Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak lagi perlu dialisis seminggu selepas pemindahan organ dengan kaedah mesin Perfusi Hipotermik

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Seorang pesakit ginjal tempatan menjadi penerima ginjal pertama melalui satu kaedah pemeliharaan organ baru menggunakan mesin Perfusi Hipotermik.

Mesin itu memastikan mutu ginjal yang didermakan kekal optimum sebelum pemindahan.

Cik Sapiah Isnin, 66 tahun, menghidap penyakit ginjal peringkat akhir dan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam seminggu.

Beliau menunggu selama sembilan tahun untuk mendapatkan pemindahan ginjal.

"Dalam masa saya buat dialisis, banyak sangat komplikasi. Selepas dialisis selalu saya lemah, penat, letih, seluruh badan sakit dan ia menjejas kepada emosi saya juga, senang marah," kongsi Cik Sapiah.

Pada 6 Oktober tahun lalu, Cik Sapiah menjadi penerima ginjal pertama di Singapura menggunakan kaedah pemeliharaan organ baru di Pusat Pemindahan Organ Universiti Nasional (NUCOT) di Hospital Universiti Nasional (NUH).
(Gambar: Nurfazirah Azman) Kiri ke kanan: Prof Benjamin Goh, Sapiah Isnin.
"Saya rasa gembira tapi saya tak menyangka bahawa saya berpeluang untuk jadi orang yang pertama," kata Cik Sapiah.

Kaedah pemeliharaan organ baru itu menggunakan sebuah mesin profusi hipotermik organ.

Mesin itu mengepam cecair sejuk di bawah 4 darjah Selsius ke ginjal yang didermakan untuk mengoptimumkan kesihatan dan mutu ginjal sebelum pembedahan.

"Kaedah ini akan mengepam cecair sejuk ke dalam ginjal dalam cara yang serupa seperti dalam badan manusia. Ia akan membasmi toksin daripada ginjal di mana ada darah beku. Ia juga memastikan saluran darah terbuka supaya apabila ginjal dipindahkan kepada penerima, ia mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berfungsi dengan segera," jelas Konsultan Pemindahan Ginjal di NUCOT penolong professor Benjamin Goh. 
(Gambar: Hospital Universiti Nasional (NUH))

"Ini menunjukkan dalam jangka pendek, peluang ginjal tidak berfungsi dan keperluan rawatan dialisis pada minggu pertama selepas pembedahan lebih rendah," tambah beliau.

Prof Goh menarik perhatian bahawa kaedah baru itu penting terutamanya di Singapura di mana pesakit perlu menunggu antara tujuh hingga sepuluh tahun untuk mendapatkan organ penderma yang sesuai untuk pemindahan.

"Penggunaan mesin perfusi yang cekap terbukti dapat meningkatkan fungsi ginjal yang dipindahkan dengan ketara jika dibandingkan dengan penyimpanan sejuk statik," kata Asst Prof Benjamin Goh.

Beliau menambah bahawa ia dibuktikan oleh data yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Cik Sapiah gembira kerana penantian selama sembilan tahun bagi ginjal baru sudah berakhir.

Malah, dalam masa seminggu sahaja selepas menjalani pembedahan, doktor memaklumkan beliau tidak lagi perlu menjalani rawatan dialisis.

Beliau kini kembali lebih aktif dan dapat meneruskan hidup seperti biasa.

"Setelah segala-galanya selesai, saya dah boleh aktif semula. Saya dah boleh pergi pasar, saya baru juga pergi ke Batam bersama keluarga.
(Gambar: NUH)
Prof Benjamin Goh berkata dua lagi pesakit tempatan telah menjalani pembedahan menggunakan kaedah serupa dan mereka sedang pulih dengan baik.

Tambahnya, mesin ini kini sudah digunakan di Filipina dan Thailand.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan