Skip to main content

Singapura

Tiada sewa teksi hingga 1 Jun; SMRT perluas peluang pemandu jana pendapatan alternatif

SMRT akan melanjutkan pengecualian sewa penuh bagi teksi sehingga 1 Jun. Syarikat itu mengumumkan demikian hari ini (29 Apr) dalam usaha untuk membantu para rakan teksinya "mengurangkan kesan kewangan yang akan dihadapi mereka" akibat tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada sewa teksi hingga 1 Jun; SMRT perluas peluang pemandu jana pendapatan alternatif

Gambar fail teksi SMRT. (Gambar: SMRT/Facebook)

Diterbitkan : 29 Apr 2020 04:27PM Dikemas Kini : 29 Apr 2020 04:29PM

SINGAPURA: SMRT akan melanjutkan pengecualian sewa penuh bagi teksi sehingga 1 Jun. Syarikat itu mengumumkan demikian hari ini (29 Apr) dalam usaha untuk membantu para rakan teksinya "mengurangkan kesan kewangan yang akan dihadapi mereka" akibat tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan.

Langkah itu akan membuatkan syarikat tersebut menanggung kos tambahan S$6 juta, sekali gus membawa jumlah kos untuk membantu para pemandu teksi kepada sekitar S$20 juta, menurut SMRT dalam kenyataan medianya.

SMRT memberi para pemandu teksinya rebat sewa harian S$55 pada April, yang termasuk S$10 daripada Dana Bantuan Khas Pemerintah untuk membantu mereka menangani kemerosotan pada jumlah permintaan dek langkah-langkah COVID-19 yang lebih ketat.

Pemerintah menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja sejak 7 April lalu sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penularan COVID-19 di Singapura.

"Kami ingin memberi jaminan kepada rakan kongsi teksi kami bahawa kami menjaga mereka sewaktu tempoh sukar ini," kata Naib Presiden Kanan SMRT Road Holdings Tony Heng.

"Lanjutan pada tempoh pemutus jangkitan sehingga 1 Jun pastinya akan menjejas pendapatan mereka. Dengan memberikan mereka pengecualian sewa penuh buat tempoh yang sama, kami berharap mereka berasa kurang bimbang."

SMRT juga memperluaskan kerjasamanya dengan pengendali makanan dan minuman (F&B) untuk menyediakan pekerjan bagi para pemandu yang terjejas oleh langkah-langkah yang diperketatkan itu.

Lebih 400 pemandu sudahpun dimanfaatkan untuk menyediakan khidmat penghantaran makanan bagi rakan-rakan kongsi F&B syarikat itu termasuk wadah tempahan restoran, Chope.

SMRT menyatakan: "Kami menyasarkan untuk merekrut lebih 500 rakan kongsi teksi untuk menyokong kerjasama penghantaran kami."

Encik Lee Kong Hiong, yang sudah bersama SMRT Taxis selama lapan tahun, adalah dalam kalangan mereka yang baru-baru ini memulakan penghantaran makanan di bawah Chope.

Pemandu teksi berusia 53 tahun tu berkata beliau menyaksikan pendapatannya menjunam antara 40 hingga 60 peratus sejak permulaan wabak COVID-19.

Selain itu, sekitar 30 pemandu di bawah penyedia khidmat limusin Strides Transportation sudahpun menawarkan diri untuk membantu menghantar makanan dua kali sehari kepada sekitar 500 keluarga memerlukan yang terjejas oleh penularan virus korona.

Ia adalah sebahagian daripada kerjasama SMRT dengan inisiatif masyarakat seperti 'Project Makan'.

Para pemandu teksi juga ditawarkan pilihan pekerjaan jangka pendek dan peluang untuk menjadi kapten bas bersama bas SMRT.

"Bagi mereka yang masih memandu teksi dan limusin, kami sedang menjana lebih banyak perjalanan untuk mereka seperti bekerjasama dengan rakan niaga untuk membeli baucar teksi secara pukal," menurut syarikat itu sambil menambah bahawa kakitangan diminta untuk menaiki teksi SMRT bagi membuat perjalanan kerja sekiranya menggunakan khidmat kereta sewa.

Permintaan bagi khidmat teksi di Singapura menyaksikan kemerosotan yang sangat ketara bulan lalu sedang Pemerintah menggesa orang ramai supaya duduk di rumah sekerap mungkin dan hanya keluar rumah bagi urusan penting.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita