Skip to main content

Singapura

Tiada peningkatan permintaan vaksin COVID-19 dari pelawat, pesakit privet, dedah MOH

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada peningkatan permintaan vaksin COVID-19 dari pelawat, pesakit privet, dedah MOH

(Gambar fail: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 17 Jan 2023 08:54PM Dikemas Kini : 17 Jan 2023 09:01PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Selasa (17 Jan) bahawa pihaknya tidak menyaksikan sebarang peningkatan pada permintaan vaksin COVID-19 bagi program vaksinasi privet.

Di bawah program tersebut, para pelawat boleh mendapatkan suntikan vaksin mRNA pada kos yang ditanggung sendiri.

Program tersebut diperkenalkan pada April tahun lalu untuk memudahkan vaksinasi bagi golongan-golongan seperti para pelawat jangka pendek, yang tidak layak menerima suntikan vaksin secara percuma di bawah program vaksinasi nasional.

Sebelum ini, Mediacorp melaporkan bahawa para penyedia khidmat jagaan kesihatan Singapura sudah menerima banyak pertanyaan daripada para pelawat dari China berhubung vaksinasi COVID-19. Ini menyusuli pembukaan semula sempadan China selepas pandemik melanda negara tersebut tiga tahun lalu.
Di tengah-tengah keprihatinan terhadap permintaan dan bekalan vaksin COVID-19 di Singapura, MOH menyatakan bahawa ia mempunyai bekalan yang mencukupi untuk rakyat dan penduduk Singapura di bawah program vaksinasi nasional.

"Secara keseluruhannya, terdapat lebihan pada bekalan vaksin COVID-19 di dunia buat masa ini," dedah MOH semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Kontrak bekalan kami memberikan kami kelonggaran untuk mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin jika perlu. Dalam pada itu, terdapat bekalan yang mencukupi untuk warga dan penduduk Singapura di bawah program vaksinasi nasional."

MOH turut mendedahkan bahawa pihaknya sedang memantau jumlah dos vaksin yang diberikan menerusi program vaksinasi privet. MOH menambah bahawa klinik-klinik di bawah program tersebut membeli bekalan vaksin dari kementerian itu pada kadar yang tidak bersubsidi dan mengenakan bayaran yang sewajarnya terhadap pelanggan mereka.

Setakat 1 Jan, sekitar 3,000 dos sudahpun diberikan di bawah program vaksinasi privet.

Ia adalah "jumlah sangat kecil" berbanding 16 juta dos vaksin yang diberikan di bawah program vaksinasi nasional.

Di bawah program privet tersebut, tujuh klinik diluluskan untuk menawarkan vaksin COVID-19 - termasuk suntikan vaksin bivalen keluaran Moderna dan Pfizer - bagi golongan berusia 12 tahun ke atas.

Antaranya termasuk klinik-klinik yang dikendalikan oleh Healthway Medical, Fullerton Health dan Raffles Medical.

Healthway Medical memberitahu Mediacorp bahawa ia menyaksikan lonjakan pada jumlah permintaan vaksin, sambil menambah bahawa pihaknya sudah meningkatkan kapasiti tempahan sebanyak 50 peratus sebagai respons kepada permintaan tersebut.

Sementara itu, Fullerton Health mendedahkan bahawa pihaknya menerima lebih banyak pertanyaan daripada para pesakit dari China, yang mungkin bertanya bagi pihak diri mereka sendiri ataupun bagi pihak keluarga serta rakan-rakan mereka.

Pemeriksaan yang dijalankan oleh Mediacorp menunjukkan bahawa harga bagi setiap dos adalah antara S$140.40 hingga S$150 (termasuk GST) di klinik-klinik yang menawarkan vaksin bivalen keluaran Moderna.

Sementara itu, klinik-klinik yang menawarkan vaksin bivalen keluaran Pfizer, menawarkan harga S$188 bagi setiap dos (termasuk GST).
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita