Skip to main content

Singapura

Tiada "salah yang dilakukan dengan sengaja" oleh MDDI, ACRA dalam insiden dedah nombor NRIC: Panel semakan

Anggaran Waktu Membaca:
 Tiada "salah yang dilakukan dengan sengaja" oleh MDDI, ACRA dalam insiden dedah nombor NRIC: Panel semakan

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 04 Mar 2025 12:26AM Dikemas Kini : 04 Mar 2025 12:34AM
SINGAPURA: Tiada perbuatan "salah yang dilakukan dengan niat, atau pengabaian yang disengajakan" oleh para pegawai pemerintah dalam insiden yang menyebabkan nombor-nombor penuh kad pengenalan (NRIC) didedahkan di portal perniagaan Bizfile pada Disember lalu.

Satu laporan oleh panel semakan yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut menyatakan pada Isnin (3 Mac) bahawa ia merupakan "gabungan beberapa kelemahan" yang menyebabkan nombor-nombor NRIC didedahkan di portal Bizfile Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

Panel itu, yang dipengerusikan oleh ketua perkhidmatan awam Leo Yip, diminta menyemak dasar pemerintah mengenai penggunaan bertanggungjawab nombor-nombor NRIC, menentukan apa yang membawa kepada insiden Bizfile dan mengenal pasti perkara-perkara yang boleh dijadikan pengajaran untuk mengelak insiden sama daripada berulang.

"Meskipun panel tidak mengesan sebarang bukti fakta yang menunjukkan berlakunya kesalahan yang dilakukan dengan niat, atau pengabaian yang disengajakan oleh para pegawai (Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital) dan ACRA yang terlibat dalam insiden ini, ia mendapati beberapa kelemahan oleh ACRA dan MDDI dalam insiden ini, yang seharuskan dielakkan," menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media.

Panel itu menyerahkan laporannya kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Kumpulan Negara Bijak Teo Chee Hean pada 25 Februari. Perdana Menteri Lawrence Wong meluluskan laporan itu untuk dikeluarkan kepada umum pada 27 Februari. Encik Teo akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai laporan itu pada 6 Mac di parlimen.

ACRA, Kementerian Kewangan (MOF) dan MDDI menerima dapatan panel itu dan berkongsi langkah-langkah yang sedang diambil untuk menangani kelemahan-kelemahan tersebut.

Pada Disember lalu, orang ramai menyuarakan keprihatinan apabila carian yang dibuat di portal Bizfile ACRA menunjukkan nombor penuh NRIC.

Ketua Eksekutif ACRA Chia-Tern Huey Min berkata "kelemahan penyelarasan" dan salah faham menyebabkan nombor-nombor NRIC tersebut didedahkan.

GARIS MASA INSIDEN

Pada Ogos 2022, Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) yang sekarang sebahagian daripada MDDI, memulakan semakan ke atas dasar penggunaan nombor NRIC.

Niatnya adalah untuk menghentikan penggunaan salah nombor NRIC dan untuk beralih daripada menggunakan separa nombor NRIC.

SNDGO mengeluarkan surat pekeliling kepada agensi-agensi pemerintah pada September 2023 bagi menangani isu pertama - iaitu penggunaan salah nombor NRIC bagi pengesahan. Nombor NRIC bertujuan mengenal pasti individu, dan bukan untuk membuktikan bahawa mereka adalah orang yang mereka katakan.

ACRA pula pada awal 2024 mengusulkan bahawa pihaknya mula menyediakan separa nombor NRIC berbanding nombor penuh apabila pengguna membeli profil atau 'People Profile' di portal Bizfile.

SNDGO memaklumkan kepada ACRA mengenai perancangan untuk beralih daripada menggunakan separa nombor kad pengenalan, dan ACRA memutuskan untuk tidak membuat perubahan tersebut.

Namun, ACRA salah faham niat SNDGO pada waktu itu. Ia percaya bahawa niat jangka panjangnya adalah untuk agensi-agensi awam "mendedahkan" nombor NRIC.

SNDGO tidak membetulkan ACRA atau menjelaskan bahawa langkah menghentikan penggunaan separa nombor NRIC tidak sama dengan mendedahkan dan menggunakan nombor penuh NRIC.

"Ini menyebabkan timbulnya salah faham antara ACRA dengan MDDI," menurut semakan panel dalam laporannya.

Pada Julai 2024, MDDI mengeluarkan surat pekeliling untuk memaklumkan tentang perancangannya untuk berhenti menggunakan separa nombor NRIC di dalam pertubuhan dan untuk berhenti memperkenalkan penggunaan baharu separa nombor NRIC baik di dalam atau luar pertubuhan.

Bagi penggunaan sedia ada separa nombor NRIC di luart pertubuhan, MDDI merancang untuk mengumpulkan maklumat mengenai kes-kes penggunaan sebelum merancang cara menghentikannya.

MDDI mengadakan taklimat mengenai surat pekeliling tersebut 11 hari kemudian dan dua pegawai dari ACRA yang tidak terlibat dalam pembangunan portal baharu Bizfail menghadiri sesi tersebut.

Satu rakaman video taklimat tersebut dan dokumen yang tertera soalan-soalan yang sering ditanya dikirimkan melalui emel kepada pasukan tadbir urus data keesokan harinya, tetapi tidak dilampirkan dengan surat pekeliling awal dan tidak dikongsi dengan kepimpinan kanan ACRA.

Dalam ACRA, terdapat perbincangan mengenai potensi sensitiviti menunjukkan nombor penuh NRIC dalam fungsi carian 'People Search", tetapi agensi itu "sangat dipengaruhi" oleh perbincangan awalnya dengan SNDGO, di mana perkataan "mendedahkan" digunakan.

Ia juga merujuk kepada sebaris ayat dalam surat pekeliling pada Julai bahawa agensi-agensi mesti berhenti menggunakan separa nombor NRIC dalam produk-produk digital baharu. Meskipun Bizfile bukan baharu, ACRA menganggap portal yang dikemas kini itu sebagai produk digital baharu.

Dalam pertukaran emel, MDDI memberitahu ACRA bahawa ia boleh meneruskan penggunaan separa nombor NRIC "buat masa ini" tetapi bersedia untuk "mendedahkannya kelak". MDDI menggunakan perkataan "unmask" atau "mendedahkan" sebagai singkatan bagi berhenti menggunakan separa nombor kad pengenalan.

ACRA salah faham mesej itu sebagai bermaksud separa nombor NRIC boleh digunakan di portal lama Bizfile, tetapi nombor penuh perlu ditunjukkan di portal baharunya secepat mungkin.

"Kedua-dua pihak tidak menyedari bahawa ACRA sudah salah faham (mengenai mesej surat pekeliling itu) kerana kedua-dua pihak tidak mendampingi satu sama lain dengan lebih mendalam mengenai apa yang mereka maksudkan dalam emel masing-masing, yang mungkin boleh memperjelaskan salah faham tersebut," menurut laporan itu.

Akibatnya, apabila portal baharu dilancarkan pada 9 Disember tahun lalu, nombor penuh NRIC dipaparkan dalam hasil carian 'People Search'.

Tiga hari kemudian, agensi-agensi mula menerima pertanyaan media dan maklum balas daripada orang awam. Fungsi carian itu dimatikan lewat 13 Disember, dan MDDI menyatakan nombor NRIC tidak seharusnya privet, dan ia berniat untuk mengubah amalan menggunakan separa nombor kad pengenalan.

Sekalipun demikian, pada 19 Disember, ketua eksekutif ACRA berkata agensi itu salah faham maksud MDDI dan menyangka ia harus mendedahkan nombor NRIC dalam portal Bizfile.

Fungsi carian di portal itu kemudian disemak dan diperkenalkan pada 28 Disember, dan nombor NRIC tidak lagi dipaparkan dalam hasil carian.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita