Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada ujian wajib COVID-19 bagi pelancong Singapura ke India: Suruhanjaya Tinggi India

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pelawat dari Singapura tidak perlu menjalani ujian wajib COVID-19 apabila mereka melawat India, menurut Suruhanjaya Tinggi India di Singapura pada Rabu (28 Dis).

Penjelasan itu selepas laporan media yang menyatakan bahawa pelawat daripada Singapura harus menunjukkan ujian negatif COVID-19 untuk masuk ke India.

Dalam laporan itu, ia menyatakan Menteri Kesihatan India, Mansukh Mandaviya, mengumumkan pada 24 Disember bahawa ujian tindak balas rantaian polimerase (RT-PCR) diwajibkan ke atas pelawat daripada China, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand apabila mereka tiba di India.

Pelawat daripada negara berkenaan harus menjalani pemeriksaan suhu di lapangan terbang dan diletakkan di bawah kuarantin jika mereka menunjukkan gejala COVID-19 atau disahkan positif, menurut laporan media.

Menjawab soalan Mediacorp mengenai langkah COVID-19 untuk pelawat Singapura yang pergi ke India, Setiausaha Pertama (Politik dan Akhbar, Maklumat dan Kebudayaan) Suruhanjaya Tinggi India di Singapura, Saswati Dey, menunjukkan video Menteri Kesihatan India sedang berbincang dengan agensi media mengenai langkah COVID-19 untuk para pelawat.

"Sebagai bukti daripada video, menteri hanya menyebut destinasi berikut: China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Bangkok. Singapura tidak disebut dalam kenyataannya," kata Cik Dey.

"Sumber lain yang anda rujuk mungkin tersilap laporkan maklumat yang salah."

Beliau juga merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga India pada 22 Disember yang menyatakan kesemua pelawat "sebaiknya sudah lengkap divaksin mengikut jadual utama vaksinasi COVID-19 yang diluluskan di negara mereka".

Garis panduan itu tidak menyatakan negara dari mana pelawat perlu menjalani ujian COVID-19.

Ia menambah bahawa kira-kira dua peratus daripada jumlah penumpang dalam penerbangan - kecuali kanak-kanak di bawah umur 12 tahun - akan menjalani ujian rambang selepas ketibaan di lapangan terbang.

"Pelawat sedemikian dalam setiap penerbangan hendaklah dikenal pasti oleh syarikat penerbangan berkenaan (sebaik-baiknya dari negara berbeza). Mereka akan menyerahkan sampel dan akan dibenarkan meninggalkan lapangan terbang selepas itu," tambah garis panduan tersebut.

Jika sampel pelawat disahkan positif, sampel mereka akan dihantarkan bagi ujian 'genomic' dan mereka akan dirawat atau diasingkan.

Untuk kemas kini rasmi mengenai panduan perjalanan, orang ramai dinasihatkan agar merujuk ke laman kementerian kesihatan, tambah Cik Dey.

Pemerintah India meminta wilayah-wilayah di negara itu untuk sentiasa berjaga-jaga bagi sebarang varian baru koronavirus dan menggesa orang ramai memakai pelitup di tempat yang sesak, sedang kenaikan kes COVID-19 di seluruh dunia.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan