Tidak wajib solat Jumaat jika uzur, khuatir dijangkiti COVID-19: Mufti
Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan tiga fatwa bagi pelaksanaan solat Jumaat apabila ia dimulakan semula pada Jumaat ini (26 Jun).
Singapura: Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan tiga fatwa bagi pelaksanaan solat Jumaat apabila ia dimulakan semula pada Jumaat ini (26 Jun).
Fatwa tersebut dikeluarkan atas pertimbangan menjaga jarak selamat, melindungi golongan berisiko tinggi dan memastikan solat berjemaah dikerjakan di ruang yang selamat.
Mengumumkan keputusan Fatwa itu ialah Mufti Negara Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam satu sesi taklimat bersama media pada Ahad (21 Jun).
MENGADAKAN SOLAT JUMAAT 2 KALI
Ustaz Dr Nazirudin berkata keputusan untuk menambah jumlah solat Jumaat kepada dua kali dibenarkan memandangkan keterbatasan ruang yang selamat.
Awal dari itu, Kumpulan Kerja MUIS mengumumkan bahawa jumlah jemaah bagi solat Jumaat akan dihadkan kepada 50 orang sahaja.
Masjid-masjid di sini akan menjalankan solat Jumaat sebanyak dua kali.
Dengan had ruang yang selamat itu, Ustaz Dr Nazirudin berkata salah satu cara bagi menampung para jemaah adalah untuk menambah jumlah solat jumaat yang diadakan di masjid-masjid.
Menurutnya langkah itu dibolehkan kerana "ruang solat sangat terbatas".
Dengan sistem pendaftaran yang bakal dilaksanakan untuk jemaah mengerjakan solat Jumaat, Ustaz Dr Nazirudin berkata mereka yang tidak mendapat tempat tidak perlu mendirikan solat Jumaat.
Sebagai pengganti, golongan itu, katanya boleh mendirikan solat zuhur di rumah seperti biasa.
"Bagi mereka yang tidak berjaya mendapat tempat maka mereka tidak wajib untuk mendirikan solat jumaat. Kewajipan itu gugur buat mereka," katanya.
Jawatankuasa Fatwa juga menyatakan solat Jumaat boleh diadakan lebih awal daripada waktu solat.
Ini agar lebih banyak sesi solat Jumaat boleh dijalankan.
MEREKA YANG TIDAK PERLU DIRIKAN SOLAT JUMAAT
Selain mereka yang tidak mendapat tempat melalui pendaftaran dalam talian, solat Jumaat juga tidak diwajibkan ke atas golongan uzur, menurut Jawatankuasa Fatwa.
Golongan uzur termasuk warga tua, mereka yang mempunyai sakit kronik, dan mereka yang bimbang dijangkiti virus dan mendedahkan anggota keluarga mereka kepada kemungkinan dijangkiti virus itu. Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal bersama ahli keluarga warga senja, atau yang mempunyai penyakit kronik.
"Dalam keadaan ini fatwa telah memutuskan bahawa golongan ini tidak perlu untuk mengerjakan solat Jumaat.
"Cukup sebagai pengganti bagi mereka untuk terus menunaikan solat zuhur di rumah sepertimana yang kita telah lakukan dan mereka juga boleh mendengar khutbah secara dalam wadah talian," jelas Mufti.
JARAK 1 METER
Bagi mengurangkan risiko jangkitan pandemik COVID-19 antara satu jemaah dengan yang lain ketika di masjid, Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan keputusan membolehkan jemaah untuk mendirikan solat pada jarak sejauh 1 meter antara satu sama lain.
Ini sejajar dengan tujuan perundangan Islam yang lebih utama, iaitu untuk melindungi kehidupan serta keselamatan umat manusia, jelas Jawatankuasa Fatwa itu.
"Fatwa telah memutuskan menjaga jurang selamat sedemikian tidak menjejaskan sah solat berjemaah kerana dua sebab.
"Pertama, ia memastikan keselamatan jemaah itu sendiri. Yang kedua, jemaah masih tetap berada dalam satu ruang iaitu dalam satu masjid dan mereka semuanya mengikut pergerakan imam, bacaan imam kesemuanya dengan jelas. Kita juga telah lihat perkara ini dilakukan ataupun dipraktikkan di negara-negara lain," kata beliau lagi.
ISLAM AGAMA YANG MUDAH
Ustaz Dr Nazirudin memahami luahan masyarakat Muslim Singapura yang rindu untuk kembali ke masjid bagi menjalankan ibadah mereka.
Namun beliau berkata penyesuaian-penyesuaian baru dalam ibadah yang tidak melanggar hukum agama perlu diambil bagi memastikan keselamatan masyarakat Muslim secara amnya.
Beliau juga menekankan bahawa ajaran dan fahaman Islam itu adalah mudah.
"Saya ingin mengingatkan masyarakat bahawa agama Islam adalah agama yang memudahkan, ia tidak membebankan kita daripada apa yang kita tidak mampu untuk melaksanakan.
"Dalam suasana seperti sekarang ini dengan ketarbatasan yang ada, agama memberikan huraian dan juga memberikan keuzuran yang diterima oleh syarak bagi mereka yang tidak dapat melaksanakan sesuatu ibadah penting," jelasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.