Tiada rapat, lebih banyak siaran politik di TV di bawah garis panduan awal GE
Tiada rapat secara fizikal akan dibenarkan jika Pilihan Raya Umum jatuh semasa Fasa 2 pembukaan semula Singapura. Namun, cara-cara alternatif mendampingi pengundi akan disediakan, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Khamis (18 Jun).
SINGAPURA: Tiada rapat secara fizikal akan dibenarkan jika Pilihan Raya Umum jatuh semasa Fasa 2 pembukaan semula Singapura. Namun, cara-cara alternatif mendampingi pengundi akan disediakan, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Khamis (18 Jun).
Kegiatan berkempen secara fizikal akan dihadkan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH) bagi mencegah penularan COVID-19. Ini bermakna sesuatu perhimpunan itu harus dihadkan kepada maksimum lima orang.
Parti-parti politik yang melakukan lawatan menemui penduduk mahupun kempen dari pintu ke pintu harus mengehadkan rombongan mereka kepada lima orang, dan harus mengambil langkah berjaga-jaga lain yang dinasihatkan oleh pihak berkuasa kesihatan seperti memakai pelitup dan mengelakkan sentuhan fizikal, jelas ELD.
"Calon-calon dan parti-parti politik juga harus memastikan anggota masyarakat yang mereka dampingi juga mematuhi langkah-langkah jarak selamat sedia ada," menurut ELD dalam kenyataan medianya.
Pemandangan yang biasa dilihat dalam pilihan raya sebelum ini seperti rapat politik yang sesak dan perhimpunan penyokong di pusat-pusat penamaan calon juga ditiadakan, memandangkan perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan.
Penyiar nasional Mediacorp akan membuat liputan prosiding pada Hari Penamaan Calon di TV dan saluran-saluran online. Hanya calon, pencadang (proposer), penyokong (seconder), penyokong sampingan dan media bertauliah boleh memasuki pusat-pusat penamaan calon, dan para penyokong parti tidak akan dibenarkan berlegar-legar di kawasan berhampiran, jelas ELD.
Penyokong juga tidak dibenarkan berkumpul di pusat-pusat perhimpunan pada hari kiraan undi untuk menantikan pengumuman keputusan pilihan raya.
ALTERNATIF KEPADA RAPAT FIZIKAL
Siaran politik kawasan undi akan menggantikan rapat fizikal dan disiarkan di Saluran 5 Mediacorp. Setiap calon akan diberi waktu siaran tiga minit di TV nasional dan boleh memilih untuk bercakap dalam salah satu daripada empat bahasa rasmi. Ini adalah aturan sekali saja yang khas dilakukan bagi pilihan raya akan datang.
Ini bermakna setiap calon dari Kawasan Undi Perseorangan (SMC) akan mendapat tiga minit, setiap pasukan dari Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) akan mendapat 12 minit dan pasukan GRC lima orang akan mendapat 15 minit.
Parti-parti yang bertanding boleh memilih sama ada seorang atau lebih ramai anggota pasukan GRC akan memberi ucapan semasa waktu yang ditetapkan bagi GRC, menurut ELD.
Ini di samping dua siaran politik parti, serupa dengan Pilihan Raya Umum 2015, yang akan disiarkan di 19 saluran TV dan radio.
"Orang ramai dinasihatkan menonton siaran politik di rumah mereka, dan tidak berkumpul melebihi had yang dibenarkan di bawah garis panduan MOH," jelas ELD.
Para calon juga mempunyai pilihan mengadakan e-rapat melalui penstriman secara langsung dan pemerintah akan menyediakan tempat bagi melakukan penstriman. tersebut. Calon-calon boleh memohon dan menggunakan kemudahan itu semasa tempoh berkempen, pada kadar bersubsidi. Penggunaan tempat-tempat ini tidak diwajibkan dan calon-calon boleh berkempen melalui penstriman secara langsung di tempat lain, pada lain masa, menurut ELD.
Butiran lanjut berhubung siaran politik dan tempat-tempat untuk membuat penstriman secara langsung akan diumumkan selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Satu lagi perubahan ialah kenderaan yang meronda-ronda untuk berkempen tidak akan dibenarkan menyiarkan muzik atau video, atau mempunyai pembesar suara langsung atau penstriman secara langsung.
"Membolehkan calon bercakap dari bahagian belakang kenderaan yang meronda-ronda boleh disifatkan rapat de facto dan akan menarik sejumlah orang di sekeliling mereka," jelas ELD.
"Ini akan membawa risiko besar kepada ketenteraman awam, kesihatan awam dan keselamatan awam, jika orang ramai berhimpun atau mengikut kenderaan tersebut di jalan raya."
Selain itu, polis tidak akan memberi permit bagi perarakan kenderaan untuk mengucapkan "terima kasih" selepas hari mengundi. Ini juga kerana peraraakn sedemikian biasanya akan menarik sejumlah besar orang.
GARIS PANDUAN BAGI FASA 2
Selain melindungi kesihatan dan keselamatan anggota masyarakat, garis panduan kempen pilihan raya itu juga bertujuan untuk memastikan para pengundi mempunyai akses kepada mesej bagi semua parti dan calon politik yang berkempen, walaupun di tengah-tengah keadaan COVID-19, menurut ELD.
Beberapa aspek kempen pilihan raya tidak berubah, sebagai contoh, Hari Bertenang akan tetap diadakan di mana semua kegiatan berkempen harus dihentikan sebelum hari mengundi.
Memasang poster dan sepanduk boleh diteruskan, di mana calon-calon juga boleh berkempen online, bergantung kepada peraturan pengiklanan pilihan raya yang diumumkan pada 8 Jun. ELD sebelum ini mengumumkan langkah-langkah khas bagi mengundi semasa pendemik COVID-19, termasuk tempoh waktu bagi mengundi dan memakai sarung tangan semasa mengundi.
ELD juga mengingatkan calon supaya berkempen dalam cara yang "bertanggungjawab dan bermaruah" dan tidak membuat dakwaan atau kenyataan yang akan menyebabkan ketegangan kaum atau agama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.