Skip to main content

Singapura

'Tidak selesa': Penduduk Tengah berdepan isu kawasan perumahan belum siap sepenuhnya

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak selesa': Penduduk Tengah berdepan isu kawasan perumahan belum siap sepenuhnya

(Gambar-gambar: CNA/Koh Wan Ting)

Diterbitkan : 10 Oct 2023 12:38PM Dikemas Kini : 10 Oct 2023 12:39PM

SINGAPURA: Sejak berpindah ke kawasan Tengah beberapa minggu lalu, Cik Amy Ong berkata beliau terpaksa berjalan jauh dari flatnya hampir setiap pagi.

Cik Ong bersama suaminya mengendalikan sebuah gerai makanan di kedai kopi di Serangoon dan ia mengambil masa satu jam untuk ke tempat kerja dari rumah mereka di Blok 133C di Plantation Grange. Ini termasuk perjalanan selama 30 minit ke Bukit Batok, di mana mereka boleh menaiki teksi.

"Ia amat menyusahkan," kata Cik Ong, 48 tahun, kepada Mediacorp pada Selasa lalu (3 Okt), di kolong bloknya.

Dengan pilihan pengangkutan awam yang terhad, pasangan itu terpaksa menaiki teksi atau kereta sewa privet untuk pulang ke rumah. Namun, untuk keluar dari kawasan itu juga merupakan satu isu oleh kerana tempat pengambilan di Blok 133C tidak tertera di aplikasi pengendali kereta sewa privet.

Para penduduk di beberapa kawasan blok perumahan seluas 700 hektar di bandar Tengah mula mendapat kunci mereka pada 29 Ogos.

Setakat 26 September lalu, sekitar 295 daripada 2,333 unit di dua projek pertama Tengah - Plantation Acres dan Plantation Grange - sudahpun mendapatkan kunci mereka, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Sebahagian kawasan Tengah - yang ditetapkan sebagai bandar "kurang kereta" - masih lagi dalam pembinaan, termasuk sebuah pusat pertukaran bas di Tengah Boulevard, stesen MRT Tengah serta sebuah pusat msyarakat.

Satu-satunya perhentian bas did estet itu kini terletak di Plantation Crescent, bersebelahan Blok 111 di Plantation Acres. Ia hanya menawarkan perkhidmatan bas 992, yang mengikut laluan antara Tengah dengan pusat pertukaran bas Bukit Batok.

Bagi para penduduk di Plantation Grange - yang tempatnya lebih dalam - it mengambil masa 10 hingga 15 minit hanya untuk berjalan ke perhentian bas itu. Jika mereka ingin berjalan ke Bukit Batok Road, di mana terdapat lebih banyak pilihan pegnangkutan awam, mereka harus berjalan selama lagi 10 minit.

(Gambar: Alfred Yeo)

HABUK, CUACA PANAS, TAPAK BINAAN

Jarak antara Plantation Grange dan Bukit Batok Road sekitar 1 kilometer, menurut Google Maps. Jika berjalan kaki, seseorang individu itu harus berdepan dengan habuk, haba serta melalui tapak binaan itu.

Tambahan lagi, para pemilik rumah yang lain di kawasan Tengah, yang lebih dalam, juga mengatakan bahawa mereka perlu berdepan dengan laluan yang disekat.

Eksekutif kewangan Nurul Atiqah, 33 tahun, sering ke Blok 133 untuk membantu dalam ubah elok rumah tunangnya.

Namun, pada bulan lalu, beliau terpaksa mencari laluan lain kerana laluan yang sering digunakan dihadang oleh pagar.

Cik Ong dan suaminya juga berdepan perkara yang serupa, di mana laluan mereka ke jalan raya dihadang.

"Saya menunggu selama 20 minit untuk hadangan itu diketepikan. Saya bertanya kepada pekerja jika saya boleh lalu selepas kren beralih, tetapi mereka tidak tahu. Tiada sesiapa yang boleh menggerakkan hadangan itu," kata suaminya Encik Ong, 60 tahun.

(Gambar: CNA/Koh Wan Ting)

Menurut HDB, pihaknya tahu mengenai respons penduduk terhadap hadangan di jalan raya dan laluan pejalan kaki yang disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan.

“Kami mengarahkan kontraktor untuk tidak meletak kenderaan di sepanjang jalan atau menyekat laluan masuk atau keluar pembangunan perumahan, dan sedang bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk mengekalkan laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa untuk penduduk yang menuju ke perhentian bas terdekat sepanjang masa," kata seorang jurucakap.

LTA menyatakan bahawa ia mengetahui cabaran-cabaran yang dihadapi oleh penduduk mengenai akses ke perhentian bas dan akan bekerjasama dengan kontraktor untuk menangani isu itu. Ia juga akan bekerjasama dengan ahli parliment daerah itu, Dr Amy Khor (PAP-Hong Kah North) dan ketua-ketua akar umbi yang lain untuk memperbaiki rangkaian pengangkutan bas di Tengah.

Menerusi satu catatan di Facebook bulan lalu, Dr Khor berkata bahawa bas 992 akan dilanjutkan sedang lebih banyak lagi kemudahan diselesaikan di Tengah.

Bas 992, yang diperkenalkan pada 24 September, membawa penduduk ke stesen MRT dan stesen pertukaran bas Bukit Batok, serta kemudahan utama lain seperti pasar raya, poliklinik dan pusat beli-belah West Mall, menurut jurucakap LTA.

Sepanjang Bukit Batok Road, perkhidmatan bas 160, 180 dan 993 menghubungkan para penduduk dengan Jurong East dan Bukit Panjang, kata jurucakap itu.

"Dengan siapnya lebih banyak pembangunan perumahan yang jauh daripada Jalan Bukit Batok, LTA mempunyai rancangan untuk meningkatkan ketersambungan pengangkutan awam ke kawasan lain, termasuk Jurong East."

MESIN LAYAN DIRI, PERKHIDMATAN RUNCIT

Tidak seperti pembangunan bina ikut tempahan (BTO) bandar-bandar lain, Tengah merupakan bandar baru di mana kemudahan dan prasarananya masih lagi dalam pembinaan, menurut HDB sebagai jawapan kepada tindak balas penduduk.

Ia merujuk kepada langkah sementara yang dilaksanakan bagi kemudahan penduduk, seperti perkhidmatan ulang-alik bas percuma yang membawa penduduk ke Bukit Batok sehingga ia digantikan dengan perkhidmatan bas 992.

"Kami juga mengambil langkah praktikal untuk mengurangkan pembinaan kemudahan yang tidak diingini, namun kami meminta pemahaman penduduk bahawa tidak mungkin untuk menghapuskan pembinaan kemudahan yang tidak diingini sepenuhnya memandangkan skala pembinaan yang sedang dijalankan," kata jurucakap HDB.

"Kami juga mengarahkan semua tapak binaan HDB di Tengah untuk meningkatkan langkah pembersihan mereka bagi memastikan serpihan dan habuk daripada aktiviti pembinaan dihadkan di dalam tapak binaan sahaja seberapa mungkin," tambahnya.

Kedai-kedai di Pusat Kejiranan Plantation Plaza – yang akan mempunyai pasar raya, kedai makanan dan klinik – dijangka dibuka secara progresif mulai suku kedua 2024. Sementara itu, HDB merancang untuk membawa masuk mesin layan diri yang menawarkan makanan panas di dek kosong Blok 111A di Plantation Acres.

HDB juga bekerjasama dengan pengusaha pasar raya untuk menempatkan perkhidmatan trak runcit mudah alih di kawasan Tengah untuk membantu penduduk.

"Kami cuba yang terbaik untuk membawa kemudahan tambahan ini menjelang November 2023 atau awal Disember 2023, ketika kumpulan terawal penduduk Tengah dijangkakan mungkin telah menyelesaikan pengubahsuaian mereka dan mula berpindah masuk.

"Kami berharap peruntukan sementara ini akan membantu memberi keselesaan dan kemudahan kepada kumpulan terawal penduduk Tengah, sebelum kemudahan lain di bandar itu dibuka secara berperingkat," kata jurucakap itu.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita