Skip to main content

Singapura

Tiba masanya isu perubahan iklim dimulakan awal di peringkat sekolah?

Proses pendidikan demi menjadikan masyarakat sedar tentang isu-isu perubahan iklim harus diadakan di peringkat awal lagi, iaitu di sekolah-sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Proses pendidikan demi menjadikan masyarakat sedar tentang isu-isu perubahan iklim harus diadakan di peringkat awal lagi, iaitu di sekolah-sekolah.

Yang pasti, setiap rakyat Singapura boleh memainkan peranan untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam usaha mengurangkan kesan pemanasan bumi.

Demikian antara rumusan satu sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan, yang disertai sekitar 100 penduduk dan sularelawan akar umbi di Heartbeat@Bedok siang tadi (24 Ogos).

Dalam sesi dialog yang dipimpin Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman, para peserta membincangkan pelbagai isu-isu utama yang disentuh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum pada Ahad lalu.

Ini termasuklah isu-isu dan pencapaian masyarakat Melayu/Islam, isu pendidikan seperti prasekolah dan pengajian tinggi serta isu perubahan iklim yang dijangka menjejas Singapura.

Mengulas tentang perubahan iklim, Dr Maliki berkata ramai rakyat Singapura mungkin prihatin tentang makna pemanasan bumi terhadap diri mereka.

Beliau juga mengambil peluang untuk menjelaskan pelbagai langkah yang diambil pemerintah serta pelbagai usaha yang boleh orang ramai lakukan.

Peserta seperti Encik Abdul Hamid Abdullah, 63 tahun, menyarankan agar kesedaran umum dipertingkatkan, termasuk dari peringkat sekolah lagi.

"Kita mendapati tidak ramai penduduk kita yang memikirkan tentang perlindungan hutan, sekitaran dan pengurusan sisa. Perkara-perkara seperti ini harus dibincangkan dan meningkatkan pendidikan awam.

"Saya fikir perubahan kesedaran masyarakat harus diadakan di peringkat awal iaitu bagi sekolah-sekolah. Adakan kempen ataupun topik-topik perbincangan tentang bagaimana mereka boleh main peranan untuk melindungi sekitaran," katanya yang merupakan seorang anggota MAEC Kelab Masyarakat Bedok.

Dr Maliki menambah bahawa lebih banyak usaha daripada peringkat akar umbi akan diadakan pada masa depan untuk menyebar kesedaran tentang perubahan iklim.

Related article image

Selain itu, isu kos pendidikan yang disentuh PM Lee tempoh hari turut mendapat menjelasan lebih terperinci dalam sesi selama hampir 3 jam itu.

PM Lee sebelum ini mendedahkan bahawa bayaran pendidikan dari prasekolah hinggalah pengajian tinggi akan menjadi lebih dimampui dan para peserta dialog tersebut mengalu-alukan langkah tersebut.

Seorang relawan M³@Bedok Cik Fara Pawzi berkata: "Dalam sesi ini, kami membicarakan tentang tiga perkara iaitu susbsidi prasekolah, university dan politinik dan usia persaraan kami. Ramai yang datang ke sesi ini, menyokong inisiatif ini kerana dapat membantu mereka dalam kos."

Dr Maliki menambah, pada keseluruhannya, rancangan-rancangan yang dibentangkan pemerintah itu bersifat jangka panjang dan bertujuan melabur kepada setiap tenaga manusia dari usia kecil langsung ke usia bekerja mereka.

"Saya rasa penting untuk kita juga mendapat maklum balas daripada para penduduk kita bukan saja isu-isu yang berkaitan dengan diri mereka sendiri tetapi isu-isu yang berkaitan langsung dengan Singapura sebagai satu negara.

"Bagaimana kita boleh memastikan jangka masa panjang kita? Singapura pada masa depan adalah Singapura yang boleh kita berikan kepada anak cucu kita," katanya yang juga merupakan Datuk Bandar CDC Tenggara.

Sesi dialog itu dianjurkan GRC East Coast dan SMC Fengshan dengan sokongan M³@Bedok. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita