Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada tanda luaran tunjuk serangan anai-anai pada pokok hempap wanita di Taman Marsiling, dedah Mahkamah Koroner

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mahkamah Koroner memutuskan kematian seorang wanita yang sedang berlari-lari anak ketika dihempap sebatang pokok di Taman Marsiling adalah satu peristiwa malang. Mahkamah Koroner menambah, tiada tanda luaran yang menunjukkan terdapat serangan anai-anai pada sebahagian besar pokok setinggi 20 hingga 22 meter itu.

Cik Loke Xiao Li Dag, seorang penyelaras teknikal kanan di studio CNA, berlari-lari anak di Taman Marsiling pada pagi 18 Februari 2021, apabila pokok tersebut tumbang lalu menghempapnya.

Mendiang berusia 38 tahun ketika itu.

Meskipun pasangan yang sedang berlari-lari anak di laluan bersebelahan bergegas untuk membantunya, mereka tidak dapat mengangkat pokok itu kerana ia terlalu berat. Cik Loke hanya dapat ditarik keluar apabila pokok itu dipotong kepada tiga bahagian dengan gergaji rantai dan bahagian tengahnya diangkat.

Ketika itu, tiada degupan jantung dikesan pada Cik Loke yang mengalami kecederaan yang serius. Beliau disahkan meninggal dunia di taman tersebut sekitar pukul 8.50 pagi pada hari yang sama, dengan punca kematiannya disahkan sebagai pelbagai kecederaan yang dialaminya.


Saudara lelakinya, yang pergi ke taman tersebut bersama keluarganya untuk meninjau keadaan, berkata bahawa seorang kakitangan Lembaga Taman Negara (NParks) berbisik kepadanya bahawa terdapat hakisan tanah.

Dia mengambil gambar pokok Araucaria excelsa itu dan menyatakan bahawa seorang ahli akademik memberitahu pihak media dalam wawancaranya, tidak ada yang salah pada pokok itu. Walau bagaimanapun, saudara lelaki mangsa merasakan bahawa sebenarnya ada isu dengan pokok tersebut berdasarkan gambar yang diambilnya.

Ia bagaimanapun didedahkan dalam siasatan koroner bahawa pokok tersebut sebenarnya diserang sejenis anai-anai bawah tanah.

Pengarah kumpulan NParks daripada divisyen landskap jalan raya, Encik Oh Cheow Sheng, memberi keterangan yang mengatakan bahawa anai-anai tersebut telah memasuki batang pokok tersebut dari bawah tanah dan tidak meninggalkan sebarang tanda yang dapat dilihat dari luar.

PEMERIKSAAN TIDAK MENUNJUKKAN SERANGAN ANAI-ANAI

Koroner Negara Adam Nakhoda menerima bukti yang dikemukakan menyusuli siasatan tersebut yang menyatakan bahawa pokok itu telah diperiksa dan didapati dalam keadaan baik, dengan tiada serangga atau penyakit dikesan.

Kesemua tiga laporan bagi pemeriksaan pokok berdasarkan bahagian luarnya dijalankan pada Oktober 2016, Oktober 2018 dan April 2020. Setiap pemeriksaan itu tidak menunjukkan sebarang kesan ia diserang anai-anai dari luar.

Serangan anai-anai seumpama itu sangat jarang berlaku, yang hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan tahap lanjutan yang bukan merupakan langkah pertama untuk memeriksa pokok-pokok di Singapura kerana ia sangat mahal dan tidak praktikal untuk berbuat demikian ke atas semua pokok.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan