Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tidak adil' majikan tidak bayar elaun jika pekerja cuti sakit kerana COVID-19, tegas Presiden Halimah

Tidak adil jika para majikan tidak memberikan elaun kehadiran kepada para pekerja jika mereka mengambil cuti sakit disebabkan oleh COVID-19 atau sementara menunggu hasil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) di tengah-tengah pandemik, tegas Presiden Halimah Yacob.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak adil jika para majikan tidak memberikan elaun kehadiran kepada para pekerja jika mereka mengambil cuti sakit disebabkan oleh COVID-19 atau sementara menunggu hasil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) di tengah-tengah pandemik, tegas Presiden Halimah Yacob.

Para majikan harus menjelaskan perkara ini kepada pekerja mereka, katanya dalam satu catatan Facebook pada Selasa (18 Jan).

"Bagi syarikat-syarikat yang membayar elaun sedemikian, apa yang ingin dicegah adalah penyalahgunaan cuti sakit dan tidak menghukum mereka yang benar-benar sakit dengan menghalang mereka daripada mendapatkan bayaran ini," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas seorang teknisyen kawalan haiwan perosak dihukum penjara selama lima minggu pada Selasa (18 Jan) kerana berpotensi mendedahkan orang awam kepada jangkitan COVID-19.

A Rahim M Taha, 60 tahun, berjumpa doktor setelah mengalami batuk pada Oktober 2020.

Dia bagaimanapun enggan menjalani ujian swab dan mengambil cuti sakit yang diberikan kepadanya. Dia sebaliknya memberitahu doktor bahawa dia akan terlepas insentif kerja S$100 jika dia berbuat demikian.

Insentif itu dibayar di samping gaji bulanan S$1,500 yang diterimanya sebagai penyelia pasukan di syarikat kawalan haiwan perosak itu, mahkamah diberitahu.

Dalam catatannya itu, Puan Halimah menegaskan bahawa walaupun tindakan lelaki itu "sudah pasti tidak bertanggungjawab" kerana dia berisiko menyebarkan jangkitan kepada orang lain jika dia diuji positif COVID-19, kes itu turut mengetengahkan "satu lagi amalan pekerjaan biasa yang mungkin akan memudaratkan para pekerja".

"Demi mendapatkan elaun tambahan itu, para pekerja mungkin enggan mengambil cuti sakit meskipun mereka berasa kurang sihat, khususnya bagi para pekerja bergaji rendah," katanya.

Menurutnya lagi, "S$100 bagi seseorang yang meraih gaji bulanan S$1,500 dan perlu menyara keluarga merupakan jumlah yang besar yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas."

"Memberi insentif kepada pekerja untuk terus bekerja sekalipun mereka kurang sihat juga berbahaya bagi mereka yang mengendalikan mesin kerana ia mendedahkan diri mereka dan orang lain kepada kecederaan," katanya lagi.

"Huraian sebenar adalah memastikan pekerja bergaji rendah mendapat gaji yang lebih baik supaya mereka tidak perlu bergantung kepada insentif sedemikian untuk menampung kos sara hidup."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan