Tidak setuju dengan pandangan Calvin Cheng terhadap konflik Israel-Hamas: Masagos
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menekankan bahawa beliau tidak bersetuju dengan pandangan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Calvin Cheng berkaitan konflik antara Israel dengan Hamas.
Dalam catatan Facebook pada Khamis (3 Apr), Encik Masagos berkata beliau sudah berkali-kali mengulangi pendiriannya tentang konflik Israel-Hamas sebelum ini.

"Pembunuhan nyawa tak berdosa mesti dihentikan. Ramai juga sudah berkongsi kesedihan dan kemarahan, amat sedih dengan kesengsaraan yang ditanggung orang awam yang tak bersalah, terutamanya kanak-kanak," kata Encik Masagos.
"Di negara kita, warga Singapura daripada latar belakang berbeza, bersatu dalam perpaduan. Hakikat bahawa orang daripada kaum dan agama berbeza berdiri teguh menyeru bagi keamanan adalah signifikan. Ia mencerminkan nilai mendalam kita bagi keadilan, perikemanusiaan dan hormat satu sama lain," tambahnya.
INISIATIF TAMPINES SG60 CARES
Encik Masagos yang juga Anggota Parlimen GRC Tampines turut menyentuh tentang inisiatif Tampines SG60 Cares.

"Calvin Cheng secara peribadi juga bantu untuk dapatkan derma. Saya hargai usahanya untuk dapat sokongan dan derma bagi membantu penduduk Tampines, Calvin telah berkata adalah lebih baik jika dia salurkan dana itu bagi tujuan lain. Saya hargai usahanya itu," kata Encik Masagos.
Sebelum itu, Encik Cheng sudah memuat naik catatan ke Facebook yang mengatakan bahawa beliau telah memutuskan untuk menyalurkan dana itu kepada usaha di peringkat nasional bagi kebaikan semua.
Beliau juga memuat naik petikan catatan beliau pada Hari Raya Aidilfitri (31 Mac) yang menyatakan hasratnya untuk mengumpul dana bagi Tampines SG60 Cares sempena Hari Raya.
"Setelah berbincang dengan beberapa pemimpin Melayu/Islam kita, saya memulakan inisiatif untuk mengumpul dana daripada warga baharu yang mewah yang diharap akan membantu untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum dan agama kita di Singapura. Inisiatif pertama ini untuk Hari Raya ini. Saya menghubungi kawan-kawan saya yang merupakan warga baharu (sebelum ini dari PRC) untuk kumpul dana bagi Hab Tampines Kita yang akan melancarkan projek untuk membantu penduduk yang memerlukan," kata Encik Cheng.
Dalam kemas kininya hari ini, Encik Cheng berkata: "Saya telah memutuskan demi kebaikan semua untuk menyalurkan sumbangan itu kepada usaha peringkat nasional. Dalam meraikan SG60, Dana Masyarakat telah melancarkan SGSHARE".
Meskipun begitu, Encik Masagos berkata inisiatif Tampines SG60 Cares akan tetap diteruskan dan mereka akan meraih dana daripada pihak-pihak lain untuk menyokong penduduk Tampines.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.