Skip to main content

Singapura

'Tidak semua keputusan tepat' semasa krisis COVID-19, kuncinya adalah untuk terus belajar: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: "Tidak semua keputusan Pemerintah tepat" sewaktu ia menangani krisis COVID-19. Namun, kuncinya adalah untuk terus belajar dan "bersiap sedia untuk membuat keputusan yang sukar." 

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (12 Apr). 

Dalam ucapan yang disampaikan semasa Majlis Pelantikan dan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pentadbiran, PM Lee juga menarik perhatian bahawa kepercayaan kepada Pemerintah menjadi kunci dalam cara Singapura menguruskan pandemik. 

Untuk terus memperkukuhkan kepercayaan ini, ia memerlukan perkhidmatan awam yang "handal" dan "bekerjasama" dengan kepimpinan politik, ujar PM Lee semasa majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands. 

PM Lee menyifatkan COVID-19 sebagai "satu ujian berat" untuk Pemerintah dan menekankan beberapa pengajaran utama. Antaranya adalah perlunya untuk membuat keputusan yang sukar, terutama sekali dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak jelas. 

Misalnya, Singapura perlu membuat keputusan pada awal pandemik semasa tidak banyak yang diketahui tentang virus tersebut. 

"Sama ada untuk membenarkan virus itu menular dalam kalangan penduduk dan berharap untuk mencapai tahap yang selamat menerusi daya imun kelompok, atau menguatkuasakan langkah-langkah ketat dan memastikan jumlah kes di Singapura rendah sehingga kami mengetahui cara untuk memastikan penduduk kami selamat," kata PM Lee. 

Kedua-dua mendatangkan risiko tersendiri. Namun, Singapura sejak awal lagi membuat keputusan bahawa ia tidak akan mengambil risiko kehilangan banyak nyawa, tegas PM Lee lagi. 

Justeru, ia menutup sempadannya, menguatkuasakan langkah-langkah ketat dan melaksanakan tempoh "pemutus rantaian jangkitan" pada April 2020 apabila sekolah dan tempat kerja ditutup dan penduduk tidak dibenarkan untuk makan di luar.

Namun selepas setahun, kemunculan varian Delta yang amat mudah berjangkit membuat strategi sifar COVID-19 "semakin lama semakin sukar bertahan", ujar PM Lee. 

Pemikiran awam juga perlu diubah, seperti tahap keresahan "agak tinggi" masyarakat menyusuli jumlah kes harian yang tinggi dan menggesa para pesakit COVID-19 untuk pulih di rumah. 

"Mujur, kami melaksanakan peralihan itu pada waktu yang tepat dan dapat menangani lonjakan kes akibat Delta dengan baik dan disusuli gelombang Omicron," menurut PM Lee. 

Beliau menarik perhatian bahawa Pemerintah perlu membuat "banyak keputusan yang sukar dan yang membawa kesan" dalam dua tahun yang lalu, "kerapkali tanpa garis panduan yang sedia ada mahupun kelebihan dari segi waktu untuk tunggu dan lihat keadaan". 

"Kami harus menilai berdasarkan apa yang terbaik pada waktu itu dengan maklumat yang tidak lengkap dan bertindak dalam keadaan tidak jelas," ujar PM Lee, sambil menambah bahawa langkah untuk tidak membuat sebarang keputusan atau memilih untuk menunggu sehingga semua fakta wujud sebelum betindak "mungkin memburukkan lagi keadaan". 

Sekalipun demikian, PM Lee akur bahawa "tidak semua keputusan Pemerintah tepat". 

"Kami juga berdepan beberapa cabaran dan hambatan sepanjang dua tahun yang lalu. Namun, kuncinya adalah untuk terus belajar dan mempertingkatkan diri; dan sedang kami mendapat lebih banyak maklumat, untuk kami bersiap sedia mengemas kini, mengubah atau menarik balik keputusan-keputusan kami."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita