Tidak wajib untuk tajaka beroperasi pada hari Sabtu mulai 2025
SINGAPURA: Bermula 1 Januari 2025, tajaka tidak lagi diwajibkan untuk beroperasi pada hari Sabtu.
Ia adalah antara langkah untuk menarik lebih ramai orang untuk bekerja dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.
Usaha itu sejajar dengan Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025 bagi sektor tersebut, yang dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, dalam Majlis Pelantikan Program Pembangunan Profesional (PDP) pada Rabu (12 Jul).
Dengan langkah tersebut, ia juga bermakna para guru dan kakitangan pendidikan awal kanak-kanak hanya perlu bekerja dari Isnin hingga Jumaat apabila langkah itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 nanti.
Ini diharap dapat memperbaiki keadaan kerja untuk golongan tersebut sekaligus menarik lebih ramai orang ke sektor tersebut.
Tambahan pula, permintaan bagi khidmat jagaan kanak-kanak pada hari Sabtu adalah rendah.
"98% keluarga yang menggunakan khidmat prasekolah yang ditinjau tidak memerlukan khidmat tajaka pada Sabtu. Mereka berkongsi bahawa mereka boleh menjaga anak mereka sendiri atau menggunakan pilihan alternatif," ucap Encik Masagos.
PERUBAHAN SECARA BERFASA
Para pengendali juga dibenarkan untuk menggabungkan permintaan bagi khidmat jagaan pada hari Sabtu di pusat-pusat tertentu.
Ini bermakna semua kanak-kanak dari tajaka berbeza akan dihantar ke tajaka yang dibuka pada hari Sabtu. Dengan ini, ia akan mengurangkan keperluan tenaga kerja.
Bagi pusat jagaan kanak-kanak yang baru mula operasi pada 2024 pula, ia juga tidak diwajibkan untuk beroperasi pada hari Sabtu.
Selain itu, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan pilihan lain seperti khidmat jagaan kanak-kanak tidak rasmi.
BERI MASA UNTUK IBU BAPA DAN MAJIKAN BUAT PENYESUAIAN
Pendekatan secara bertahap ini juga diharap dapat memberi ibu bapa dan para majikan masa yang mencukupi untuk membuat penyesuaian.
"Untuk kebanyakan keluarga yang tidak menggunakan khidmat jagaan kanak-kanak pada Sabtu, peniadaan khidmat jagaan kanak-kanak pada Sabtu ini tidak akan menyusahkan," kongsi Encik Masagos.
"Namun kesannya pada pendidik EC besar sedang mereka beralih ke lima hari seminggu dan meluangkan lebih banyak masa untuk diri mereka dan bersama keluarga. Ini akan bantu mengekalkan mereka dalam sektor sambil menarik lebih ramai rakyat Singapura untuk menyertai dan menyokong perkembangan yang sedang berlangsung," tambahnya lagi.
KAKITANGAN TAJAKA SAMBUT BAIK PENGUMUMAN
Pengumuman itu disambut baik oleh para guru dan kakitangan pusat jagaan kanak-kanak, termasuk Pengetua Tajaka Morning Glory, Cik Yasmin Balik.
"Ianya bermanfaat untuk cikgu-cikgu yang mengajar di pusat-pusat tajaka kerana pada hari biasa, Isnin hingga Jumaat, mereka sudah bertungkus lumus bekerja dan ianya menghabiskan tenaga," kongsi Cik Yasmin.
"Jadi waktu Sabtu dan minggu adalah masa untuk mereka berehat dan memulihkan semula tenaga," tambahnya.
4 STRATEGI BAGI SEKTOR PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Ini dengan matlamat meningkatkan tenaga kerja dengan sekurang-kurangnya 2,500 menjelang 2025, daripada 24,000 sekarang.
Ia selain melakukan transformasi sektor itu menerusi pendigitalan, mengatasi keperluan prasekolah yang sering berubah serta membina sektor yang berdaya tahan.
Terdapat juga rancangan untuk menjadikan gaji pekerja lebih berdaya saing bagi sektor itu serta menyediakan lebih banyak sumber untuk memperbaiki program-program pembelajaran dan prasekolah.
Di majlis itu juga, seramai 459 pendidik termasuk pemimpin dilantik bagi PDP tahun ini.
Ia bagi menyokong pembangunan kerjaya para pendidik yang ada potensi untuk pikul tanggungjawab lebih besar dalam pertubuhan masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.