Tidak jadikan usia sebagai penghalang, Siti Zhywee wakil SG dalam Olimpik E-Sukan
Siti Zhywee Ramle, 38 tahun, tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk terus mengejar cita-cita dan melakukan apa yang beliau gemari.
Beliau sudah berkecimpung dalam permainan e-sukan dalam kategori menari (JustDance) selama sekurang-kurangnya sepuluh tahun namun hanya mula memberikan lebih banyak tumpuan kepada sukan itu tahun lepas.
Cik Siti Zhywee pada mulanya tidak sangka minatnya dalam tarian dan kesihatan akan menjadi batu loncatan buat dirinya untuk kini menonjolkan kemahirannya dalam bidang tersebut di persada dunia.
TERIMA UNDANGAN MENJADI FINALIS
Beliau teruja apabila menerima panggil telefon daripada sebuah syarikat pembangunan permainan online, Ubisoft hampir dua bulan lepas.
Ini selepas beliau mengungguli carta dalam beberapa pertandingan online yang menampilkan penari-penari daripada negara lain.
"Sejak bergelar ibu saya tidak mempunyai banyak masa dan saya cuba berjinak-jinak dengan (permainan) Just Dance, saya memasuki pertandingan online dan mendapat markah yang memuaskan. Saya mendapat perhatian daripada Ubisoft Singapore dan mereka menghubungi saya kalau saya berminat untuk masuk pertandingan Olimpik E-Sukan.
"Pada mulanya, saya tidak berapa pasti tapi saya tahu ini peluang keemasan, " kata Cik Siti Zhywee.
Beliau antara 13 individu daripada enam sukan maya yang akan mewakili Singapura dalam pertandingan Siri E-Sukan Olimpik 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis (22 Jun).
TERPAKSA KORBANKAN MASA BERSAMA KELUARGA
Sebagai seorang jurulatih kecergasan sepenuh masa, beliau akur sukar membahagikan masa antara kerja, suami dan anak-anaknya.
"Pekerjaan saya perlu banyak tenaga fizikal, saya mengajar Zumba, Fight Do, Yoga dan lain lain lagi tiga atau empat kali sehari. Saya juga harus menjaga dua anak saya pada musim cuti sekolah ini dan salah satu dari mereka adalah anak istimewa, jadi saya perlu memberikan lebih tumpuan kepadanya," tambahnya.
Beliau bagaimanapun mengambil kesempatan semasa latihan untuk mengajak anak lelakinya, Zhafeer, 4 tahun, dalam sesi latihannya di rumah.
Cik Siti Zhywee bersyukur akan sokongan kukuh yang diberikan oleh orang-orang di sekelilingnya yang menjadi pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik.
"Suami saya mengambil alih lebih pada waktu ini untuk menjaga anak ataupun bermain dengan anak anak. Keluarga, sahabat dan murid-murid saya banyak memberikan sokongan yang kuat," kata Cik Siti Zhywee.
Beliau turut berkata format dan permainan e-sukan pada waktu yang fleksibel juga membuatkan dirinya lama bergiat aktif dalam bidang itu.
ENDAHKAN KATA-KATA NEGATIF, HARAP MENJADI INSPIRASI
Namun bukan semuanya indah buat Cik Siti Zhywee, beliau juga harus berdepan dengan komen-komen negatif.
"Ada juga kata-kata negatif seperti 'Pertandingan ini untuk budak muda kenapa dewasa macam begini masuk pertandingan ini?' Kata-kata ini semua tidak meruntuhkan semangat saya, saya harap dengan memasuki pertandingan ini, ia dapat memberikan inspirasi kepada ibu-ibu di luar, wanita generasi saya untuk melakukan apa yang mereka ingin selama ini," kata Cik Siti Zhywee.
Cik Siti merupakan peserta paling berusia dari Singapura dan yang termuda pula berusia 14 tahun daripada e-sukan Taekwondo.
Dengan penglibatannya itu, Cik Siti juga berharap dapat memberikan lebih banyak kesedaran mengenai E-Sukan ini.
Beliau merupakan antara lapan finalis dalam Siri Olimpik E-Sukan dalam kategori menari (Just Dance) dan akan bertanding dengan para peserta dari Perancis, Brazil, Amerika Syarikat, Finland, India dan Itali.
Just Dance adalah permainan video yang memerlukan seorang pemain untuk meniru gaya watak dalam permainan tersebut. Markah pula akan diberikan kepada pemain berdasarkan ketepatan mereka meniru gaya watak di skrin.
Pertandingan Siri Olimpik E-Sukan dalam kategori menari itu akan berlangsung pada 23 Jun ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.
Acara siri Olimpik E-Sukan itu hasil kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Majlis Sukan Singapura dan Majlis Olimpik Nasional Singapura (SNOC).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.