Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada perbuatan khianat dalam kes kematian banduan Penjara Changi akibat jangkitan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang banduan berusia 71 tahun yang sedang menjalani tempoh tahanan pencegahan meninggal dunia pada hujung tahun lalu setelah mengalami pneumonia (radang paru-paru) yang disebabkan oleh COVID-19, mahkamah koroner dimaklumkan pada Jumaat (29 Jul). 

Tan Pwee Sin juga enggan menerima suntikan vaksin bagi mencegah koronavirus walaupun dia sudah dipujuk supaya berbuat demikian, menurut Koroner Christopher Goh. 

Koroner turut mendapati bahawa tiada perbuatan khianat berhubung kematian Tan berdasarkan bukti yang ditemui. 

Pneumonia atau radang paru-paru adalah sejenis jangkitan pernafasan akut yang menjejas paru-paru dan ia adalah komplikasi yang diketahui dan serius akibat COVID-19. 

Semasa kematiannya, Tan sudah menjalani sekitar empat tahun daripada tempoh tahanan pencegahannya selama tujuh tahun, yang dikenakan ke atasnya pada September 2017 atas kesalahan membunuh kucing jirannya. 

Seorang hakim kemudian mendapati bahawa Tan mudah cenderung kepada emosi yang tidak menentu dan bertindak ganas.

Tahanan pencegahan dikenakan ke atas pesalah bentan dan mereka tidak akan layak untuk dibebaskan lebih awal sekalipun berkelakuan baik. 

Tan sudah keluar masuk penjara sejak 1983 sebelum dihukum penjara seumur hidup pada 1996 atas kesalahan  membunuh jirannya, 79 tahun, dengan palang besi. 

Tan kemudian diberi pengampunan dan dibebaskan pada 2010. 

Tan bagaimanapun kemudian bergaduh dengan jirannya pada 2017 gara-gara memberi makanan kepada kucing jirannya tanpa mendapatkan kebenaran jirannya. Apabila salah satu daripada kucing jirannya itu mula mengawan dengan kucing Tan sendiri, dia mengelar bahagian perut kucing itu dengan pisau sehingga kucing betina itu mati. 

Pada Jumaat (29 Jul), seorang pegawai penyiasat daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) adalah satu-satunya saksi yang hadir sewaktu siasatan koroner ke atas kematian Tan. 

Beliau memberitahu mahkamah bahawa percubaannya untuk mencari waris atau rakan Tan gagal. 

Koroner Goh menarik perhatian bahawa Tan mengadu tidak sihat disebabkan oleh sembelit pada 25 Nov lalu tetapi dia tidak mengalami sebarang gejala COVID-19. 

Sebagai sebahagian daripada prosedur penjara bagi banduan yang sakit, Tan dikehendaki melakukan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR). 

Tan didapati positif COVID-19 dua hari kemudian dan dia dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga. Pada waktu itu, Tan menunjukkan gejala ringan dan tidak mengalami demam. 

Pada pagi 29 November, Tan ditemui tidak responsif dalam selnya di pusat kuarantin tersebut. Dia juga mengalami demam. 

Jururawat yang bertugas kemudian memanggil ambulans dan Tan dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) di mana imbasan pada bahagian dadanya menunjukkan bahawa dia mengalami radang paru-paru akibat jangkitan COVID-19. 

Tan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) tetapi keadaannya tidak bertambah baik dan dia akhirnya meninggal dunia akibat penyakit itu pada 19 Disember. 

Seorang pakar patologi forensik mengesahkan punca kematiannya sebagai radang paru-paru akibat jangkitan COVID-19. 

Koroner Goh turut berkata Tan mengalami tuberkulosis (TB) atau batuk kering sebelum ini tetapi penyakit tersebut tidak menyebabkan kematiannya. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan