Skip to main content

Singapura

Tiada pilihan raya kecil susuli peletakan jawatan Dr Faishal, PAP akan perkukuh pasukan Marine Parade-Braddell Heights

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Jul 2026 10:27PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 01:45PM
SINGAPURA: Tiada pilihan raya kecil akan diadakan di GRC Marine Parade-Braddell Heights walaupun Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim sudah meletak jawatan, kata Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) Desmond Lee pada Isnin (20 Jul).

Berucap kepada para wartawan di Kembangan, kawasan undi yang pernah diselia oleh Profersor Madya Faishal, Encik Lee berkata pihak parti akan membuat aturan tambahan untuk memperkukuh pasukan di situ.

"Tiada pilihan raya kecil akan diadakan. Kita pernah melihat keadaan serupa di GRC Jurong dan GRC Sengkang. Yang paling penting adalah sama ada keperluan para penduduk dapat dipenuhi secukupnya," katanya kepada para wartawan.

Pada tahun 2023, Encik Tharman Shanmugaratnam meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Jurong untuk bertanding dalam pilihan raya presiden, manakala Cik Raeesah Khan mengosongkan kerusinya di GRC Sengkang pada tahun 2021 selepas berbohong di Parlimen.

"Dalam hal ini, empat AP lain bagi GRC Marine Parade–Braddell Heights akan tampil untuk memikul tanggungjawab berkenaan, dan berusaha lebih gigih untuk memastikan kebajikan para penduduk Kembangan terus dipelihara - tanpa mengira kaum atau latar belakang," kata Encik Lee, yang juga Menteri Pendidikan.

Beliau tiba di cawangan PAP Kembangan bersama Speaker Parlimen Seah Kian Peng, yang merupakan AP bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, kira-kira pukul 5.30 petang.

AP lain bagi kawasan undi tersebut, Encik Goh Pei Ming dan Cik Diana Pang, tiba secara berasingan kira-kira pukul 5.50 petang. Cik Tin Pei Ling tidak hadir kerana berada di luar negara. Turut hadir ialah penolong setiausaha penganjur PAP Alex Yam.

Encik Lee berkata Profesor Madya Faishal telah memberikan "sumbangan besar kepada Singapura sepanjang perkhidmatannya selama dua dekad dalam sektor awam", baik sebagai pemangku menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam mahupun sebagai AP.

"Melangkah ke hadapan, parti kami akan membuat aturan tambahan untuk memperkukuh pasukan di sini, agar para penduduk boleh berasa yakin bahawa menangani kebimbangan mereka dan terus berkhidmat untuk mereka kekal menjadi keutamaan kami," katanya.

Apabila ditanya bagaimana pasukan itu akan mewakili keperluan masyarakat Melayu tanpa kehadiran Profesor Madya Faishal, Encik Lee menegaskan bahawa "semua AP akan berkhidmat untuk semua masyarakat, termasuk masyarakat Melayu-Islam kita".

Beliau akur bahawa masyarakat Islam akan berasa bimbang selepas berlaku beberapa pertukaran menteri yang mewakili mereka dalam tempoh sekitar lebih setahun. Encik Zaqy Mohamad akan mengambil alih peranan Profesor Madya Faishal, yang sebelum ini mengambil alih peranan tersebut daripada Encik Masagos Zulkifli pada Mei tahun lalu.

"Sudah tentu masyarakat Melayu-Islam akan berasa bimbang kerana menteri bagi ehwal masyarakat Islam menguruskan isu, kebimbangan dan aspirasi khusus mereka," kata Encik Lee.

"Namun, komitmen pemerintah PAP kepada masyarakat Melayu-Islam, serta terhadap semua masyarakat di Singapura, kekal teguh dan jelas."

Beliau menambah bahawa parti itu akan menyokong Encik Zaqy sebagai pemangku menteri baharu dalam mewakili pandangan dan aspirasi masyarakat, serta menangani isu-isu yang penting bagi mereka.

