Skip to main content

Singapura

Tiada Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini; PM Lee akan sampaikan 'ucapan penting' di Parlimen

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan membuat satu "ucapan penting" di Parlimen  berbanding acara Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini disebabkan penularan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jul 2020 07:27PM Dikemas Kini : 25 Jul 2020 11:54PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan membuat satu "ucapan penting" di Parlimen berbanding acara Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini disebabkan penularan COVID-19.

Bercakap di satu sidang media pada Sabtu (25 Jul) untuk mengumumkan barisan Kabinet yang baru, Encik Lee menjawab satu soalan berhubung bilakah Parlimen akan bersidang dan sama ada Rapat Umum Hari Kebangsaan akan diadakan tahun ini.

“Kami akan membuka Parlimen pada 24 Ogos dan upacara angkat sumpah Anggota Parlimen (AP)di hadapan Presiden akan berlangsung pada sebelah petang.

“Presiden juga akan menyampaikan ucapan untuk membuka Parlimen pada sebelah malam sebagaimana ia selalunya dilakukan. Kami akan mengamalkan langkah jarak selamat tetapi kami tahu bagaimana untuk melakukannya."

Perbahasan akan bermula seminggu kemudian iaitu pada 31 Ogos dengan Encik Lee akan berucap serta membuat "satu ucapan penting".

Perdana Menteri berkata beliau memutuskan untuk berbuat demikian kerana terdapat "keperluan mendesak bagi Parlimen bersidang semula" kerana ada undang-undang "yang harus segera diluluskan serta urusan untuk diselesaikan".

"Oleh kerana Presiden akan berucap pada 24 hari bulan dan kemudian saya akan berucap sekitar 10 hari selepas itu, saya memutuskan tahun ini untuk membuat ucapan penting kepada rakyat Singapura di Parlimen dan bukannya mengadakan Rapat Umum Hari Kebangsan," tambah Encik Lee.

“Memandangkan ia mustahil untuk mengadakan Rapat Umum Hari Kebangsaan secara fizikal dan menganjurkan sebuah acara seperti biasa, dengan mempunyai penonton di hadapan saya dan saya boleh menunjukkan mereka 'slides', dan memberi penerangan lanjut serta mengimbas kembali kisah-kisah.

“Jadi sebaliknya, saya akan melakukannya di Parlimen dan kami akan mengadakan perbahasan serius di sana."

Menurut Arkib Negara, Rapat Umum Hari Kebangsaan diadakan setiap tahun sejak 1966.

Langkah-langkah jarak selamat COVID-19 dilaksanakan semasa Parlimen lalu yang menyaksikan para AP duduk dengan jarak di antara satu sama lain di dewan dan di galeri.

Langkah-langkah tersebut termasuk mengambil jamuan dalam kumpulan berbeza bagi mengurangkan pergaulan serta menggunakan tandas berasingan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita