Skip to main content

Singapura

Tiada perubahan keutamaan majikan ambil pekerja tempatan atau asing buat masa ini: Tan See Leng

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada perubahan keutamaan majikan ambil pekerja tempatan atau asing buat masa ini: Tan See Leng

Pekerja hijrahan di Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 07 May 2026 02:01PM Dikemas Kini : 07 May 2026 02:05PM
SINGAPURA: Setakat ini, tiada perubahan dalam keutamaan majikan untuk mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing, walaupun niat untuk mengambil pekerja baharu semakin berkurangan disebabkan krisis di Timur Tengah.

Demikian kata Menteri Tenaga Kerja Dr Tan See Leng pada Khamis (7 Mei).

Dr Tan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains dan Teknologi, memberikan jawapan tersebut bagi menjawab soalan parlimen mengenai kesan krisis Timur Tengah terhadap prospek pengambilan pekerja.

Secara khusus, Encik Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya sama ada Kementerian Tenaga Kerja (MOM) melihat sebarang perubahan dalam keutamaan pengambilan pekerja memandangkan sesetengah syarikat sedang memperlahankan pengembangan tenaga kerja kerana tekanan kos.

Sambil menarik perhatian bahawa pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk terus berkembang pada suku pertama 2026 berbanding tempoh yang sama pada 2025, Dr Tan berkata buat masa ini, keutamaan pengambilan pekerja masih belum berubah.

"Dasar pas kerja kami juga memastikan rakyat Singapura diberikan peluang yang adil berbanding pekerja asing, dan kami melakukan yang terbaik untuk memastikan pekerja asing di sini adalah pelengkap kepada pekerja tempatan Singapura kita," katanya.

Beliau merujuk kepada kenaikan gaji kelayakan yang akan datang bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S, serta semakan berkala terhadap kriteria "pekerjaan yang mengalami kekurangan" bagi pemohon EP.

"Kami sentiasa berusaha mencari keseimbangan yang tepat antara memastikan perniagaan kita mempunyai ruang untuk terus berkembang, sambil memastikan pekerja dan bakat tempatan kita terus mempunyai laluan untuk mereka maju juga," kata Dr Tan.

Walaupun pasaran buruh kekal berdaya tahan, beliau menarik perhatian jumlah firma yang berhasrat untuk mengambil pekerja dalam tempoh tiga bulan akan datang jatuh kepada 44.6 peratus pada Mac, berbanding 54.6 peratus pada Februari.

Dr Choo Pei Ling (PAP-Chua Chu Kang) kemudian bertanya sama ada pemerintah sedang menyesuaikan perancangan tenaga kerja bagi menghadapi "keadaan ketidaktentuan struktur yang lebih lanjut, di mana pekerja mungkin menghadapi gangguan bertindih daripada perpecahan perdagangan, perubahan teknologi, dan penstrukturan semula sektor".

"Jawapannya adalah ya," kata Dr Tan, sambil menambah bahawa laporan Semakan Strategi Ekonomi yang akan datang bakal merangkumi banyak perkara tersebut. Semakan rangka tindakan ekonomi Singapura itu dilancarkan Ogos lalu, dan pihak jawatankuasa dijangka mengeluarkan cadangan mereka menjelang pertengahan 2026.

KESAN STRUKTUR KRISIS

Rantaian bekalan tenaga global terganggu akibat sekatan Iran di Selat Hormuz, selepas Amerika Syarikat dan Israel memulakan peperangan menentang Iran pada 28 Februari.

Anggota Parlimen Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) bertanya kepada menteri tentang perubahan struktur ekonomi yang disebabkan oleh konflik tersebut, terutamanya kerosakan yang berlaku ke atas infrastruktur minyak dan gas.

Mengenai perkara ini, Dr Tan berkata adalah "terlalu awal" untuk membuat kesimpulan tentang kesan jangka panjang, tetapi krisis itu kemungkinan besar akan mempercepatkan peralihan struktur yang sememangnya sedang berlaku dalam ekonomi global.

Ini merujuk kepada kepelbagaian rantaian bekalan, pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan (AI), dan peralihan tenaga, katanya kepada parlimen.

Walaupun krisis ini akan menguji daya tahan ekonomi, ia juga mewujudkan peluang baharu bagi firma untuk membuat transformasi, mempelbagaikan, dan mendalami keupayaan mereka, katanya.

Tenaga menjadi isu sangat kritikal kerana keperluan untuk menjana pusat data bagi pengkomputeran yang diperlukan untuk AI. Pada masa yang sama, terdapat banyak penemuan baharu dalam minyak dan gas, dan pembangunan sumber tenaga hijau juga semakin rancak, katanya.

Beliau turut merujuk kepada komitmen Perdana Menteri Lawrence Wong baru-baru ini bahawa Singapura tidak akan menyekat eksport bahan api di tengah-tengah krisis tenaga. Encik Wong menyatakan perkara ini pada 10 April semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese.

"Pandangan kami adalah banyak negara bukan sahaja berfikir tentang kepelbagaian bekalan, tetapi mereka juga sedang beralih kepada pendekatan 'berjaga-jaga', bukannya sekadar 'pada masa yang diperlukan'," kata Dr Tan.

"Krisis ini akan menguji kita, dan jika kita mampu mengatasinya, saya fikir ia akan mengukuhkan kedudukan kita sebagai hab yang dipercayai."
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita