Tiada tindakan dikenakan sekiranya pegerai Pusat Penjaja Bukit Canberra tidak tawar makanan percuma kepada penduduk memerlukan: Ong Ye Kung
Para pegerai di Pusat Penjaja Bukit Canberra tidak akan dikenakan sebarang tindakan sekiranya mereka tidak menyediakan makanan secara percuma bagi penduduk berpendapatan rendah, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (11 Ogos).
Pusat Penjaja Bukit Canberra. (Gambar: Facebook/Ong Ye Kung)
Encik Ong, yang juga Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang dibuat di Facebook oleh pengkritik makanan KF Seetoh, bahawa para penjaja di pusat penjaja itu mempunyai "diwajibkan secara kontrak" untuk menawarkan 60 hidangan percuma setiap bulan.
Selepas dimaklumkan kepada catatan Encik Seetoh, Encik Ong berkata beliau meneliti isu yang dibangkitkan.
Dakwaan Encik Seetoh "tidak memberi gambaran yang penuh", kata Encik Ong.
Ketika pusat penjaja itu dibuka, para pegerai pada asalnya bersetuju menyediakan 30 hidangan sebulan bagi para penduduk berpendapatan rendah.
Jumlah itu kemudian ditukar kepada 100 hidangan sepanjang tempoh pajakan selama tiga tahun, kata Encik Ong.
"Tiada tindakan diambil sekiranya mereka tidak atau tidak dapat menyediakan hidangan tersebut," katanya sambil menambah bahawa inisiatif itu, yang bertujuan menggalakkan para penjaja supaya menyumbang kepada masyarakat atau 'pay it forward', belum lagi bermula.
Encik Seetoh juga mendakwa para pegerai dikenakan bayaran S$70 sebulan untuk menggunakan bakul yang diletakkan di belakang gerai mereka, untuk para pembekal menyimpan bekalan mereka.
"Ini tidak benar, kerana tiada amalan mengenakan bayaran bagi penggunaan bakul-bakul biru di belakang gerai," kata Encik Ong.
Dalam responsnya kepada catatan Encik Ong, Encik Seetoh pada Isnin berkata kos penggunaan bakul tersebut "ditunjuk dan diberitahu kepada saya oleh seorang pegerai di sana".
Beliau mendakwa sudah melihat invois dan resit bayaran bagi penggunaan bakul itu.
Pegerai itu juga "tidak mempunyai sebarang alasan untuk mereka-reka perkara itu", katanya.
Encik Ong berkata beliau menghargai "rasa prihatin Encik Seetoh terhadap para penjaja kami" dan berkata beliau berkongsi "semangatnya untuk memelihara budaya penjaja kita agar ia terus berkembang".
"Sungguhpun begitu, marilah kita melakukannya tanpa menyalahkan mana-mana pihak, sama ada mereka pelanggan, penjaja, pengendali pusat penjaja atau agensi pemerintah.
"Apabila isu timbul, ada saluran untuk perbincangan dan penyelesaian. Semua pihak perlu bekerjasama demi mengekalkan budaya pusat penjaja kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.