Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada perubahan ke atas tambang bas, kereta api kerana kemelesetan COVID-19: PTC

Meskipun kenaikan dibenarkan tahun ini, tambang pengangkutan awam akan dikekalkan dalam usaha membantu para penumpang menangani kesan pandemik COVID-19, menurut Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Jumaat (4 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Sep 2020 06:39PM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 09:36PM

SINGAPURA: Meskipun kenaikan dibenarkan tahun ini, tambang pengangkutan awam akan dikekalkan dalam usaha membantu para penumpang menangani kesan pandemik COVID-19, menurut Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Jumaat (4 Sep).

Sekiranya kemelesetan ekonomi akibat COVID-19 berlarutan hingga ke tahun depan, PTC menyatakan tambang pada 2021 kemungkinan juga tidak dinaikkan.

Dalam satu sidang media maya bagi penilaian tahunan PTC, pengerusi PTC Richard Magnus berkata: "Majlis ini maklum akan keadaan luar biasa yang dihadapi rakyat Singapura, dan mempertimbangkan kesannya terhadap para penumpang pengangkutan awam.

"Justeru majlis ini memutuskan untuk tidak merubah tambang bagi mengurangkan beban terhadap para penumpang."

Ini bermakna para penumpang tidak akan menyaksikan perubahan pada tambang bas dan kereta api hingga penilaian tambang pada tahun depan, dengan kenaikan yang dibenarkan dianjakkan.

Berdasarkan formula penilaian semula tambang, penyesuaian maksimum yang dibenarkan bagi tambang pengangkutan awam pada tahun ini adalah sebanyak 4.4 peratus.

Formula tersebut mengambil kira harga tenaga, inflasi dan kos tenaga kerja dan sejak 2018, merangkumi faktor keupayaan rangkaian (NCF).

Kenaikan pada NCF - yang membandingkan rangkaian pengangkutan awam yang digunakan berbanding keupayaan rangkaian itu - juga banyak terjejas akibat "kemerosotan mendadak dan berterusan" dalam jumlah penumpang akibat COVID-19, menurut PTC.

Kadar NCF pada tahun lalu adalah 1.6 peratus manakala tahun ini ia meningkat kepada 3.9 peratus yang menunjukkan rangkaian pengangkutan kurang digunakan.

Oleh demikian, PTC akan mengadakan penilaian pertengahan penggal untuk menentukan sama ada faktor itu akan diambil kira langsung atau sebahagiannya dalam formula tambang tahun depan.

Apabila ditanya oleh Mediacorp jika kenaikan tambang masih akan terus dilaksanakan pada 2021 jika kesan teruk pada ekonomi akibat pandemik ini berlarutan hingga ke penilaian tambang seterusnya, Encik Magnus berkata kenaikan tambang tidak mungkin dilaksanakan dalam senario sedemikian.

Menurutnya, penentu formula tambang, seperti harga minyak, indeks harga pengguna, indeks gaji kesemuanya akan menyaksikan kemerosotan jika ekonomi terus terjejas.

KESAN PADA PENGENDALI PENGANGKUTAN AWAM

Menurut PTC, keputusannya untuk tidak menaikkan tambang tahun ini dibuat meskipun pandemik COVID-19 menjejas teruk para pengendali pengangkutan awam dan oleh demikian ia menjangkakan subsidi Pemerintah akan dinaikkan.

Sebelum pandemik ini berlaku, Pemerintah dijangkakan membelanjakan hampir S$1 bilion untuk memperbaharui dan melakukan kerja-kerja naik taraf ke atas operasi kereta api dan lagi S$1 bilion sebagai subsidi bagi khidmat pengangkutan bas awam setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun. Ini menjadikan jumlah subsidi sebanyak S$1 bagi setiap perjalanan yang dilakukan.

Rangkaian kereta api juga diluaskan dengan Pemerintah menyediakan jumlah subsidi pengendalian yang besar bagi menyokong rangkaian pengangkutan awam.

SOKONGAN BERTERUSAN BAGI KELUARGA BERPENDAPATAN LEBIH RENDAH

Meskipun tambang tidak akan dinaikkan, PTC menyatakan sokongan bagi keluarga berpendapatan lebih rendah akan diteruskan.

Pemerintah akan melanjutkan tarikh tutup bagi permohonan Baucar Pengangkutan Awam 2019 dari 31 Okt tahun ini ke 31 Jan tahun depan untuk memberikan keluarga-keluarga yang layak lebih masa untuk menghantar permohonan bagi baucar-baucar tersebut.

Tahun lalu, 450,000 baucar sedemikian bernilai S$50 disediakan.

Untuk terus mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi tahun ini, sekitar 30,000 keluarga berpendapatan rendah di bawah skim bantuan ComCare secara bertahap-tahap akan menerima baucar pengangkutan tanpa perlu memohon baginya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan