Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga artis Melayu tampilkan karya seni, gamit kenangan dalam Minggu Seni SG 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga 15 Januari ini, para pengunjung boleh menikmati lebih 130 acara seni Singapura sempena Minggu Seni Singapura tahun ini (SAW 2023).

Acara itu menampilkan pelbagai karya seni dan artis kali ini, antaranya pesta seni, pameran, pemasangan seni yang diadakan di merata Singapura termasuk di kawasan kejiranan.

Ia juga merupakan acara seni besar-besaran yang kembali diadakan secara fizikal sepenuhnya sejak pandemik.

Ia melibatkan lebih 700 artis dan kurator dari dalam dan luar negara.


Pameran 'A Series of Serious Parties' di bawah blok.

Bertemakan 'Main' (Play), acara tahun ini menggalak pengunjung meneroka hubungan peribadi bersama persekitaran mereka serta mencetuskan interaksi yang bermakna dan spontan dalam masyarakat.

Antara pameran menarik yang para pengunjung boleh sertai termasuk 'A Series of Serious Parties' yang boleh menggamit kenangan ramai dengan pelbagai permainan lama yang diadakan di kolong blok.

Ia bertujuan menghubungkan masyarakat tempatan dengan seni di Singapura dan mewujudkan penghargaan buat ruang-ruang kolong blok.


Penyelaras program pameran itu, Nadya Zaheer, berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa pameran itu juga ingin menunjukkan bahawa seni tidak semestinya perlu serius tetapi sesuatu yang menyeronokkan buat semua.

"Kita sekarang berada di Ang Mo Kio dan kita memilih tempat ini kerana kita ingin menjadi lebih dekat lagi dengan masyarakat dan mengadakannya di ruang yang sangat ringkas dan mudah untuk orang ramai turun dan menikmati seni," menurut Cik Nadya yang berusia 23 tahun.

"Terutama sekali selepas COVID-19, saya rasa sangat susah untuk budak-budak mempunyai tempat untuk bermain. Jadi apa yang saya harapkan dengan pameran ini ialah ia dapat membolehkan budak-budak untuk bermain dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain," tambahnya lagi.

KEMBALI KE ZAMAN KANAK-KANAK - PERMAINAN TINGTING INTERAKTIF

Antara aktiviti yang menanti para pengunjung di blok 465 Ang Mo Kio itu termasuk permainan interaktif tingting atau 'hopscotch' yang membawa pengunjung kembali ke zaman kanak-kanak.

Menariknya, lampu akan menyala setiap kali para peserta melompat ke dalam petak-petak itu.


(Gambar: Instagram/PLAY!)

Selain itu, bengkel-bengkel bercerita, melukis, tarian dan sesi bahasa merupakan antara kegiatan yang turut ditawarkan secara percuma sepanjang 10 hari SAW 2023 berlangsung.



Pada malam hari pula, para pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan ahli kugiran muzik.

Namun, ia bukanlah mudah untuk menjayakan acara besar-besaran seperti itu bagi Cik Nadya, yang baru pertama kali melibatkan diri dalam SAW 2023.

Selain kesuntukan masa untuk membuat persediaan iaitu kurang tiga bulan sahaja, pasukan itu juga menghadapi cabaran dengan jumlah peruntukan biaya yang kecil.

"Sebagai penyelaras, saya perlu memilih program-program yang khusus jadi saya perlu bijak mengenainya agar saya tidak berbelanja lebih daripada peruntukan biaya saya," luah Cik Nadya yang pada mulanya merancang untuk menawarkan lebih banyak program.

PLATFORM BERIKAN ARTIS RUANG TUNJUK KEPADA DUNIA APA MEREKA MAMPU BUAT SELEPAS PANDEMIK

Bagaimanapun, anak muda itu yang merupakan seorang penghibur dan bertugas sebagai tenaga pengajar kanak-kanak teater muzik di sekolah tetap teruja dapat berkongsi platform dengan para artis lain menerusi SAW 2023.

"Platform yang diberikan oleh SAW 2023 membolehkan saya menggabungkan kedua-dua (kemahiran saya) dan sebagai penyelaras program, mereka program buat kanak-kanak dan warga emas serta memberi saya ruang untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada yang biasa saya lakukan," ujar Cik Nadya.

"Untuk artis yang lain, platform ini memberikan mereka ruang untuk menunjukkan kepada rakyat Singapura lain dan kepada dunia apa yang mereka mampu lakukan terutama sekali selepas COVID-19," menurutnya lagi.


SUSUN ARCA 'JIGSAW 3D' BANGUNAN IKONIK LAMA SG



Sebuah lagi pemasangan interaktif bertajuk 'Forgotten Fragments' juga direka secara kreatif bagi melibatkan para hadirin.

Menerusi karya itu, para hadirin boleh cuba menjadi ahli arkeologi untuk menyusun kembali arca susun suai 3D atau 'jigsaw 3D' yang berbentuk bangunan-bangunan ikonik Singapura yang sudah hilang.

Ia termasuk Perpustakaan Negara yang lama, Akuarium Van Kleef serta Panggung Negara.


(Gambar: Raihan Harun) 

Menariknya, ia mencabar para peserta untuk membina semula tempat-tempat ikonik itu berdasarkan hanya memori mereka sahaja tanpa menggunakan sebarang bantuan teknologi.

"Forgotten Fragments bertujuan untuk mengingatkan rakyat tentang kehilangan kolektif dan amnesia budaya tentang kawasan-kawasan yang amat disayangi orang ramai daripada zaman dulu tetapi (selepas) generasi yang lama beredar, kenangan tentang tempat-tempat ini pun pudar dan generasi baru berasa jauh dari Singapura yang sentiasa berubah," ujar Pengarah dan Penerbit pemasangan tersebut, Encik Raihan Harun.


"Kami ingin menonjolkan keseimbangan antara mencapai aspirasi negara untuk menjadi bandar yang moden dan kosmopolitan dengan memelihara ruang budaya dan warisan," tambahnya lagi.

RAIKAN KETABAHAN DAN KEAZAMAN MASYARAKAT



Meskipun menghadapi beberapa cabaran termasuk memastikan cebisan tanah liat dapat dibentuk dalam masa yang singkat, Encik Raihan menghargai pengalaman itu dan peluang yang diberikan pihak SAW 2023.

"Peluang ini amat bermakna bagi kaum artis seperti saya yang hilang nafkah, hilang identiti profesional dua tahun yang lalu. Minggu Seni Singapura meraikan ketabahan dan keazaman masyarakat seni untuk mencapai kecemerlangan walaupun menghadapi kesukaran tekanan jiwa dan cabaran yang berat," kongsi Encik Raihan.


(Gambar: Raihan Harun) 

Orang ramai boleh menyaksikan pemasangan interaktif oleh Encik Raihan itu di Kelab Masyarakat Yew Tee dan dibuka dari 11.00 pagi.

ARTWALK KEMBALI SECARA FIZIKAL SEPENUHNYA

SAW 2023 juga menampilkan sebuah pesta seni awam, ARTWALK yang kembali diadakan secara fizikal sepenuhnya untuk edisi kesembilan.

Anjuran Maktab Seni LASALLE dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan disokong oleh Persatuan Usahawan dan Warisan Little India (LISHA), ia menampilkan karya-karya yang boleh wujudkan pengalaman pelbagai deria menerusi hasil seni seperti mural atau lukisan tembok, bengkel, muzik dan persembahan.

Dalam edisi kesembilan ini, ia memaparkan empat mural baru di kawasan Little India dan Katong-Joo Chiat.


(Gambar: ZERO) 

Antara artis yang menyumbang lukisan kali ini ialah Mohammed Zulkarnaen Othman atau lebih dikenali sebagai ZERO.

Karya seni terbarunya 'Dekat di mata, Jauh di hati' itu boleh dinikmati orang awam di blok 290A Joo Chiat Road.


(Gambar: ZERO) 

Sekali pandang, semburan cat berwarna-warni ini pasti menarik perhatian ramai. Namun jika diperhatikan lebih lama, terdapat pelbagai sisi yang mempunyai makna yang tersirat. Ada juga termos air lama dan papan tanda lama yang membawa pengunjung kembali ke zaman dahulu kala di Joo Chiat dan Katong.

Namun, di sebalik itu, kelihatan juga wajah yang seolah-olah "suram" yang menyimpan beribu makna.

"Sekarang kalau ke Joo Chiat yang di sebelah yang lebih dekat ke Katong, lebih banyak perniagaan yang lebih menumpukan gaya hidupkan? Dari itu, saya dapat lihat kehilangan sesuatu dari segi sejarah, dari segi budaya kerana ada pertukaran budaya," kongsi Encik Zulkarnaen.

"Ada unsur-unsur rindu dan kehilangan jadi dekat di mata tetapi jauh di hati. Kalau memang dari segi zahir dilihat sahaja, kebanyakan kawasan di Singapura ini yang ada banyak rumah kedai itu masih sama. Dari segi zahir dan fizikal, rumah kedainya masih lagi di situ tetapi dari segi tenaga dan juga perlakuan budaya, perlakuan tradisi dan juga masyarakat sudah berbezakan? Jadi kehilangannya di situ," tambah beliau lagi.

HANYA AMBIL 3 HARI UNTUK HABISKAN KARYA SENI LUKISAN TEMBOK



Bagi artis berpengalaman itu yang juga seorang pensyarah sambilan di LASALLE, beliau hanya mengambil masa tiga hari sahaja untuk menyiapkan lukisan temboknya.

Namun, pelbagai persiapan daripada kajian sehinggalah mengamati kawasan Joo Chiat dan Katong sendiri perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Sebelum saya melukis atau memikirkan tentang apa yang saya mahu lukiskan di tembok itu, saya akan berjalan membuat tinjauan selama dua tiga jam di pekarangan Joo Chiat, Katong mencari inspirasi untuk mengimbas kembali sejarah, budaya dan juga tenaga sesuatu tempat itu sebab saya tidak boleh hanya mengambil daripada sejarahkan? Kalau begitu (terlalu) senang," ujar Encik Zulkarnaen.

"Saya ingin merasakan keistimewaan sesuatu pekarangan itu dengan berada di sana sendirian, dan memahami ruang dan apa perbezaan pekarangan Joo Chiat itu buat masa ini dari dulu sampai sekarang," tambah artis berusia 43 tahun itu.

ARTIS 'ZERO' KEMBALI TAMPILKAN KARYA SENI DI ARTWALK SELEPAS 3 TAHUN

Istimewanya, acara kali ini merupakan ARTWALK pertama Encik Zulkarnaen selepas tiga tahun lantas beliau amat berbangga dapat menyumbang sekali lagi. Beliau sebelum itu pernah menyertai acara seni itu sebanyak empat kali.

Bagi Minggu Seni Singapura pula, Encik Zulkarnaen berharap ia dapat dipanjangkan tempohnya agar lebih ramai warga tempatan boleh nikmati karya-karya seni.

"Kalau pendapat saya sendiri secara peribadi, ia tidak seharusnya dipanggil minggu seni. Ia mungkin seharusnya menjadi bulan seni. Jadi ini bukan sekadar betapa cepat anda boleh ke sini dan ke sana untuk melihat seni dan karya tetapi memberi masa untuk menghargai karya dan pameran di merata tempat di Singapura," ujar Encik Zulkarnaen.

Bagi butiran lanjut termasuk jadual dan maklumat mengenai artis yang terlibat, orang lamai boleh ke laman https://www.artweek.sg/

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan