Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada percanggahan kepentingan dalam pelantikan Goh Soon Poh sebagai Juruaudit Negara

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Chan Chun Sing, berkata bahawa "tidak ada konflik kepentingan" dalam pelantikan Juraudit Negara baru, yang merupakan isteri seorang Menteri Negara Kanan, dalam menjawab soalan parlimen pada hari Khamis (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada percanggahan kepentingan dalam pelantikan Goh Soon Poh sebagai Juruaudit Negara

Cik Goh Soon Poh (kiri) dilantik ambil alih Encik William Tan sebagai Ketua Audit Negara bermula 8 Feb. (Gambar: PMO)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 06:18PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 06:24PM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Chan Chun Sing, berkata bahawa "tidak ada konflik kepentingan" dalam pelantikan Juraudit Negara baru, yang merupakan isteri seorang Menteri Negara Kanan, dalam menjawab soalan parlimen pada hari Khamis (28 Feb).

Juraudit Negara baru Singapura, Cik Goh Soon Poh, menyandang jawatan itu pada 8 Februari. Beliau adalah isteri Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan Encik Heng Chee How.

Anggota Parlimen Parti Pekerja, Sylvia Lim, meminta penjelasan mengenai proses pemilihan dan kriteria dalam pemilihan Juruaudit Negara, dan jika pelantikan isteri Menteri Negara Kanan akan mempengaruhi persepsi masyarakat tentang ketidakbersandaran Pejabat Juruaudit Negara (AGO).

Cik Lim berkata: "Kita semua tahu tentang laporan audit tahunan AGO. Ia sering mengandungi penemuan-penemuan yang memalukan dan mungkin mendedahkan salah laku."

Encik Chan menjawab bahawa nilai-nilai integriti dan kecemerlangan diterapkan sama dengan proses pelantikan, dan proses untuk melantik seseorang individu kepada mana-mana jawatan Perlembagaan dinyatakan dalam Perlembagaan.

"Perlembagaan juga menetapkan syarat-syarat kepada para calon untuk peranan-peranan tertentu, termasuk pemegang jawatan yang harus dinasihati atau dirujuk untuk peranan itu," kata Encik Chan.

"Secara umum, pertimbangan-pertimbangan utama dalam mengenal pasti calon-calon termasuk keupayaan mereka untuk melakukan tugas dengan baik, kelayakan dan pengalaman mereka, rekod prestasi, integriti dan semangat perkhidmatan awam."

Beliau kemudian mengesahkan bahawa pemerintah tahu bahawa Cik Goh adalah isteri Encik Heng.

"Juraudit Negara dilantik oleh Presiden atas nasihat Perdana Menteri," kata Encik Chan.

"Calon itu dicadangkan untuk persetujuan Presiden setelah berunding dengan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Umum. Presiden akan berunding dengan dewan penasihat presiden, yang menjadi satu lagi lapisan pengawasan nasihat."

Encik Chan mengungkapkan kelayakan Cik Goh, dengan menekankan pengalamannya dalam sektor awam yang menjangkau lebih daripada 30 tahun dalam memegang jawatan-jawatan di pelbagai kementerian, dan berkata bahawa Cik Goh "sudah berkhidmat dengan baik, penuh integriti, dan komitmen untuk cemerlang".

Beliau menambah bahawa pemerhatian-pemerhatian audit AGO disampaikan kepada pegawai-pegawai kanan, iaitu para Setiausaha Tetap kementerian, yang bertanggungjawab untuk menangani hasil-hasil penemuan.

Encik Chan berkata: "Proses audit secara umumnya tidak melibatkan para pemegang jawatan politik. Tidak ada konflik kepentingan umum antara AGO dan kementerian dalam audit.

Sekiranya terdapat kemungkinan percanggahan kepentingan, ada proses-proses yang khusus untuk menguruskannya, sama seperti mana-mana pertubuhan profesional."

Sumber : CNA/IL/il
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan