Skip to main content

Singapura

Tiada saranan rasmi dari M'sia berhubung 'jambatan bengkok'

Singapura belum menerima "sebarang saranan atau bentuk komunikasi rasmi" dari Malaysia mengenai pembinaan "jambatan bengkok" yang menghubungkan Johor dengan Singapura, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (18 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Oct 2018 05:39PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 10:08PM

SINGAPURA: Singapura belum menerima "sebarang saranan atau bentuk komunikasi rasmi" dari Malaysia mengenai pembinaan "jambatan bengkok" yang menghubungkan Johor dengan Singapura, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (18 Okt).

Kementerian itu menyatakan demikian sebagai respons kepada pertanyaan media mengenai komen-komen yang dibuat oleh Menteri Besar Johor Osman Sapian pada Selasa (16 Okt) menjelang rundingan beliau di Singapura.

Encik Osman dilaporkan sebagai membayangkan bahawa rundingan bagi membincangkan semula projek itu - yang pertama kali diusulkan oleh Dr Mahathir Mohamad semasa beliau pertama kali menyandang jawatan perdana menteri Malaysia - mungkin akan dibangkitkan sekali lagi.

Encik Osman berkata isu itu akan dibincangkan semasa rundingan antara pemerintah Singapura dengan kerajaan negeri Johor, yang akan diadakan sama ada pada 27 atau 28 Oktober di Singapura, menurut laporan Star Online.

Menteri Besar itu juga dipetik sebagai berkata, isu-isu seperti "harga air, pembangunan dua hala dan pelaburan" serta projek jambatan ketiga akan dibincangkan, menurut laporan itu lagi.

Bagaimanapun menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MFA pada Khamis (18 Okt): "Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia yang akan mengadakan pertemuan pada lewat tahun ini, tidak mempunyai mandat untuk membincangkan isu-isu yang ada kaitan dengan Perjanjian Air 1962."

"Singapura juga belum menerima saranan atau sebarang bentuk komunikasi rasmi dari Malaysia berhubung pembinaan jambatan bengkok atau sebarang laluan baru antara Singapura dengan Malaysia."

Konsep asal jambatan bengkok melibatkan lebuh raya dengan enam lorong yang direka sedemikian rupa bagi membolehkan kapal berlayar di bawahnya.

Projek itu bagaimanapun digugurkan oleh pengganti Dr Mahathir, iaitu Encik Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau menjadi Perdana Menteri negara itu. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita