Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak perlu cemas, kata doktor selepas HSA tarik balik 3 jenama ubat tekanan darah tinggi

Poliklinik-poliklinik di sini menerima kunjungan ramai pesakit pagi tadi (29 Mac), yang berasa bimbang setelah pihak berkuasa menarik balik beberapa jenama ubat yang digunakan untuk merawat darah tinggi. Namun, para doktor berkata bahawa para pesakit tidak perlu berasa cemas.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak perlu cemas, kata doktor selepas HSA tarik balik 3 jenama ubat tekanan darah tinggi

Notis tentang penarikan tiga jenis ubat dipaparkan di luar sebuah poliklinik. (Gambar: Jalelah Abu Bakar)

Diterbitkan : 29 Mar 2019 10:15PM Dikemas Kini : 29 Mar 2019 10:20PM

SINGAPURA: Poliklinik-poliklinik di sini menerima kunjungan ramai pesakit pagi tadi (29 Mac), yang berasa bimbang setelah pihak berkuasa menarik balik beberapa jenama ubat yang digunakan untuk merawat darah tinggi. Namun, para doktor berkata bahawa para pesakit tidak perlu berasa cemas.

Pada Khamis (28 Mac), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan bahawa ia menarik balik tiga jenama ubat yang mengandungi bahan lorsartan, iaitu lorsartan potassium. Jenama-jenama tersebut adalah Losartas, Hyperten dan Losagen. Jenama-jenama ini didapati mengandungi jumlah nitrosamina yang tinggi, sejenis bahan yang mungkin menyebabkan barah.

Sekitar 137,000 pesakit di Singapura mengambil ubat lorsartan dari tiga jenama terbabit. 130,000 daripadanya diberikan Losartas oleh institusi-institusi kesihatan awam, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

3 ubat tekanan darah tinggi yang mengandungi losartan ditarik balik: iaitu Losartas, Losagen dan Hyperten. (Gambar-Gambar: HSA)

Para pesakit hipertensi, sama ada yang terjejas atau tidak - memberitahu Mediacorp bahawa mereka menerima satu kiriman mesej daripada pihak poliklinik yang menasihati mereka supaya tidak berhenti mengambil ubat-ubatan tekanan darah tinggi.

Sejak hujung bulan lalu, beberapa ubat losartan ditarik balik di luar negara kerana didapati mengandungi nitrosamina, menurut HSA. Di Singapura, tujuh ubat-ubatan lain yang juga mengandungi losartan, tidak terjejas, tambah HSA.

Beberapa pesakit yang ditemui Mediacorp juga berkongsi bahawa mereka menukar ubat-ubatan yang diambil apabila mereka berjumpa doktor bagi pemeriksaan rutin.

TIADA SEBAB BERASA CEMAS: DOKTOR

Meskipun ramai yang bimbang, doktor-doktor berkata bahawa para pesakit tidak seharusnya berasa cemas. Dr Elly Sabrina, yang mengendalikan dua klinik, di Jurong dan Woodlands berkata beberapa pesakit datang ke kliniknya untuk mendapatkan kepastian meskipun kliniknya sendiri tidak menyediakan ubat-ubat yang terjejas.

Beliau berkata, bahan yang ditemui dalam ubat-ubatan yang terjejas juga ditemui dalam produk-produk lain yang tidak dikawal ketat seperti ubat-ubatan. Misalnya, daging diproses dan rokok.

"Jika mereka bimbang tentang ubat-ubatan itu, mereka seharusnya juga bimbang tentang merokok dan mengambil makanan seperti ini," katanya.

Dr Elly menarik perhatian kepada surat edaran kepada pakar-pakar perubatan yang menyatakan bahawa risiko barah tetap ada sekalipun bahan itu dalam jumlah yang boleh diterima. Risikonya adalah 0.001 peratus bagi pendedahan seumur hidup, atau lebih dari 70 tahun.

Dr Lye Tong Fong, yang mengendalikan sebuah klinik di Pasir Ris, juga berkata bahawa orang ramai tidak perlu berasa cemas. Keputusan untuk menarik balik ubat itu adalah lebih sebagai langkah berjaga-jaga, tambahnya.

HSA juga menyatakan bahawa risiko tambahan penyakit barah akibat pendedahan tambahan selama enam bulan, dianggarkan kurang dari 0.0002 peratus.

Pakar kardiologi di Pusat Jantung Nasional, Profesor Ding Zee Pin, yang juga menganggotai Panel Pakar HSA berkaitan nitrosamina, menjelaskan bahawa tiada risiko kesihatan segera yang dikaitkan dengan pengambilan ubat-ubatan terjejas.

"Para pesakit dinasihati supaya tidak berhenti atau menukar rawatan secara sendiri. Memandangkan losartan digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, tindakan berhenti mengambil ubat tersebut tanpa mengambil ubat lain yang setara boleh meningkatkan risiko tekanan darah tidak terkawal dengan baik," katanya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan