Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada ujian COVID-19 sebelum pelawat berlepas dari China; kes serius boleh timbul dari mana-mana: Ong Ye Kung

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (9 Jan) menyifatkan pendekatan Singapura berhubung kawalan sempadan sebagai antara sangat ketat dengan liberal.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (9 Jan) menyifatkan pendekatan Singapura berhubung kawalan sempadan sebagai antara sangat ketat dengan liberal. Beliau berkata demikian semasa membentangkan respons negara ini terhadap situasi global COVID-19.

Yang menjadi keprihatinan para Anggota Parlimen pula adalah apakah yang akan dilakukan Singapura sedang China melonggarkan sekatan perjalanan, di tengah-tengah kenaikan jumlah kes jangkitan di negara itu.

Encik Ong menjelaskan bahawa Singapura tidak akan mensyaratkan ujian ke atas para pelawat dari China sebelum tiba di negara ini kerana kes-kes serius boleh datang dari mana-mana.

Mengenakan syarat sedemikian katanya, akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelawat dari wilayah dan rantau lain yang menyumbang kepada lebih banyak jangkitan dan kes-kes lebih serius.

"Bagaimana dengan sekitaran dalam masyarakat tempatan yang mana kita tahu dapat menyumbang kepada penyebaran penyakit dan juga menambah jumlah kes jangkitan dan kes-kes serius?" soal Encik Ong.

"Dengan memperkenalkan (syarat ujian sebelum berlepas) ke atas para pelawat dari sebahagian dunia yang sedang mengalami jumlah kes jangkitan yang tinggi, adakah kita menyumbang kepada satu kebiasaan dalam kalangan negara-negara lain untuk mengenakan syarat ujian terhadap para pelawat dari negara-negara yang sedang melalui gelombang jangkitan? Bagaimana pula layanan yang akan diberikan oleh negara-negara lain kepada para pelawat dari Singapura apabila kita mengalami satu lagi gelombang jangkitan?"

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Australia mengenakan sekatan terhadap para pelawat dari China.

Pada Ahad (8 Jan), China menarik balik kesemua kawalan sempadan dan sekatan pandemik, sekali gus menamatkan dasar sifar COVID-19 yang ketat selama tiga tahun. Ini termasuk memansuhkan syarat kuarantin bagi para pelawat antarabangsa dan membuka semula sempadan darat dan laut bersama Hong Kong.

Walaupun dengan gelombang jangkitan besar di China, Encik Ong berkata para pelawat dari negara itu membentuk peratusan kecil daripada kes-kes COVID-19 yang dibawa masuk ke Singapura.

Sepanjang tempoh empat minggu sebelum 1 Januari, beliau berkata Singapura mengesan sekitar 200 kes COVID-19 dalam kalangan pelawat dari China, iaitu kurang lima peratus daripada keseluruhan jumlah kes import dan satu daripada tujuh kes jangkitan serius.

Tiada kes jangkitan serius dilaporkan dari China sejak 1 Januari.

Beliau mengaitkan jumlah kes import yang rendah itu dengan jumlah perjalanan yang rendah antara Singapura dengan China, kadar vaksinasi yang tinggi dan langkah sedia ada yang dilaksanakan oleh Singapura - termasuk mengekalkan syarat menjalani ujian COVID-19 bagi para pelawat yang belum lengkap divaksin.

Buat masa ini, Singapura mengendalikan 38 penerbangan dari China setiap minggu, dengan 700 hingga 1,000 ketibaan setiap hari.

Jumlah ini kurang 10 peratus berbanding sebelum pandemik, apabila negara ini mengendalikan sekitar 400 penerbangan dari China setiap minggu, katanya.

Encik Ong berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Menteri bagi menjawab keprihatinan para Anggota Parlimen terhadap pembukaan semula China yang dikhuatiri akan mencetuskan gelombang jangkitan yang baru di Singapura sehingga negara ini menguatkuasakan semula sekatan sosial.

Sambil menyenaraikan respons-respons oleh beberapa negara - seperti tidak mengenakan sebarang kawalan sempadan sehingga mengenakan syarat ujian sebelum melakukan perjalanan, beliau berkata pendirian Singapura tidak "terlalu ketat atau terlalu liberal tetapi mengambil jalan tengah".

"Kami tidak mendiskriminasi kerana kes-kes jangkitan serius boleh datang dari mana-mana negara, dari sebarang daerah atau wilayah di dunia seperti yang ditunjukkan oleh data kami," katanya.

Sambil berkongsi perangkaan terbaru, beliau berkata bahawa kes-kes import membentuk sekitar lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan yang dikesan di Singapura. Sebahagian besar daripada kes-kes import berasal dari negara-negara ASEAN (lebih daripada 50 peratus), disusuli dengan negara-negara Asia yang lain (sekitar 15 peratus), Eropah (11 peratus) dan Timur Tengah (9 peratus).

Namun beliau memberi amaran supaya jangan berpeluk tubuh.

"Langkah-langkah ini mungkin berfungsi sekarang tetapi bukan untuk selama-lamanya," katanya. "Kami akan terus menilai keadaan dan jika perlu, membuat penyesuaian atau melaksanakan langkah-langkah baru. Pada setiap masa, keputusan kami harus berdasarkan sains, bukti dan data."

RISIKO UTAMA

Walaupun situasi COVID-19 di Singapura terkawal, ancaman varian baru dan lebih berbahaya tetap wujud, sedang virus ini terus menular di seluruh dunia.

"Ia mungkin memiliki ciri-ciri yang membimbangkan - dapat mengelak perlindungan vaksin, lebih mudah berjangkit dan menyebabkan lebih banyak kes yang serius, iaitu berita yang sangat buruk. Varian menggerunkan yang boleh menjejas segala pencapaian yang diperolehi," kata Encik Ong.

"Kita perlu bersiap sedia," katanya. "Kita mungkin perlu memperkenalkan semula langkah-langkah seperti kawalan sempadan lebih ketat, kuarantin bagi para pelawat, sekatan sosial termasuk had terhadap saiz kumpulan sehingga vaksin baru dan berkesan dihasilkan.

Namun sejauh ini, Encik Ong berkata data daripada pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan GISAID mendedahkan bahawa epidemik di China didorong oleh varian yang sudah diketahui dan sudah menular di bahagian-bahagian lain di seluruh dunia.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan