Tidak perlu beratur panjang, lebih banyak bubur Ramadan diagihkan di masjid tahun ini
Masa menunggu yang lebih cepat dan barisan beratur yang lebih pendek.
SINGAPURA: Masa menunggu yang lebih cepat dan barisan beratur yang lebih pendek.
Itulah yang boleh dijangkakan para jemaah dan orang awam yang datang ke masjid untuk mengambil bubur Ramadan tahun ini.
Ini setelah langkah-langkah pengurusan selamat dilonggarkan dan para jemaah tidak lagi perlu menjaga jarak selamat sewaktu beratur.
Malah, pengagihannya juga lebih rancak dan lebih banyak bungkusan bubur diagihkan tahun ini.
MASJID SULTAN AGIH 3 KALI GANDA LEBIH BANYAK JUMLAH BUBUR
Bagi Masjid Sultan, mereka menjangkakan lebih banyak jemaah datang ke masjid Ramadan ini dan menyediakan sebanyak 600 bungkus bubur untuk diagihkan.
"Pada tahun ini kita agihkan 600 bungkus untuk jemaah kita yang datang solat Asar di masjid. Tahun lepas kita cuma agihkan 200 bungkus sahaja.
"Jadi ini tahun kita pertingkatkan tiga kali ganda. Memandangkan ramai jemaah yang datang ke masjid," kata Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Sultan, Encik Mohamed Patail.
Selepas solat Asar siang tadi, para jemaah mula beratur di Masjid Sultan untuk mengambil bubur Ramadan.
Seperti tahun lalu, Masjid Sultan mengagih bubur Ramadan yang sudah siap dibungkus.
Selain daripada para jemaah, Masjid Sultan turut menyumbang lagi 100 bungkus bubur kepada Jamiyah untuk diagihkan kepada rumah tumpangan warga emas kendaliannya.
AGIHAN BUBUR TETAP TERATUR MESKI LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT DILONGGARKAN
Pengagihan bubur di masjid ikonik itu petang tadi berjalan lancar dan semuanya dalam keadaan teratur.
Meskipun tidak diwajibkan, rata-rata jemaah dilihat masih menjaga jarak selamat dan sabar menantikan giliran untuk mendapat bubur Ramadan.
"Alhamdulillah telah dibuka masjid, tidak perlu tempahan untuk kita datang solat jemaah dan selepas jemaah Alhamdulillah kami diberikan bubur Ramadan, begitu rindu sekali berapa lama dengan caranya sebegini bukan," kata salah seorang jemaah masjid, Badruzzaman Abdul Majid.
Menurut seorang lagi jemaah masjid, beliau rasa teruja dapat mengambil bubur setelah dua tahun tidak berbuat demikian dek langkah kawalan pandemik.
"Ia satu nikmat untuk saya kerana mungkin sudah dua tahun yang saya lama tak pernah ambil bubur, jadi Alhamdulillah ambil bubur ini saya rasa bersyukur," kata seorang lagi jemaah Adyan Mohammed Raziff.
Masjid Sultan merupakan antara lebih 40 masjid yang kembali mengagihkan bubur Ramadan tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.