Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tidak sesekali terlalu tua untuk lakukan kerja sukarela', kata Dr Faishal

Lebih ramai orang tampil menjadi sukarelawan untuk membantu para banduan dan juga keluarga mereka, termasuk warga senja.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak sesekali terlalu tua untuk lakukan kerja sukarela', kata Dr Faishal

(Gambar-gambar: Facebook/Dr Faishal Ibrahim)

SINGAPURA: Lebih ramai orang tampil menjadi sukarelawan untuk membantu para banduan dan juga keluarga mereka, termasuk warga senja.

Usia bukan sahaja tidak menjadi penghalang, malah pengalaman hidup mereka yang lebih panjang mungkin boleh dijadikan sebagai sesuatu yang bernilai dalam mendampingi insan-insan yang memerlukan panduan hidup ini.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim menerusi catatan Facebooknya pada Jumaat (26 Nov) berkongsi rasa besar hati melihat perkembangan itu.

Dr Faishal turut berkongsi beliau berjumpa dengan dua warga senja yang merupakan sukarelawan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH) - Encik Shahril Ahmad, 66 tahun dan Ustazah Noorshiah Othman, 78 tahun.

Encik Shahril "adalah seorang Pendamping Masyarakat yang mendampingi bekas pesalah 'Ali' (bukan nama sebenar) sejak tahun lalu. Pernah sekali, beliau menyediakan tempat tinggal sementara apabila 'Ali' tidak ada tempat untuk bermalam," cerita Dr Faishal.

(Gambar: Facebook/Dr Faishal Ibrahim)

Ustazah Noorsiah pula merupakan seorang Kaunselor Agama dengan FITRAH.

Beliau sudah menawarkan khidmat kaunseling kepada para banduan di Penjara Wanita Changi selama 20 tahun. Beliau turut meniup motivasi kepada ramai asatizah muda untuk tampil menjadi sukarelawan.

(Gambar: Facebook/Dr Faishal Ibrahim)

"Saya amat tersentuh dengan semangat tinggi dan dedikasi mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat, sedangkan mereka boleh menghabiskan masa persaraan dengan bersantai.

"Seseorang tidak sesekali terlalu tua untuk melakukan kerja-kerja sukarela; jangan biarkan usia anda menghalang anda untuk mengejar apa yang anda mahukan dalam kehidupan," kata Dr Faishal.

FITRAH dilancarkan pada 2019 dan merupakan rakan utama Home Team dalam usaha menyediakan sokongan menyeluruh buat para pesalah dan keluarga mereka. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan