Tidak 'produktif atau wajar' beri tekanan kepada syarikat yang bayar cukai karbon, kata Masagos
Memberi tekanan secara terbuka dengan menerbitkan data khusus mengenai cukai karbon yang dibayar oleh sesebuah syarikat bukan sesuatu yang 'produktif atau wajar', kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di Parlimen pada Isnin (3 Feb).
Encik Masagos Zulkifli.
SINGAPURA: Memberi tekanan secara terbuka dengan menerbitkan data khusus mengenai cukai karbon yang dibayar oleh sesebuah syarikat bukan sesuatu yang 'produktif atau wajar', kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di Parlimen pada Isnin (3 Feb).
Encik Masagos berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Louis Ng yang menyarankan dalam soalan tambahannya bahawa menerbitkan data sedemikian akan membolehkan orang ramai untuk memberi tekanan kepada syarikat-syarikat sedemikian, sekali gus mendorong syarikat-syarikat tersebut untuk 'mempercepatkan' dasar perubahan iklim masing-masing.
Encik Masagos menerangkan bahawa matlamat di sebalik cukai karbon adalah "untuk memberikan isyarat harga yang jelas kepada seluruh ekonomi" dan tidak bertujuan untuk memberi tekanan kepada sebarang kemudahan atau syarikat.
Menyifatkan data seluruh ekonomi itu sebagai penunjuk yang lebih berguna, beliau menambah: "Kami tidak mendapatinya produktif mahupun wajar untuk memberi tekanan kepada mana-mana syarikat semata-mata kerana mereka membayar cukai karbon atau terpaksa berbuat demikian kerana undang-undang."
Encik Masagos berkata ia akan menjadi 'penunjuk yang lebih berguna' bagi Pemerintah dan orang ramai untuk mengetahui sektor mana yang perlu diberi perhatian dan bagaimana untuk membantu mereka.
Dalam pertanyaannya di Parlimen, Encik Ng bertanya sama ada Kementerian akan menimbangkan untuk mengeluarkan pecahan pendapatan yang diperolehi daripada setiap kemudahan yang boleh dikenakan cukai apabila data sedemikian disediakan kelak.
Encik Masagos berkata bahawa Pemerintah tidak boleh mendedahkan data itu disebabkan oleh syarat-syarat yang tertakluk di bawah Akta Penentuan Harga Karbon (CPA).
Beliau menambah bahawa pendapatan cukai karbon akan diterbitkan dalam Buku Belanjawan Pemerintah setiap tahun.
CPA, yang dilaksanakan sejak 1 Jan 2019, memerlukan kemudahan dalam sektor pengilangan, penjanaan kuasa, pengurusan sisa dan air yang mengeluarkan sisa setara 25,000 tan karbon dioksida atau lebih setiap tahun untuk membayar cukai karbon sebanyak S$5 setiap tan, menggunakan kredit karbon yang dibeli daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Encik Ng juga bertanya sama ada penerbitan data adalah berdasarkan jenis kemudahan dan saiz tanpa menamakan sesebuah syarikat boleh dilakukan untuk mengenal pasti industri mana yang banyak menyumbang kepada pengeluaran karbon di Singapura.
Sambil menarik perhatian bahawa 40 syarikat yang terjejas oleh CPA menyumbang sekitar 80 peratus kepada pelepasan karbon di Singapura, Encik Masagos menambah: "Jika anda menerbitkan pecahan walaupun sekadar mengikut kemudahan, anda boleh melakukan kiraan anda sendiri dan membuat kesimpulan siapa yang melakukannya dan saya tidak fikir itu yang kita mahukan. "
Rang Undang-Undang CPA diluluskan di Parlimen pada Mac 2018. Ketika itu Encik Masagos mengatakan bahawa kadar cukai akan disemak semula pada 2023, dengan tujuan untuk meningkatkannya kepada antara S$10 hingga S$15 setiap tan menjelang 2030.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.