Tiada rancangan mansuh syarat isytihar kesihatan bagi pelawat tiba di S'pura melalui laluan udara, laut
Imigresen di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Buat masa ini tiada rancangan untuk menarik balik syarat perisytiharan kesihatan bagi para pelawat yang tiba di Singapura tiba melalui laluan udara dan laut, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (13 Apr).
ICA mendedahkan demikian bagi menjawab pertanyaan Mediacorp selepas mengumumkan pada awal hari ini bahawa rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang yang sudah lengkap divaksin tidak lagi perlu mengisi 'SG Arrival Card' (Kad Ketibaan Singapura) untuk memasuki Singapura melalui pusat-pusat pemeriksaan darat mulai Jumaat (15 Apr).
Pengecualian itu adalah untuk memberikan kemudahan yang lebih besar kepada rakyat Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang sudah lengkap divaksin setelah mengambil kira jumlah trafik, menurut ICA pada pagi Rabu.
Jurucakap ICA memberitahu Mediacorp bahawa pusat-pusat pemeriksaan darat kebanyakannya digunakan oleh rakyat Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang melakukan perjalanan antara Singapura dan Johor Bahru.
Ini termasuk mereka yang melakukan perjalanan ulang-alik setiap hari untuk bekerja dan bersekolah.
Pusat-pusat pemeriksaan udara dan laut pula biasanya digunakan oleh para pelawat dari merata dunia.
"Tiada rancangan setakat ini untuk menarik balik syarat perisytiharan kesihatan di sempadan udara dan laut kerana ia masih merupakan kaedah yang penting bagi ICA untuk mengesan sebarang penyakit berjangkit yang membimbangkan dan mungkin dibawa masuk ke sini oleh pelawat dari pelbagai negara," menurut ICA.
Para pelawat "secara amnya dinasihatkan supaya memantau kesihatan mereka" apabila mereka pulang dari luar negara, menurut ICA.
"Mereka harus mendapatkan rawatan perubatan jika berasa tidak sihat dan memberitahu doktor tentang sejarah perjalanan mereka.
Makluman kesihatan juga akan dikeluarkan kepada para pelawat jika berlaku penularan atau ancaman penyakit berjangkit lain yang boleh menimbulkan keprihatinan.
Kad Ketibaan SG yang diserahkan secara online mengandungi perisytiharan kesihatan seseorang pelawat.
Ia adalah versi elektronik yang harus diserahkan oleh para pelawat sebaik tiba di Singapura bagi tujuan pelepasan imigresen.
Semua pelawat yang memasuki Singapura menerusi sempadan udara atau laut masih dikehendaki untuk menyerahkan perisytiharan kesihatan mereka melalui Kad Ketibaan SG dalam masa tiga hari sebelum tiba di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.