Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak perlu laksana 'respons berskala besar' sedang SG harungi gelombang XBB COVID-19: Pakar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kebebasan keluar rumah tanpa perlu memakai pelitup mungkin berakhir sekiranya gelombang besar varian XBB COVID-19 memburuk - namun para pakar yakin buat masa ini, belum ada keperluan untuk melaksanakan "sekatan ke atas seluruh masyarakat".

"Hakikatnya adalah ia perlu berlaku dan berakhir dengan semula jadi," kata Profesor Dale Fisher, perunding kanan Divisyen Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH) kepada Mediacorp pada Selasa (18 Okt).

"Namun sedang kenaikan jumlah kes berlaku pada masa depan, kita perlu mengharungi gelombang itu dan lebih melindungi golongan yang mudah terjejas...Ia sesuatu yang dapat dibayangkan, di mana kita mungkin perlu lebih banyak mengesan semula pada masa akan datang, terutama sekali jika penyakit teruk kian meningkat."

Langkah-langkah pengurusan selamat bagi pelawat di semua wad hospital dan rumah jagaan di Singapura diperketat sehingga 10 November sedang kes dalam kalangan masyarakat meningkat.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata jangkitan varian XBB, yang juga subvarian Omicron, akan mencapai kemuncaknya sekitar pertengahan bulan November.

Kes-kes sedemikian semakin meningkat di Singapura sejak bulan lalu, namun setakat ini, penularannya belum mencetus lebih banyak penyakit teruk berbanding varian-varian sebelum ini.

Encik Ong menambah Kementerian Kesihatan (MOH) sedang memantau keadannya dengan teliti. Ia malah tidak menolak kemungkinan perlu melaksanakan semula langkah-langkah pengurusan selamat seperti memakai pelitup, tetapi akan mencuba "sebaik mungkin" untuk tidak menjejas kehidupan biasa, kata beliau.

SEJAUH MANA SERIUS GELOMBANG VARIAN XBB INI?

Tiada bukti menunjukkan bahawa gelombang XBB sekarang ini menyebabkan kenaikan mendadak kes kematian atau penyakit teruk, kata Dr Paul Tambyah, presiden Persatuan Asia Pasifik Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal.

"Kesan utamanya adalah dari segi cuti sakit yang dilanjutkan serta tempoh dimasukkan ke hospital bagi individu-individu yang memiliki penyakit ringan tetapi (mempunyai) faktor risiko yang dikenal pasti semasa gelombang-gelombang yang dikaitkan dengan komplikasi," kata beliau.

Kebanyakan pesakit yang ditemui Dr Tambyah sejak beberapa hari lalu - termasuk pasangan berusia 90 tahun - berada dalam keadaan sihat, tetapi anggota keluarga mereka "memang biasanya berasa bimbang dan meminta supaya mereka dipantau dengan lebih teliti".

"Meskipun jumlah kes meningkat dengan banyak, jumlah kes ICU dan kematian belum meningkat dan kekal serupa dengan jumlah pada awal bulan Ogos, di mana terdapat jumlah kes yang sedikit secara keseluruhan," tambahnya, sambil merujuk carta-carta di laman MOH.

Kebanyakan penduduk mungkin sudahpun dijangkiti memandangkan tidak semua kes positif dilaporkan ke MOH, kata Prof Madya Alex Cook dan Prof Madya Shou Yiyun dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam kenyataan bersama.

ADAKAH SATU LAGI GELOMBANG AKAN BERLAKU?

Prof Madya Cook dan Prof Madya Shou merasakan ini mungkin tidak akan berlaku.

"Kebanyakan kita sudahpun dijangkiti, (jadi) virus ini sudah kekurangan orang untuk ia jangkiti untuk kali pertama, sekali gus membataskan pertumbuhan epidemik ini," jelas mereka.

Meskipun lebih banyak kes penyakit teruk atau kematian dijangkakan, jumlah ini akan "lebih rendah berbanding gelombang-gelombang lalu dan pada magnitud yang dapat ditampung sistem jagaan kesihatan", menurut mereka.

S'PURA AKAN LAKSANAKAN PEMAKAIAN PELITUP SEKALI LAGI?

Sama ada sekatan dilaksanakan semula atau ditarik balik, meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan berpandukan sains adalah penting, kata Profesor Fisher, yang juga sebahagian daripada jawatankuasa Rangkaian Amaran dan Respons Penularan Global WHO.

Menarik balik sekatan "biasanya datang dengan syarat-syarat bahawa ia boleh dilaksanakan semula sebagai respons kepada ancaman penyakit berjangkit", kata beliau.

Hubungan antara pihak berkuasa dengan orang awam juga merupakan tunggak kejayaan Singapura sehingga hari ini, tambahnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan