Tiada rancangan selaraskan kalendar akademik politeknik dengan sekolah rendah, menengah
SINGAPURA: Setakat ini, tiada perancangan untuk menyelaraskan kalendar akademik politeknik dengan sekolah rendah dan menengah.
Demikian didedahkan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen hari ini (5 Okt).
"Kalendar politeknik juga mengambil kira bila para pelajar mendaftarkan diri bagi kursus mereka," kata Encik Chan. "Bagaimanapun, terdapat cuti penggal yang bertindan antara sekolah-sekolah kita dengan politeknik."
Encik Chan menjawab pertanyaan yang dikemukakan Anggota Parlimen (AP) Wan Rizal (PAP-Jalan Besar), yang bertanya sama ada kementerian itu mempunyai rancangan untuk melakukan semakan semula kepada cuti semester bagi politeknik-politeknik dan menyelarasnya dengan sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Tidak seperti kalendar akademik sekolah rendah dan menengah yang biasanya mengikut kalendar tahunan, politeknik-politeknik biasanya memulakan tahun akademik pada April dan ia berakhir pada Mac tahun seterusnya.
Selain itu, politeknik mempunyai cuti semester yang pangjang pada bulan September dan Oktober, serta Mac dan April. Manakala, bulan Jun dan Disember adalah cuti panjang bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah. Sekalipun demikian, politeknik juga mempunyai cuti penggal yang pendek pada bulan Jun dan Disember.
Dr Wan Rizal, seorang kakitangan akademik di Politeknik Republik (RP), maklum bagaimana para pelajar dalam program pendidikan dan latihan berterusan (CET) menghabiskan bulan Disember dengan mengikuti kelas-kelas.
Program-program CET, di mana sebilangannya ditawarkan di politeknik-politeknik, biasanya melibatkan pelajar dewasa, yang belajar secara sambilan untuk meraih diploma lebih tinggi atau sijil profesional.
"Ini bermakna untuk kita mengalakkan mereka mengambil diploma sambilan dan mempunyai keseimbangan antara kerja dengan kehidupan, cuti Disember mereka perlu dikorbankan dan sempena meraikan keluarga dan menyokong (mereka), saya fikir ini merupakan sesuatu yang kita terlepas pandang," kata Dr Wan Rizal.
Para penuntut diploma sepenuh masa di politeknik juga mengambil ujian pertengahan semester dalam beberapa minggu pertama bulan Disember, walaupun mereka kemudian diberi cuti dua minggu sehingga tahun baru.
Encik Chan berkata bahawa kursus bermodul yang pendek dan kelayakan kemahiran tenaga kerja, seperti yang ada di dalam program-program CET, mempunyai jadual program yang lebih fleksibel dan tidak semestinya sejajar dengan kalendar akademik, yang digunakan dalam program-program yang lebih panjang.
"Ini memenuhi dengan lebih baik keperluan para pelajar dewasa yang perlu mengimbangi antara pekerjaan dengan pembelajaran mereka," ujar Encik Chan.
Encik Chan memberi perincian mengenai bagaimana kementerian menentukan bila "bahagian masyarakat yang berbeza" perlu diberi cuti, malah Encik Chan menambah bahawa sekolah-sekolah rendah, menengah dan pasca menengah masing-masing mempunyai keperluan yang berlainan.
"Lantaran itu, ia sukar bagi kami untuk mempunyai satu model yang sesuai untuk kesemuanya. Dan saya yakin bahawa meskipun kita menyelaraskannya, akan ada cabaran lain yang timbul juga."
Encik Chan menegaskan bahawa kementeriannya perlu mengambil kira keperluan pembelajaran yang berbeza bagi setiap lapisan penduduk. Beliau berkata, misalnya, institut pengajian tinggi, termasuk politeknik-politeknik, perlu mengambil kira apabila pelajar mereka melakukan latihan amali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.