Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada pelekat 'I Am Halal!' di Bazar Raya Geylang Serai; tetap dijamin 100% Halal

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Para penjual makanan dan minuman (F&B) di Bazar Raya Geylang Serai tidak lagi perlu mempamerkan pelekat 'I Am Halal!' di gerai mereka sepanjang tempoh bazar raya itu berlangsung.

Meskipun begitu, pihak penganjur iaitu konsortium tiga syarikat termasuk S-Lite Event Support Pte. Ltd, Enniche Global Trading dan TLK Trade Fairs & Events Pte. Ltd. memberi jaminan semua makanan dan minuman dijual di situ dipastikan 100 peratus Halal.

Pihak penganjur memberitahu BERITAmediacorp, keputusan untuk menarik balik keperluan mempamerkan pelekat 'I Am Halal!' itu dibuat atas nasihat konsultan Halal yang dilantik iaitu Encik Mohamed Khair Mohamed Noor dari SuChi Success Initiatives Pte Ltd.

"Sebenarnya kalau kita lihat dalam AMLA terdapat satu peruntukan yang khusus. Logo halal itu hanya boleh dikeluarkan oleh MUIS. Jadi hanya pihak MUIS saja di bawah peruntukan AMLA boleh mengeluarkan sijil halal dan logo halal dan tidak ada apa-apa bentuk lain, logo halal yang boleh dikeluarkan oleh pihak lain.

"Jadi sebab itu bagi bazar tahun ini sebagaimana bazar pada 2019, tidak ada logo halal yang dipamerkan. Yang ada hanyalah pengakuan pihak penjual makanan, penyedia makanan bahawa mereka telah pun mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan bahawa makanan yang disajikan, dijual mengikut ketetapan-ketetapan tertentu dalam proses halal," jelas Encik Mohamed Khair.

JAMINAN 100% HALAL

Menurut Encik Mohamed Khair, pelbagai langkah jaminan Halal dalaman akan dilaksanakan.

Para penjual makanan dan minuman mesti mengisytiharkan semua bahan dan ramuan yang mereka gunakan 100%Halal.

Menurut Encik Khair lagi, proses sesuatu makanan itu disiapkan turut akan diteliti bagi memastikan penyediaan makanan mengikut syariah

Beliau menegaskan bahawa para penjual tidak perlu mendedahkan resipi masing-masing, hanya bahan-bahan yang digunakan sahaja.

Bergantung kepada jumlah ramuan yang digunakan, para peniaga F&B itu perlu membuat bayaran tambahan sehingga S$300 untuk khidmat konsultan halal itu.

SURAT PERAKUAN HALAL

Dan bagi memastikan pencemaran makanan tidak berlaku, pihaknya juga akan memastikan bahawa tiada makanan-makanan yang tidak halal dibawa masuk ke dalam gerai.

"Mereka (para peniaga F&B) akan tandatangani surat perakuan. Saya sudah melakukan perkara-perkara ini untuk pastikan yang makanan saya ini mengikuti keperluan-keperluan halal orang Islam," kata Encik Mohamed Khair

Beliau menasihati para pelanggan supaya meminta penjual untuk menunjukkan surat perakuan jaminan halal tersebut sekiranya mereka berasa was-was.

Tambahnya, pemeriksaan rambang akan dilakukan ke atas vendor-vendor bagi memastikan mereka mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan.

PENIAGA MELAYU/ISLAM TIDAK TERKECUALI

Menurut pengasas syarikat Enniche Global Trading, Encik Mohamed Mustaffa Shah Jehan, semua peniaga F&B termasuk peniaga Melayu/Islam perlu menandatangani surat perakuan itu

"Mereka perlu faham walaupun mereka peniaga beragama Islam, mereka perlu memahami syarat-syarat Halal. Langkah ini juga sekali gus mendidik mereka. Kami bekerjasama dengan pihak ketiga bagi memantau dan memastikan para pengunjung bazar tidak ada perasaan was-was," kata Encik Mustaffa kepada BERITAmediacorp.

Encik Mustaffa berharap semua vendor akan memberikan kerjasama dan bersikap amanah.

Beliau menegaskan bahawa para penjual yang tidak mematuhi syarat-syarat dan mengekalkan standard Halal itu akan diberi amaran.

Pihak penganjur juga tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan para penjual yang ingkar daripada senarai vendor jika perlu.

Pemilik Rainbow Works, Cik Koji Kwek yang menjual pelbagai jenis minuman buah-buahan berkata beliau sangat prihatin terhadap syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan itu.

Beliay yang sudah tujuh tahun beroperasi di bazar Geylang Serai. berkata beliau akan mengambil pekerja Melayu/Islam di gerainya.

"Kami menggajikan kakitangan Melayu bagi memastikan cara menguruskannya adalah betul. Selain itu, kami memastikan semua ramuan yang digunakan halal. Pemeriksaan rambang juga akan dilakukan. Jadi, kami akan memainkan peranan dan bekerjasama," ujar Cik Koji kepada BERITAmediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan