Tiga amah Indonesia ditahan di bawah ISA; disiasat biayai pengganasan: MHA
Tiga wanita rakyat Indonesia dikenakan Perintah Tahanan (OD) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka sedang disiasat kerana pembabitan dalam kegiatan membiayai pengganasan. Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini (23 Sep).
SINGAPURA: Tiga wanita rakyat Indonesia dikenakan Perintah Tahanan (OD) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka sedang disiasat kerana pembabitan dalam kegiatan membiayai pengganasan. Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini (23 Sep).
Ketika ditahan, ketiga-tiga wanita itu, Anindia Afiyantari (Anindia), 33 tahun, Retno Hernayani (Retno), 36 tahun dan Turmini, 31 tahun bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura selama enam hingga 13 tahun.
MENJADI RADIKAL SELEPAS MENONTON BAHAN-BAHAN ONLINE BERKAITAN ISIS
Mereka menjadi radikal tahun lalu melalui media sosial selepas melihat bahan-bahan dalam talian berkaitan kumpulan pengganas ISIS di Iraq dan Syria dan menjadi yakin bahawa kumpulan ISIS berjuang demi Islam dan tindakan keganasan terhadap 'orang-orang kafir' adalah wajar.
Mereka menjadi lebih radikal setelah menyertai beberapa kumpulan media pro-ISIS di wadah media sosial. Mereka tertarik dengan video-video yang menggambarkan keganasan serta bahan-bahan propaganda mengenai kemenangan kumpulan ISIS di medan perang. Mereka juga terpengaruh oleh khutbah-khutbah online oleh para pendakwah radikal Indonesia seperti Aman Abdurrahman dan Usman Haidar bin Seff.
Ketiga-tiga wanita itu saling berkenalan ketika mereka menjadi radikal. Anindia dan Retno pertama kali bertemu di sebuah perhimpunan sosial di Singapura pada hari cuti mereka, manakala Turmini berkenalan dengan mereka di media sosial. Lama kelamaan, mereka menubuhkan rangkaian kenalan pro-militan luar negara dalam talian, termasuk "teman-teman lelaki online", yang berkongsi ideologi pro-ISIS. Ketiga-tiga mereka juga menjadi penyokong kuat kumpulan pengganas berkaitan ISIS yang berpangkalan di Indonesia, Jemaah Anshorut Daulah (JAD).
Menurut MHA, Anindia dan Retno berhasrat ke Syria untuk menyertai kumpulan ISIS. Mereka juga mendapat galakan daripada kenalan dalam talian untuk berhijrah ke selatan Filipina, Afghanistan atau Afrika bagi menyertai kumpulan-kumpulan pro-ISIS di situ. Anindia juga bersedia untuk menjadi pengebom nekad ISIS di Syria, manakala Retno ingin berperang bersama militan ISIS di Syria dan menyertai konflik di sana.
SECARA AKTIF MENARIK SOKONGAN TERHADAP ISIS DI MEDIA SOSIAL
Ketiga-ketiga wanita itu secara aktif menarik sokongan dalam talian terhadap kumpulan ISIS. Setiap daripada mereka menguruskan beberapa akaun media sosial yang digunakan untuk memuat naik bahan-bahan pro-ISIS. Mereka juga memberi sumbangan dana kepada beberapa entiti di luar negara bagi tujuan pengganasan, seperti sokongan bagi kegiatan ISIS dan JAD. Turmini percaya sumbangan dananya itu akan mendapatkannya tempat di syurga.
Selain mereka bertiga, seorang lagi amah Indonesia turut ditahan untuk membantu dalam siasatan. MHA menyatakan wanita itu didapati tidak menjadi radikal namun, sudah dihantar balik ke Indonesia kerana tidak melaporkan kepada pihak berkuasa meskipun tahu akan kegiatan radikal tiga wanita berkenaan.
Termasuk tangkapan terbaru itu, sebanyak 19 pembantu rumah dikesan menjadi radikal di Singapura sejak 2015. Kesemua mereka didapati tidak mempunyai rancangan untuk menjalankan kegiatan keganasan di Singapura. Namun, pembabitan mereka dengan kumplan pengganas luar negara dan menjadi radikal menimbulkan ancaman keselamatan terhadap Singapura.
16 pembantu rumah yang menjadi radikal sebelum ini sudah dihantar pulang ke negara masing-masing setelah siasatan selesai dijalankan.
Pemerintah memandang serius terhadap sebarang bentuk sokongan terhadap pengganasan di Singapura - sama ada oleh rakyat Singapura atau warga asing. Orang ramai perlu berwaspada terhadap bahan-bahan radikal dalam talian, termasuk yang dibuat penceramah pelampau.
Sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengesyaki seseorang menjadi radikal atau menjalankan kegiatan berhubung pengganasan harus segera menghubungi talian ISD Pusat Memerangi-Pengganasan di 1800-2626-473 (1800-2626-ISD).
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.