Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada sistem saliran betul punca dua banjir semasa lonjakan monsun: PUB

Anggaran Waktu Membaca:
 Tiada sistem saliran betul punca dua banjir semasa lonjakan monsun: PUB

Monsun lebih kencang baru-baru ini menyebabkan keadaan banjir berhampiran stesen MRT Marina Bay dan tingkat paling bawah di lobi lif Blok 129 Bedok Reservoir Road. (Gambar fail: AP/David Goldman)

Diterbitkan : 25 Mar 2025 07:22AM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 07:28AM
SINGAPURA: Dua kejadian banjir yang dilaporkan di Marina Bay dan Bedok semasa lonjakan monsun baru-baru ini disebabkan oleh tiadanya sistem saliran yang betul dan penyenggaraan yang tepat pada masanya, menurut agensi air kebangsaan PUB pada Isnin (24 Mac).

Pada 21 Mac, kawasan Central Lane 3 dekat Stesen MRT Marina Bay, yang merupakan jalan berturap untuk memudahkan akses ke tapak kerja bersebelahan, ditenggelami air bah. Menurut PUB, pemeriksaan yang dilakukan menunjukkan tiada sistem saliran yang betul untuk menyalurkan air hujan.

Dua hari kemudian, satu lagi kejadian banjir dilaporkan di lobi lif Blok 129 Bedok Reservoir Road. Dalam insiden tersebut PUB mendapati bahawa longkang berhampiran lobi tersebut tersumbat dengan serpihan.

"Kedua-dua kejadian banjir ini boleh dielakkan dengan melaksanakan langkah-langkah saliran yang betul dan memastikan penyenggaraan tepat pada masanya," jelas PUB.

"PUB sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menangani isu-isu tersebut."

Tambahnya, pengurusan banjir adalah satu usaha bersama, dan ia bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan termasuk pemilik bangunan dan pemaju untuk mengukuhkandaya tahan terhadap banjir.

"Kod amalan PUB mengenai Saliran Air Permukaan menyediakan syarat-syarat mengenai tahap platform minimum untuk bangunan, dan langkah-langkah pengawalan banjir yang mesti dilaksanakan dan diselenggarakan," menurutnya lagi.

Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS), pada minggu lalu memberi amaran tentang lonjakan monsun dari 19 hingga 21 Mac yang akan membawa hujan sederhana hingga lebat di seluruh Singapura.

Beberapa bahagian Singapura mengalami hujan melebihi purata pada dua hari pertama, dengan Jurong West mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 318mm. Di bahagian timur Singapura timur pula, jumlah hujan tertinggi yang dicatatkan adalah 298.4mm.

Kedua-dua jumlah tersebut melebihi purata bulanan Singapura sebanyak 209.7mm untuk bulan Mac, menurut PUB.

Banjir juga berlaku di persimpangan Mountbatten Road dan Jalan Seaview sepanjang 15 meter selama kira-kira dua jam pada petang 20 Mac.

Ia disebabkan oleh "gabungan hujan lebat dan air pasang tinggi yang menenggelamkan buat sementara terusan bersebelahan dan longkang tepi jalan sekitar," jelas PUB. Menurut agensi itu, banjir juga menjejas beberapa kediaman dalam harta benda berdekatan.

Hujan tanpa henti juga memaksa kejohanan golf Porsche Singapore Classic 2025, ditangguhkan.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan