Tiada rancangan wartakan Hutan Tagore sebagai hutan simpanan buat masa ini: Chee Hong Tat
Pemerintah buat masa ini tidak mempunyai rancangan untuk mewartakan Hutan Tagore sebagai hutan simpanan, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Selasa (8 Sep).
Hutan Tagore terletak berhampiran Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah. (Gambar: Google Street View)
- Pemerintah Singapura belum merancang untuk mewartakan Hutan Tagore sebagai hutan simpanan walaupun ada cadangan daripada saintis dan pemulihara alam.
- Keputusan ini dibuat kerana kawasan itu telah diperuntukkan untuk pembangunan perumahan di bawah Pelan Induk URA.
- Pemerintah menggunakan pendekatan berasaskan sains dalam menilai keutamaan pemuliharaan, sambil menyeimbangkan keperluan biodiversiti dan pembangunan.
- Jika pembangunan dijalankan di kawasan sensitif, Penilaian Kesan Sekitaran akan dilakukan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
SINGAPURA: Pemerintah buat masa ini tidak mempunyai rancangan untuk mewartakan Hutan Tagore sebagai hutan simpanan, kata Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Selasa (8 Sep).
Beliau menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada pertanyaan mengenai penilaian dan pengambilan keputusan perancangan tanah bagi kawasan yang mempunyai kepentingan ekologi.
Anggota Parlimen (AP) Aljunied Kenneth Tiong bertanya sama ada pemerintah akan menimbangkan untuk mewartakan Hutan Tagore sebagai hutan simpanan di bawah Akta Taman dan Pokok.
Hutan itu, yang terletak di tenggara persimpangan Ekspreswe Seletar (SLE) dengan Upper Thomson Road, diperuntukkan bagi kegunaan kediaman di bawah Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Pada 2024, lebih 40 saintis dan pemulihara alam mencadangkan agar perlindungan hutan itu sebagai taman alam semula jadi dikaji menerusi dokumen Pelan Pemuliharaan Terestrial Singapura.
Hutan Tagore dianggap kawasan penampan bagi Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah dan menjadi habitat bagi hidupan liar yang jarang ditemui, termasuk lotong berbelang Raffles.
PENDEKATAN BERASASKAN SAINS
Encik Chee berkata pemerintah menggunakan pendekatan "berasaskan sains" untuk menentukan kawasan dan kaedah pemuliharaan yang perlu diberi keutamaan.
Antara pertimbangan untuk mewartakan sesuatu kawasan sebagai hutan simpanan ialah biodiversiti, nilai ekologi dan kepentingannya kepada biodiversiti asli Singapura.
Namun, pertimbangan tersebut perlu diseimbangkan dengan keperluan penggunaan tanah lain di negara ini.
Singapura mempunyai empat hutan simpanan yang dilindungi di bawah Akta Taman dan Pokok: Hutan Simpanan Bukit Timah, Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, Hutan Simpanan Labrador dan Paya Simpanan Sungei Buloh.
Menurut Encik Chee, kawasan-kawasan itu dinilai sebagai antara yang mempunyai biodiversiti tertinggi di Singapura serta melindungi pelbagai habitat dan spesies endemik serta terancam.
Beliau berkata URA bekerjasama rapat dengan Lembaga Taman Negara (NParks) untuk mengambil kira aspek ekologi dan biodiversiti dalam Pelan Jangka Panjang serta Pelan Induk.
Lebih 7,800 hektar kawasan hijau sudah diperuntukkan di Singapura dan jumlah itu akan meningkat kepada 8,800 hektar menjelang 2035.
Pemerintah juga menetapkan kawasan alam semula jadi dan taman alam semula jadi sebagai kawasan penampan bagi hutan simpanan, selain menyediakan taman dan kawasan hijau lain yang memenuhi fungsi ekologi serta rekreasi.
KEPERLUAN PERUMAHAN
Mengenai bekalan perumahan baharu, Encik Chee berkata agensi pemerintah mengambil kira trend demografi dan sosioekonomi, keadaan pasaran serta bekalan flat jual semula.
Beliau menambah bahawa permintaan perumahan dijangka kekal kukuh dalam tempoh dekat hingga sederhana, disebabkan kadar pembentukan isi rumah yang tinggi dan saiz isi rumah yang semakin kecil.
Pemerintah akan mempergiat penggunaan tanah, menempatkan kemudahan bersama dan memanfaatkan ruang yang kurang digunakan jika sesuai.
Namun, Encik Chee berkata tidak praktikal untuk memenuhi sebahagian besar bekalan perumahan awam menerusi pembangunan semula kawasan perumahan berintensiti rendah atau Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS) sahaja.
Sekiranya pembangunan diteruskan di tapak yang berpotensi memberi kesan besar terhadap alam sekitar, Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) akan dijalankan untuk menilai kesan dan merangka langkah mitigasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.