Skip to main content

Singapura

"Tidak wajar banding respons pemerintah terhadap 3 tumpahan minyak baru-baru ini", kata Murali Pillai

Anggaran Waktu Membaca:
"Tidak wajar banding respons pemerintah terhadap 3 tumpahan minyak baru-baru ini", kata Murali Pillai

Tumpahan minyak di Pantai Tanjong Sentosa pada pagi 15 Jun 2024. (Gambar: Pembaca CNA)

Diterbitkan : 11 Nov 2024 06:25PM Dikemas Kini : 11 Nov 2024 06:26PM
SINGAPURA: Adalah tidak berguna untuk membandingkan tiga insiden tumpahan minyak di Singapura baru-baru ini kerana ia mempunyai sifat yang sangat berbeza, kata Menteri Negara Pengangkutan Murali Pillai pada Isnin (11 Nov).

Encik Murali berkata demikian semasa menjawab pertanyaan para Anggota Parlimen mengenai insiden tumpahan dan kebocoran minyak pada 14 Jun, 20 Okt dan 28 Okt tahun ini.

Sekurang-kurangnya lapan Anggota Parlimen dari kedua-dua belah Dewan memfailkan soalan, bertanya tentang punca kejadian, masa untuk bertindak balas, kesan terhadap alam sekitar, dan langkah pencegahan terhadap kejadian serupa.

Dalam responsnya, Encik Murali, yang juga Menteri Negara Undang-Undang, menegaskan bahawa sifat dan skala setiap kejadian adalah berbeza, dengan punca setiap kejadian tidak berkaitan antara satu sama lain.

Insiden pada 14 Jun, yang menyebabkan pantai-pantai di sekitar Singapura ditutup, disebabkan oleh perlanggaran antara kapal Vox Maxima dan kapal tangki bunker Marine Honor - di Terminal Pasir Panjang, mengakibatkan pelepasan sekitar 400 tan minyak ke dalam laut.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) telahpun selesai menjalankan siasatannya dan menilai bahawa anak kapal Vox Maxima yang berdaftar di Belanda gagal melaksanakan tugasnya dengan betul, kata Encik Murali.

Keempat-empat lelaki itu didakwa di Mahkamah Negara pada 6 Nov di bawah Akta Perkapalan Dagangan 1995.

Insiden pada 20 Okt adalah akibat kebocoran saluran paip darat Shell di Pulau Bukom, yang membawa kepada kira-kira 30 hingga 40 tan campuran minyak dan air bocor ke laut.

Insiden pada 28 Okt disebabkan oleh limpahan bahan api bunker di kapal penerima semasa operasi bunker dekat perairan Changi. Akibatnya, sekitar 5 tan minyak melimpah ke laut, yang menurut Encik Murali sebagai "jumlah yang lebih kecil" berbanding kejadian pada 14 Jun.

“Mengambil kira sifat, skala dan lokasi yang sangat berbeza bagi ketiga-tiga insiden, masa dan sumber yang diperlukan untuk memantau, membersihkan dan mengurangkan tumpahan minyak daripada ketiga-tiga insiden ini juga berbeza.

"Oleh itu tidak wajar untuk membandingkan masa untuk bertindak balas untuk insiden-insiden ini," kata Encik Murali.

Sebaik mendapat tahu tentang kejadian itu, MPA menyelaraskan dengan agensi-agensi lain seperti Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), agensi air negara Singapura (PUB) untuk "mengaktifkan sumber dan keupayaan untuk bertindak balas".

Bagi kejadian pada Oktober lalu, agensi itu mengaktifkan pasukan operasi kecemasan yang melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk memantau dan mencegah tumpahan minyak selanjutnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita