'Tiada tolak ansur' terhadap penderaan pekerja pengangkutan awam, kata Chee Hong Tat
Singapura mengambil pendirian tegas terhadap sebarang bentuk penderaan ke atas pekerja pengangkutan awamnya, dan penumpang yang bertindak kasar sama ada secara lisan atau fizikal harus "bersedia untuk menghadapi akibatnya di bawah tindakan undang-undang", kata Encik Chee Hong Tat pada Isnin (5 Okt).
Bas SBS Transit. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Singapura mengambil pendirian tegas terhadap sebarang bentuk penderaan ke atas pekerja pengangkutan awamnya, dan penumpang yang bertindak kasar sama ada secara lisan atau fizikal harus "bersedia untuk menghadapi akibatnya di bawah tindakan undang-undang", kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat pada Isnin (5 Okt).
Bercakap di Parlimen, Encik Chee berkata sebilangan besar penumpang menghormati pekerja pengangkutan awam dan penumpang lain, namun terdapat sebilangan kecil yang menganggap mereka boleh "berkelakuan buruk dan terlepas (dari hukuman)".
Encik Chee berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan di Parlimen setelah berlaku beberapa insiden penumpang yang menganiaya pemandu bas menarik perhatian ramai sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Saya sangat prihatin dengan kes baru-baru ini yang mana penumpang secara lisan atau fizikal bertindak kasar terhadap kapten bas. Perbuatan mereka itu salah dan tidak boleh diterima," kata Encik Chee.
Kapten bas mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan penumpang. Ini termasuk memastikan mereka memakai pelitup untuk membendung penularan COVID-19, kata Encik Chee.
Pemerintah, kesatuan sekerja, pengendali pengangkutan awam dan sebilangan besar rakyat Singapura bersatu dalam mengambil pendekatan tegas terhadap tingkah laku yang kasar, katanya.
Menurut SBS Transit pihaknya menerima hampir 40 kes pekerja pengangkutan bas awam diserang tahun ini, berbanding 33 kes sepanjang tahun lalu.
Serangan yang berkaitan dengan pelitup menyumbang kepada kira-kira separuh daripada kes yang dilaporkan tahun ini.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan bekerjasama dengan kesatuan sekerja dan pengendali pengangkutan awam untuk mengingatkan penumpang mengenai padah serius bagi sebarang tindakan menganiaya pekerja pengangkutan awam dan meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab penumpang, kata Encik Chee.
"Cara terbaik untuk melindungi kapten bas kita dan mengiktiraf sumbangan mereka adalah dengan memupuk budaya masyarakat yang betul, yang berdasarkan pada rasa hormat terhadap pekerja barisan hadapan kita," tambahnya.
"Ayuh kita terus menyokong pekerja pengangkutan awam kita, supaya mereka dapat bekerja dalam sekitaran yang selamat dan menawarkan khidmat penting untuk memastikan Singapura terus bergerak."
Dalam satu soalan tambahan, Anggota Parlimen (AP) Saktiandi Supaat bertanya sama ada LTA dan Kementerian Pengangkutan bersedia melakukan semakan ke atas cara-cara untuk meningkatkan keselamatan kapten bas.
AP Melvin Yong, yang juga setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan, menarik perhatian bahawa kesatuan itu kini bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk meneruskan percubaan bagi pemasangan perisai pelindung di bas-bas awam, dan bertanya sama ada LTA akan menyokong pemasangan tersebut di semua bas awam jika percubaan sekarang mendapatkan model yang sesuai.
Beliau menambah bahawa LTA dan MOT akan mengambil kira maklum balas daripada kapten bas.
Encik Chee berkata: "Saya rasa pertimbangan penting apabila kami meminta maklum balas kapten bas adalah memastikan bahawa pemasangan perisai pelindung ini tidak akan mengganggu keselamatan semasa mereka memandu bas.
"Sebelumnya percubaan menunjukkan bahawa ketika anda memasang pelindung ini ada silau sedikit , jadi saya rasa ini menjejas kapten bas. Kita juga harus mengambil kira kerana yang penting saya rasa ini adalah untuk perlindungan dan keselamatan kapten bas dan juga keselamatan penumpang. "
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.