Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak ramai pesakit ingin ambil pil COVID-19; sesetengah alami kesan sampingan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak ramai pesakit yang ingin ambil pil COVID-19 yang baru sahaja diluluskan, menurut sekurang-kurangnya dua klinik. 

Setakat ini, tidak ramai pesakit yang layak untuk menerima pil antivirus Paxlovid itu, tetapi antara mereka yang layak, sesetengahya menolak tawaran tersebut, kata mereka. 

Sebilangan pesakit berkata mereka tidak perlu mengambil pil tersebut kerana hanya mengalami gejala ringan, manakala ada pula yang mengalami kesan-kesan sampingan. 

"Salah seorang pesakit saya mengalami cirit-birit, iaitu salah satu kesan sampingan yang biasa berlaku setelah mengambil ubat ini. 

"Selepas itu, saya bercakap dengannya menerusi panggilan telefon, tiada demam, tiada sakit perut, tiada apa-apa yang kelihatan serius. Dan selepas beberapa hari, dia juga pulih. Justeru, bagi kami, kami agak berpuas hati dengan pil tersebut," kata Dr Moses Loh, seorang doktor keluarga di Loh & Loh Clinic & Surgery. 

Singapura memberikan kelulusan sementara bagi Paxlovid pada Januari, dan pada April, meluluskan pil antivirus kedua, iaitu Molnupiravir. 

Klinik Dr Loh menerima sekitar 20 pesakit COVID-19 setiap hari, tetapi hanya menawarkan Paxlovid itu kepada tiga pesakit sahaja setakat ini. 

Sebuah lagi klinik, Chua Medical, pula memberikan pil Paxlovid kepada 12 pesakit sejak April dan menyatakan bahawa stok pil itu masih diperlukan sedang sempadan negara dibuka semula. 

"Memandangkan sempadan negara dibuka semula, lebih ramai orang akan melakukan perjalanan ke luar negara. Terdapat pesakit yang sudah divaksin sekitar enam dan tujuh bulan lalu dengan satu ataupun dua dos penggalak, dan saya rasa mereka mungkin berdepan dengan risiko jangkitan COVID-19, terutama sekali warga emas. Oleh itu, ada sebab untuk kami menyimpan stok yang mencukupi," kata Dr Chua Guan Kiat, seorang doktor keluarga di klinik Chua Medical. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan