Tidak perlu perketat langkah pengurusan selamat buat masa ini, kata Lawrence Wong
Langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 di Singapura tidak perlu diperketatkan buat masa ini, tetapi penyesuaian akan dilakukan "jika perlu", kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong hari ini (27 Jun).
DPM Lawrence Wong dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung melawat pasukan vaksinasi mudah alih di Nee Soon pada 27 Jun 2022. (Gambar: CNA/Vanessa Lim)
Kenaikan kes baru-baru ini sebahagian besarnya disebabkan jujukan varian Omicron yang lebih baru, yang dikenali sebagai BA.4 dan BA.5, jelas beliau.
Meskipun ia lebih mudah menular, tahap jangkitan yang dikaitkan dengan jujukan varian tersebut kelihatan serupa dengan varian awal Omicron.
"Kita mesti jangkakan kes terus meningkat dalam minggu-minggu akan datang. Mujur, tiada bukti tahap jangkitan semakin teruk dengan jujukan varian ini dan keadaan pesakit yang dimasukkan ke hospital secara keseluruhan juga kekal stabil," kata Encik Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19.
"Jadi buat masa ini, penilaian kami adalah bahawa kita akan dapat mengharungi gelombang ini berdasarkan kedudukan kita sekarang. Dalam erti kata lain, kita tidak perlu memperketatkan langkah-langkah pengurusan selamat di peringkat ini," kata beliau.
Beliau menambah negara ini akan memantau keadaan tersebut dengan teliti, termasuk trend jangkitan dalam minggu-minggu mendatang, tahap jangkitan dan keadaan di hospital.
Jika perlu, pemerintah akan membuat penyesuaian, jelasnya.
Encik Wong juga berkata keadaan di hospital buat masa ini kekal stabil.
Beliau menambah satu lagi pusingan pengagihan kit ART akan dijalankan sekitar bulan depan, dengan setiap isi rumah bakal menerima 10 kit.
PENTING WARGA EMAS DAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN
Setakat ini, 70,000 warga emas belum lagi mendapatkan suntikan vaksin ketiga mereka.
Hari ini, tiga pasukan vaksinasi bergerak dikerahkan ke lokasi-lokasi di kawasan kejiranan - Ansar, Telok Blangah dan Nee Soon - untuk warga emas datang tanpa janji temu dan mendapatkan suntikan vaksin mereka.
Untuk menggalak lebih ramai orang mendapatkan suntikan vaksin, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata ini akan diperluaskan kepada 25 pasukan vaksinasi bergerak dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang untuk menjadikannya lebih mudah bagi warga emas mendapatkan vaksinasi COVID-19 atau suntikan dos penggalak mereka.
Pasukan-pasukan itu akan berada di satu lokasi selama dua hingga tiga hari, sebelum berpindah ke lokasi lain.
Warga emas berusia 60 tahun ke atas akan diberi keutamaan untuk datang tanpa janji temu dan mendapatkan suntikan vaksin dengan pasukan-pasukan vaksinasi bergerak.
Bagi mereka yang berusia 59 tahun ke bawah, slot vaksinasi mereka akan diberikan berdasarkan datang dahulu dilayan dahulu, dengan melihat sama ada terdapat ruang dan vaksin untuk mereka.
Pengerahan pasukan-pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan kejiranan kali pertama diumumkan pada Julai tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendampingan warga emas dan menggalak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Minggu lalu, lima Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JVTC) baru memulakan operasi vaksinasi dan ujian COVID-19, sekali gus membawa jumlah keseluruhan pusat sedmikian di negara ini kepada 10.
Ditempatkan di Ang Mo Kio, Bukit Merah, Sengkang, Woodlands dan Yishun, lima JTVC baru itu menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna/Spikevax.
Mereka yang berusia 12 tahun ke atas boleh datang sahaja ke pusat-pusat itu untuk mendapatkan vaksinasi dan dos penggalak mereka.
Apabila ditanya sama ada baki penduduk lain memerlukan suntikan keempat, Encik Wong berkata akan tiba masanya apabila ia menjadi sesuatu yang perlu dilakukan.
Bagi mereka berusia 50 hingga 80 tahun, dos keempat itu akan ditawarkan meskipun ia belum disarankan, jelasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.