Skip to main content

Singapura

Tiada tempoh peralihan bagi perubahan pendaftaran Darjah 1 mulai 2027: Desmond Lee

Perubahan kepada rangka kerja pendaftaran Darjah 1 akan dilaksanakan mulai 2027 tanpa tempoh peralihan, meskipun beberapa Anggota Parlimen (AP) menggesa agar keluarga diberi lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Oct 2026 12:04PM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 01:13AM
No transition period for Primary 1 registration changes from 2027: Desmond Lee
  • From 2027, MOE will implement the Primary 1 registration changes without a transition period, even though some MPs had asked for more time for families to adjust their living arrangements, childcare and schooling.
  • Desmond Lee said earlier implementation would benefit more families, while acknowledging that some families had made decisions based on the existing framework.
  • The key changes include increasing the number of Phase 2C places from 40 to 60 in most schools, to widen access for children with no prior links to the school.
  • At 12 schools, a two-balloting-zone scheme for Phase 2C will be used, while MOE will not reserve places specifically for certain socioeconomic groups and will monitor its implementation.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Perubahan kepada rangka kerja pendaftaran Darjah 1 akan dilaksanakan mulai 2027 tanpa tempoh peralihan, meskipun beberapa Anggota Parlimen (AP) menggesa agar keluarga diberi lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri.

Berucap di Parlimen pada Rabu (7 Okt), Menteri Pendidikan Desmond Lee berkata pemerintah maklum bahawa sesetengah keluarga sudah membuat aturan tempat tinggal berdasarkan rangka kerja sedia ada.

"Namun, lebih banyak keluarga akan meraih manfaat lebih awal jika kami melaksanakan perubahan tersebut lebih cepat," kata Encik Lee.

Malah, menurut beliau, ada yang mempersoalkan mengapa perubahan itu tidak dilaksanakan lebih awal bagi pendaftaran Darjah 1 pada 2026.

Encik Lee menjawab soalan beberapa AP yang meminta tempoh peralihan diberikan.

Mereka menarik perhatian bahawa sesetengah keluarga mungkin sudah membuat keputusan penting dan jangka panjang mengenai tempat tinggal, penjagaan anak dan persekolahan berdasarkan peraturan pendaftaran sedia ada.

Cik Tin Pei Ling (PAP-Marine Parade-Braddell Heights) menggesa Kementerian Pendidikan (MOE) menangguhkan perubahan itu selama setahun.

Cik Gho Sze Kee (PAP-Mountbatten) pula mencadangkan tempoh peralihan sekitar tiga tahun bagi keluarga yang sudah membuat aturan berkaitan tempat tinggal, penjagaan anak dan persekolahan.

Encik Lee berkata perubahan kepada rangka kerja itu tidak dengan sendirinya akan menghasilkan kepelbagaian sosioekonomi yang lebih besar di sekolah.

Menurutnya, banyak faktor lain turut memainkan peranan, termasuk pilihan ibu bapa dan sekolah yang akhirnya dipilih.

LEBIH BANYAK TEMPAT FASA 2C

Antara perubahan yang diumumkan MOE pada September adalah memperuntukkan 60 tempat bagi Fasa 2C di kebanyakan sekolah rendah, berbanding 40 sekarang.

Fasa 2C terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira hubungan terdahulu dengan sesebuah sekolah.

Menurut MOE sebelum ini, penambahan tempat itu bertujuan meluaskan akses kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai hubungan sedemikian.

Jumlah tempat yang diperuntukkan bagi Fasa 2A, yang antara lain melibatkan anak kepada bekas murid sesebuah sekolah, mungkin berkurangan susuli perubahan itu.

Selain itu, 12 sekolah di kawasan di mana perumahan awam membentuk kurang 40 peratus daripada rumah dalam lingkungan dua kilometer akan melaksanakan skim dua laluan bagi Fasa 2C.

Tempat Fasa 2C akan dibahagikan sama rata antara satu laluan bagi pemohon yang tinggal dalam lingkungan dua kilometer dari sekolah dan satu lagi bagi mereka yang tinggal lebih jauh.

Tiada keutamaan berdasarkan jarak rumah dengan sekolah dalam setiap laluan.

Skim dua laluan itu melibatkan sekolah seperti Sekolah Rendah CHIJ (Katong) dan Sekolah Rendah Ngee Ann.

Encik Lee berkata perubahan tersebut bertujuan memastikan sekolah kekal terbuka dan mudah diakses.

"Sekolah kita merupakan ruang bersama yang penting di mana kanak-kanak daripada latar belakang berbeza berinteraksi dan belajar bersama, sekali gus menghargai perspektif berbeza dan membina persefahaman bersama," katanya.

Menurut Encik Lee, ini membantu membina asas bagi Singapura yang bersatu padu dan inklusif.

TIADA TEMPAT KHAS BAGI KUMPULAN SOSIOEKONOMI

Menjawab soalan Cik Elysa Chen (PAP-Bishan Toa Payoh), Encik Lee berkata MOE tidak bercadang memperuntukkan sebahagian tempat Fasa 2C khusus bagi kanak-kanak yang tinggal di flat sewa awam atau flat lebih kecil.

"Matlamat kami adalah untuk meluaskan peluang akses, bukan memperuntukkan tempat bagi kumpulan sosioekonomi tertentu. Oleh itu, kami tidak memperkenalkan keutamaan bagi kumpulan sosioekonomi tertentu, termasuk mereka yang tinggal di flat sewa," katanya.

Sebaliknya, skim dua laluan bagi 12 sekolah itu berdasarkan kadar perumahan awam di kawasan sekitar kerana ia lebih mudah dilaksanakan, kata Encik Lee.

Pendekatan tersebut juga memberi lebih kepastian kepada ibu bapa memandangkan komposisi perumahan tidak sering berubah.

Encik Lee berkata MOE akan memantau pelaksanaan kedua-dua perubahan itu, terus menyemak rangka kerja pendaftaran Darjah 1 dan membuat penyesuaian lanjut jika diperlukan.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita