ketiga-tiga bintang itu bakal bergabung suara dalam rancangan sempena Aidiladha, Rayakustika 2023.

Mereka akan mendendangkan lagu 'Mentari Merah di Ufuk Timur' nyanyian Amy Search dan kumpulan Rabbani.

Awi yang sebelum ini pernah membuat persembahan untuk rancangan itu berasa amat teruja, "Awi rasa gabungan suara-suara yang unik. Kita juga ada lagu-lagu segmen-segmen yang rancak dan juga lagu duet, lagu yang sangat istimewa untuk Awi. Lagu yang Awi tulis ‘Ada Jalannya’ bersama dengan bakat baru yang Awi baru jumpa juga. Jadi nantikan."

Hady menambah, "Sebenarnya kami sudah kenal lama tapi kali ini kami diberi peluang untuk membuat persembahan untuk sebuah lagu untuk para penonton."

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain menyanyi, Hady juga turut bersyukur kerana diberi peluang menjadi pengacara bersama Marina Yusoff.

"Saya akan banyak melihat ataupun menonton rancangan-rancangan yang lain bagaimana hos-hos yang lain mengendalikan program itu. Juga untuk saya menjadi hos bersama dengan Marina Yusoff adalah ia membantu saya juga untuk menjadi hos untuk program ini. Memang untuk saya tak berapa banyaklah untuk menjadi hos tapi ini salah satunya program yang mereka mempercayakan saya untuk jadi seorang hos," ujar Hady yang sebelum ini pernah mengacarakan rancangan hiburan 'Dansa Dan Sing' pada 2020.

Sepanjang satu jam, penonton juga dihiburkan dengan persembahan artis-artis tempatan termasuk Elfee Ismail, Haizad Imran, Izzathy Halil and Suryana Norddin serta perkongsian daripada pakar motivasi.

Anda boleh menonton Rayakustika 2023 di Suria pada Khamis (29 Jun), 8.30 malam dan meWATCH.

(Gambar: Syawal Yusoff)

 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita