Skip to main content

Singapura

Tiada unsur teknikal atau sabotaj selepas percanggahan dilapor dalam peperiksaan lisan GCE 'O': MOE

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Aug 2026 11:41AM Dikemas Kini : 06 Aug 2026 10:14PM
SINGAPURA: Percanggahan yang dilaporkan dalam peperiksaan lisan Bahasa Inggeris GCE 'O' baru-baru ini bukan bersifat teknikal mahupun berpunca daripada perbuatan yang disengajakan atau berniat jahat, kata Menteri Negara Kanan Pendidikan Dr Janil Puthucheary pada Rabu (5 Ogos).

Menjawab soalan Parlimen mengenai percanggahan yang dilaporkan selepas peperiksaan pada 15 Julai, Dr Janil berkata sebahagian calon mungkin mengalami tekanan yang ketara akibat keadaan tersebut, yang mungkin menjejas keupayaan mereka untuk memberikan respons yang sesuai.

Pihak sekolah sedang membantu calon-calon berkenaan memohon pertimbangan khas, iaitu proses yang menyemak gred akhir mata pelajaran bagi calon yang prestasi mereka terjejas akibat keadaan di luar kawalan mereka.

"Ini bagi memastikan penilaian yang adil. Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan merit," kata Dr Janil.

Kementerian Pendidikan (MOE) tidak menemui sebarang corak yang dapat dikenal pasti dalam insiden tersebut. Seramai 432 calon yang melaporkan percanggahan datang daripada 200 pasukan pemeriksa lisan yang berbeza, tanpa sebarang susunan tertentu dalam kalangan calon yang terjejas, kata beliau.

"Bagi menjelaskan perkara ini, percanggahan yang dilaporkan bukan mengenai apa yang ditanyakan oleh pemeriksa lisan. Hanya ingatan terhadap petikan soalan di stesen persediaan yang berbeza daripada apa yang dibacakan oleh pemeriksa lisan," kata Dr Janil.

Beliau menambah bahawa semua stesen di pusat peperiksaan mengakses bahan sama yang sudah diluluskan, selamat dan disulitkan daripada sistem.

Dalam siasatannya, Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) mengesahkan bahan peperiksaan menerusi semakan peringkat sistem, termasuk log masuk ke akaun calon bagi mengesahkan petikan soalan dan video yang diakses.

SEAB turut menyemak log digital berkaitan penyediaan dan penyampaian bahan peperiksaan, serta log paparan yang ditayangkan pada skrin calon semasa tempoh persediaan.

Siasatan mendapati pemeriksa lisan dan calon mengakses bahan yang sama di setiap pusat peperiksaan, tanpa sebarang bukti kerosakan sistem atau percanggahan antara apa yang dipaparkan kepada calon dengan pemeriksa, kata Dr Janil.

Semua akaun calon dan pemeriksa hanya mengakses satu sumber yang sama, dan tiada insiden keselamatan siber dikesan.

Purata markah bagi peperiksaan lisan pada 15 Julai adalah setanding dengan empat sesi lain tahun ini, kata Dr Janil. Purata markah 432 calon yang melaporkan percanggahan juga setanding dengan calon lain yang menduduki peperiksaan pada hari yang sama.

"Oleh itu, sebagai satu kumpulan, calon yang melaporkan percanggahan menunjukkan prestasi yang sama baik seperti calon lain yang tidak melaporkan percanggahan," kata beliau.

"Mengambil kira butiran teknikal, corak taburan insiden di semua stesen, sekolah dan masa, serta kepelbagaian frasa yang dilaporkan oleh pelajar, SEAB membuat kesimpulan bahawa punca insiden ini bukan bersifat teknikal mahupun berpunca daripada perbuatan yang disengajakan atau berniat jahat."
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita