Skip to main content

Singapura

Tiada tiket NDP 2021 untuk orang awam; hanya bagi pekerja khidmat penting & petugas barisan hadapan COVID-19

Tiket-tiket untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini tidak akan dibuka untuk pengundian awam disebabkan oleh keprihatinan terhadap keselamatan awam di tengah-tengah pandemik.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Jul 2021 05:25PM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 09:15PM

SINGAPURA: Tiket-tiket untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini tidak akan dibuka untuk pengundian awam disebabkan oleh keprihatinan terhadap keselamatan awam di tengah-tengah pandemik.

Sebaliknya, tiket-tiket itu akan diberikan kepada mereka yang menyumbang kepada perjuangan melawan COVID-19 bagi mengiktiraf jasa bakti mereka. Mereka adalah para petugas barisan hadapan COVID-19 Singapura, para pekerja sektor khidmat penting dan relawan masyarakat. Kesemua penonton yang bakal menghadiri perbarisan tersebut mestilah sudah divaksin sepenuhnya.

Di sidang media pada Jumaat (2 Jul), Brigadier Jeneral Tan Cheng Kwee, pengerusi Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) NDP 2021 berkata bahawa pihak jawatankuasa akan memutuskan had bagi jumlah penonton apabila dekat dengan tarikh NDP 2021. Hari Kebangsaan jatuh pada 9 Ogos.

"Kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kerja kami dari MOH, cuba untuk menilai situasi kerana kami mahu memastikan NDP selamat untuk semua orang," kata BG Tan.

"Kami berharap dapat mengatasi kekangan yang dihadapi tahun lalu, kira-kira... ratusan, jumlah had maksimum adalah 1,000 bagi sesetengah acara uji cuba khas terpilih. Kami berharap dapat menampung lebih daripada jumlah itu," katanya.

"Dengan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan, kami mungkin hanya dapat memenuhi sebahagian daripada pentas terapung itu, kami masih memerlukan ruang bagi langkah-langkah keselamatan.

Mengenai bagaimana para penonton akan diundang, BG Tan berkata pihak jawatankuasa sedang melakarkan proses-prosesnya dan akan bekerjasama dengan agensi-agensi untuk memilih rakyat Singapura. Selepas itu, pihak jawatankuasa akan menghantar undangan itu kepada mereka secara berasingan.

NDP 2021 akan menggabungkan elemen-elemen 'live' (secara langsung) dan secara maya bagi persembahan tahun ini. Dalam kenyataan media pada Jumaat (2 Jul), EXCO NDP menyatakan bahawa ia akan "menggunakan teknologi dan menghubungkan persembahan-persembahan bagi mewujudkan persembahan secara langsung dan maya buat julung-julung kali di NDP".

Teknologi yang sama akan digunakan bagi segmen perbarisan dan upacara, di mana "entiti-entiti awam" akan mengambil bahagian dalam perbarisan secara maya, menurut kenyataan media itu.

Perbarisan itu juga akan disiarkan secara langsung supaya orang ramai boleh menontonnya di rumah.

Pada hujung minggu menjelang sambutan Hari Kebangsaan, pasukan Red Lions iaitu pasukan payung terjun Angkatan Bersenjata Singapura (SAF)akan melakukan terjun bebas di beberapa kawasan kejiranan.

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Pada Isnin, Menteri Pertahanan Ng Eng Heng berkata acara fizikal NDP tahun ini akan diadakan secara berpusat dengan penonton di Pentas Terapung Marina Bay, namun jumlah peserta dan penonton akan "dikurangkan sewajarnya".

Beberapa langkah keselamatan COVID-19 juga akan dilaksanakan. Ini termasuk membahagikan para peserta NDP seramai 1,200 kepada kumpulan-kumpulan kecil semasa sesi raptai dan persembahan.

Kesemua peserta perlu divaksin sepenuhnya dan menjalani ujian rutin berjadual setiap minggu sebelum dibenarkan memasuki tempat-tempat raptai.

"Dengan langkah berjaga-jaga dilaksanakan, kami mahu menjadikan NDP sebuah acara bersejarah, sekali gus membuka laluan kepada penyambungan semula acara berskala besar di tengah-tengah situasi endemik COVID-19," kata BG Tan.

Menjawab pertanyaan tentang langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan NDP menjadi acara yang menularkan COVID-19 secara besar-besaran, BG Tan menegaskan bahawa EXCO NDP yakin dengan langkah-langkah yang bakal dilaksanakan.

"Cara kami mengatur kumpulan-kumpulan di Pentas Terapung Marina Bay - tempat duduk, pemberian tiket dan mendapatkan butiran para peserta serta penonton - direka sedemikian rupa supaya jika berlaku satu situasi yang sangat luar biasa, jika kami melaporkan sebarang jangkitan, kami dapat melakukan pengasingan, melakukan pengesanan kontak dan mengambil tindakan segera.

"Ini disokong oleh penggunaan TraceTogether, yang menyokong bagaimana kita mengendalikan acara kita."

Jawatankuasa NDP juga mendedahkan tema dan logo NDP tahun ini di sidang media tersebut.

Tema "Bersama-sama, Semarakkan Semangat Singapura Kita", yang merupakan lanjutan kepada tema tahun lalu iaitu "Bersama, Untuk Singapura Yang Lebih Teguh", meraikan semangat rakyat Singapura yang bersatu padu, menurut jawatankuasa NDP.

Logo NDP tahun ini memaparkan kepala singa yang tertera dengan nombor "56", menggambarkan kekuatan tekad Singapura dan perpaduan yang menandakan tahun ke-56 Singapura merdeka, menurut pihak jawatankuasa NDP.

Related article image
(Gambar: Jawatankuasa Eksekutif NDP)

(Gambar: Jawatankuasa Eksekutif NDP)

Lima bahagian surai singa itu melambangkan demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan, yang merupakan teras identiti Singapura.

Lagu tema NDP dan video muziknya juga dikonseptualisasikan bersandarkan tema terus bersatu dalam mengatasi cabaran pandemik COVID-19.

Bertajuk "The Road Ahead", lagu tema NDP 2021 ditulis dan disusun oleh penyanyi Singapura Linying dan penerbit muzik Evan Low.

Ia dinyanyikan oleh Linying, Sezairi Sezali, Shye-Anne Brown dan Shabir.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita