Tiada rancangan longgarkan sekatan COVID-19 pada cuti Tahun Baru Cina: Lawrence Wong
Pemerintah tidak merancang untuk melonggarkan sekatan COVID-19 dan akan mengekalkannya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina, supaya dapat mengharungi gelombang jangkitan akan datang disebabkan varian Omicron.

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Pemerintah tidak merancang untuk melonggarkan sekatan COVID-19 dan akan mengekalkannya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina, supaya dapat mengharungi gelombang jangkitan akan datang disebabkan varian Omicron.
Menteri Kewangan Lawrence Wong yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 berkata: "Kami percaya langkah-langkah pengurusan selamat ini adalah penting dan sesuai dan oleh itu, kami akan cuba sedaya upaya untuk mengharungi gelombang jangkitan Omicron akan datang dengan langkah pengurusan selamat sedia ada.
"Dalam erti kata lain, kami berhasrat untuk mengekalkan pendirian ini sejauh mungkin. Kami tidak merancang untuk melonggarkan langkah-langkah sekatan ketika ini dan kami tidak akan cuba mengetatkannya."
Beliau menambah pihak berkuasa sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah perhimpunan Sambutan Tahun Baru di Clarke Quay dan akan menghubungi individu-individu untuk ditemu bual. Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan keselamatan COVID-19.
Bercakap di satu sidang media pada Rabu (5 Jan), Encik Wong berkata keutamaan Pemerintah adalah untuk memastikan sistem jagaan kesihatan tidak dibebani semasa gelombang jangkitan koronavirus seterusnya.
Ini akan membolehkan Singapura mengharungi gelombang jangkitan seterusnya berdasarkan kawalan jangkitan sedia ada.
Namun, jika orang ramai bersikap sambil lewa dan menimbulkan risiko yang tidak perlu, kadar keberjangkitan akan meningkat, menyebabkan gelombang jangkitan yang lebih besar.
Ini boleh menimbulkan tekanan besar terhadap sistem jagaan kesihatan dan Pemerintah mungkin "tidak ada pilihan selain mengetatkan beberapa langkah sekatannya" sebagai pilihan terakhir, katanya.
Merujuk kepada perhimpunan di Clarke Quay pada malam Sambutan Tahun Baru, Encik Wong berkata siasatan menunjukkan bahawa ia bukan satu acara yang dirancang.
"Apa yang berlaku adalah orang ramai mula berkumpul. Mereka terlalu berseronok dan tidak lama kemudian kami sudah lebih 100 orang berkumpul di kawasan itu dengan ramai yang melanggar peraturan - tidak ada langkah pengurusan selamat, tidak ada jarak selamat. Dan jelas, ia merupakan acara yang berpotensi menyebabkan penularan koronavirus secara besar-besaran.
"Saya faham mengapa orang ramai teruja untuk menyambut tahun baru, namun perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali apabila kita masih berada di tengah-tengah pandemik."
Dengan menjelangnya Tahun Baru Cina pada awal bulan depan, Encik Wong berkata Singapura tidak mampu untuk mempunyai lebih banyak acara yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 secara besar-besaran diadakan semasa musim perayaan. Beliau menggesa orang ramai supaya melaksanakan tanggungjawab sosial dan peribadi mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.