PAP bertindak pantas dalam kes Faishal, namun siri keterlanjuran boleh menjejaskan reputasi parti: Penganalisis

IMPAK TERHADAP KEPIMPINAN 5G

Semasa ditanya sama ada pengunduran Profesor Madya Faishal mempercepatkan keperluan untuk merombak Kabinet, Encik Lee berkata Perdana Menteri Lawrence Wong sentiasa menekankan peri pentingnya memperbaharui pasukan kepimpinan dengan segera dan tanpa berlengah.

Profesor Madya Faishal merupakan pemegang jawatan politik kedua yang meletak jawatan dalam tempoh beberapa bulan, menyusuli peletakan jawatan Dr Koh Poh Koon pada 22 Mei atas alasan keluarga. Dr Koh kekal sebagai AP di GRC Tampines.

"Malah, saya fikir beliau ada menyatakan baru-baru ini bahawa tidak lama selepas memegang jawatannya, beliau menyedari bahawa beliau perlu terus memperbaharui pasukan kepimpinan," katanya.

"Saya boleh katakan bahawa tidak kira sama ada perkara ini berlaku atau tidak, PM sentiasa memberi tumpuan untuk memastikan terdapat kelompok rakyat Singapura yang berkebolehan - yang bukan hanya berwibawa, malah bersedia untuk berkhidmat - untuk tampil dan berkhidmat kepada Singapura."

Menjawab soalan Mediacorp mengenai sama ada parti itu akan membenarkan Profesor Madya Faishal kekal sebagai AP jika beliau tidak menawarkan untuk meletak jawatan, Encik Lee berkata bahawa "standard yang kita tetapkan untuk semua AP dan pemegang jawatan pemerintah PAP sudah pun digariskan secara jelas".

Perdana Menteri menghantar kod tatasusila kepada semua pemegang jawatan politik dan AP PAP setiap tahun dan "jangkaan ini sangat jelas", katanya.

"Tindakan beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan adalah tindakan yang betul. Ia merupakan keputusan yang menyakitkan buat beliau, ia adalah situasi yang sukar untuk kami, tetapi kami fikir ini perlu dilakukan demi menegakkan standard itu dan mengekalkan kepercayaan awam terhadap politik negara," kata Encik Lee.

INISIATIF MASYARAKAT KEKAL TIDAK BERUBAH

Encik Seah berkata inisiatif masyarakat di kawasan seliaan Profesor Madya Faishal di Kembangan sebelum ini akan kekal tidak berubah.

"Saya fikir kami sebenarnya sudah mempunyai agak banyak rancangan yang akan kami umumkan dalam bulan-bulan mendatang. Jadi, perkara itu tidak akan berubah," katanya kepada para wartawan.

Mengenai pembahagian tanggungjawab dalam kalangan empat anggota pasukan yang tinggal, Encik Seah berkata pasukan tersebut memerlukan beberapa hari untuk berbincang, dan akan mengumumkan keputusan mereka kepada orang ramai setelah dimuktamadkan.

Beliau menambah bahawa mereka juga akan hadir untuk mengendalikan sesi mingguan Bertemu Rakyat di kawasan tersebut, tetapi berhasrat untuk merancang sesuatu yang lebih kekal untuk masa hadapan.

Encik Seah, Cik Pang dan Encik Goh juga hadir di sesi berkenaan pada Isnin.

Mengulas hakikat bahawa kawasan Kembangan menyaksikan pertukaran AP buat kali kedua dalam tempoh kira-kira tiga tahun selepas peletakan jawatan Encik Tan Chuan-Jin pada Julai 2023, Encik Seah berkata keadaan itu sesuatu yang “malang”.

"Sebagai satu pasukan, kami sentiasa fokus pada apa yang perlu kami lakukan untuk masa hadapan," katanya.

"Komitmen yang kami berikan kepada penduduk di Kembangan ialah kami semua, bersama pasukan yang menyokong kami ... akan bekerja keras untuk memastikan keperluan anda, isu anda, atau masalah yang mungkin anda hadapi, akan terus diberi perhatian dan sedaya upaya kami, kami akan berusaha mencari huraian bagi isu-isu tersebut."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita